25 November 2013

Apa Itu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)


GST..what...
 
Cadangan untuk mengganti sistem cukai jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumpsi yang digelar sebagai GST telah diumumkan pada pembentangan bajet 2005 oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Awalnya ia dicadang untuk dikuatkuasakan bermula 1 hb Januari 2007. Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, Bajet 2005 mencadangkan penyusunan semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini katanya bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara.

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Pada masa ini cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran. GST didakwa sebagai sistem cukai yang lebih komprehensif, efisyen, telus dan efektif. Ia juga diduga akan menambahkan pendapatan cukai tahunan untuk kerajaan. Dalam sebuah reaksi seorang pensyarah perakaunan dari UiTM berpendapat GST tidak membebankan dan akan menambahkan hasil negara.

Pada 29 November 2009 Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataannya telah mendakwa kerajaan akan memperoleh pendapatan cukai tahunan sebanyak RM 1 bilion dari GST. Beliau berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya. Ditambah lagi, dikatakan GST akan dapat mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individual.

Kini negara jiran yang melaksanakan GST adalah Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kadar GST yang diguna oleh negara-negara ini waktu ini ialah Singapura 5%, Thailand 7%, Indonesia 10% (digelar sebagai cukai nilai tambah – VAT) dan Filipina 10%. GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan (2010). Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011.

Apa itu GST?

VAT/GST diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré, untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu berkesan.

Kini 138 negara melaksanakan Value Added Taxes (VAT) sementara beberapa negara – terutama US, mengenakan cukai jualan, biasanya cukai pada satu aras sahaja diperingkat runcit. Dalam hamper semua negara cukai-cukai ini adalah sama ada penyumbang terbesar atau penyumabang kedua besar kepada peroleh negara.

GST atau dalam Bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.

Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.

Bekalan yang dikecualikan cukai

Bagaimanapun, barangan atau perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak dikenakan cukai. Di Australia, umpamanya, barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai termasuk barangan makanan asasi (kecuali makanan tersedia, makanan bawa-balik, snek, alkohol dan minuman ringan), perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, utiliti, barangan tertentu yang dibekalkan oleh pertubuhan amal dan agama, dan barangan dan perkhidmatan yang dieksport.

Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya. Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di samping mengelak berlakunya inflasi. GST hanya dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi. Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.

Ada yang mengsyaratkan jika diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaanya membolehkan setiap lapisan masyarakat diberi pengetahuan mengenainya.            

 

PERSEKITARAN MAKRO

HASIL TULISAN ASAL : MIMI HAMIZA IBRAHIM



1.0                PENGENALAN
Persekitaran makro boleh mempengaruhi keputusan perniagaan yang dibuat untuk jangka masa yang panjang dan ia merupakan unsur atau elemen yang tidak boleh dikawal (Armstrong & Kotler, 2011). Memahami persekitaran makro atau persekitaran luaran di dalam menguruskan sesuatu perniagaan atau organisasi adalah sangat penting dan ia menentukan kejayaan serta mempengaruhi keputusan dalam sesuatu perniagaan yang dijalankan. Persekitaran makro adalah persekitaran yang diluar kawalan syarikat tetapi syarikat perlu sentiasa mengawasinya kerana persekitaran ini boleh memberi peluang dan ancaman kepada syarikat atau organisasi (Armstrong & Kotler, 2011). Ekoran daripada kesukaran usahawan-usahawan untuk mengawal persekitaran yang ada, para usahawan perlulah bijak untuk menanganinya dengan memahami elemen-elemen persekitaran makro tersebut. Di dalam dunia perniagaan, terdapat empat elemen persekitaran makro yang terpaksa dan perlu dihadapi oleh semua peniagaan iaitu elemen ekonomi, teknologi, kebudayaan sosial serta politik dan undang-undang (Mily, 2011).
Bagi melihat kesan persekitaran makro terhadap sesebuah organisasi atau syarikat, organisasi yang telah dipilih adalah Syarikat Boon Siew Sdn Bhd. Ini kerana syarikat ini merupakan di antara syarikat yang terawal dan berkembang. Syarikat Boon Siew Sdn Bhd sinonim dengan motosikal Honda yang diasaskan oleh Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew. Boon Siew Honda Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat Malaysia yang dilesenkan untuk memasang, mengedar dan menjual model-model motosikal Honda di Malaysia. Beliau merupakan usahawan yang berjaya dan bijak mengambil peluang di dalam perniagaan pengedaran motosikal. Beliau menyedari kelebihan motosikal Honda adalah ringan dan kecil berbanding motosikal yang dikeluarkan oleh Eropah. Pada tahun 1958, Boon Siew melihat populariti motosikal Honda Cub Super di mana pada waktu tersebut hanya diperkenalkan di Jepun dan beliau percaya ia boleh mendapat sambutan di Malaysia. Pihak Honda Jepun, Honda Motor Co Ltd telah melantik Boon Siew sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di Malaysia dan pada waktu tersebut, hanya 50 unit sahaja motosikal Honda telah diimport ke Malaysia. Sebuah kilang telah dibina di Pulau Pinang untuk memasang Honda Cub dan motosikal Honda yang dipasang di Malaysia telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub menjadi motosikal yang paling laris di Malaysia dan Boon Siew telah diikhtiraf sebagai orang pertama yang membawa motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara (Danny Tan, 2012).
Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menjalankan usahasama antara Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd yang mula beroperasi pada September 2008 dengan matlamat mengukuhkan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan cekap. Pengeluaran motosikal Honda iaitu syarikat Oriental Holdings Bhd telah memegang cawangan bagi memasang dan mengedar motosikal Honda sejak tahun 1957 lagi. Sekarang ini, anak syarikat Oriental, Kah Motor Co Sdn Bhd adalah bertindak sebagai memasang Honda, sementara Boon Siew Honda Sdn Bhd mengedarkannya. Produk yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd antaranya adalah motorsikal jenama Wave Dash, CRF 250L, CBR1000RR, EX5 Dream, Future, Gold Wing, Wave Dash SE, Wave 110, Wave 100, Icon dan CBR 250R. Ahli Lembaga Pengarah Boon Siew Honda Sdn Bhd adalah dipengerusikan oleh Dato’ Loh Cheng Yean. Oriental Holdings Bhd dan Honda Motor Co Ltd telah mengembangkan dan mempromosi jualan motosikal di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei (Danny Tan, 2012).

2.0              ELEMEN-ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO
2.1              Elemen persekitaran makro ialah ekonomi. Persekitaran ekonomi dapat dilihat melalui faktor-faktor yang mempengaruhi kuasa beli pengguna dan corak perbelanjaan (Kotleret al, 2011). Pemasar harus mengawasi pola utama pendapatan dan perubahan pola perbelanjaan pengguna. Sebarang perubahan sama ada dalam bentuk positif dan negatif di dalam pembolehubah utama ekonomi seperti kadar faedah, pola pendapatan, kos hidup, simpanan dan pinjaman akan memberi kesan terhadap pasaran (Azianlin, 2007). Kuasa membeli pengguna bergantung kepada harga, pendapatan semasa, kredit dan tabungan. Contohnya, syarikat Honda Jepun iaitu Honda Motor Co Ltd telah melantik  Boon Siew Honda Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di Malaysia kerana ia melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang akan berkembang dan mempunyai pasaran yang besar di Asia dan dunia (Danny Tan, 2012).
2.2              Elemen persekitaran makro ialah teknologi. Banyak teknologi baru telah dicipta bagi menggantikan teknologi lama. Kadar perubahan teknologi adalah cepat dan pantas pada masa kini. Melalui perubahan dan inovasi teknologi ini, lebih banyak peluang dan pasaran baru dapat diwujudkan (Azianlin, 2007). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menggunakan pelbagai alatan yang lebih canggih antaranya mesin berbanding sebelumnya. Kesannya pelbagai produk baru telah dicipta serta menambah produk yang sedia ada kepada yang lebih inovatif dan produktif kesan daripada perkembangan teknologi. Antaranya produk motosikal Honda model Wave yang dilihat telah diperbaharui daripada model Wave Dash kepada Wash Dash SE, Wave 110 dan Wave 100 (Danny Tan, 2012).
2.3              Elemen persekitaran makro ialah kebudayaan sosial. Persekitaran ini terdiri daripada institusi dan pengaruh lain yang mempengaruhi asas, persepsi, keutamaan serta gelagat sesebuah masyarakat. Individu yang dibesarkan dalam kelompok masyarakat membentuk nilai dan kepercayaan mereka berdasarkan norma masyarakat tersebut. Kebudayaan sosial terdiri daripada dua aspek iaitu aspek demografi dan aliran kebudayaan dalam masyarakat. Demografi berkait rapat dengan data populasi seperti saiz, kepadatan lokasi, umur, jantina, bangsa, pekerjaan, penghijrahan populasi dan statistik lain yang berkaitan dengan populasi (Mily, 2011). Faktor statistik demografi mudah diperolehi kerana ia adalah data pungutan kerajaan dan ia boleh digunakan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kajian serta pengawasan terhadap syarikat dalam demografi penting kerana populasi membentuk pasaran (Azianlin, 2007). Contohnya, dalam aspek demografi di mana Boon Siew Honda Sdn Bhd mula beroperasi pada tahun 1958 di Pitt Street, Pulau Pinang kerana pada ketika itu, bandar tersebut merupakan pusat tumpuan ekonomi dan ia juga merupakan kawasan populasi penduduk yang tinggi (Mohammad Fikri, 2011).
2.4              Eleman persekitaran makro ialah politik dan undang-undang. Persekitaran ini
merujuk kepada pelaksanaan dan penggubalan undang-undang oleh pihak kawalan syarikat yang memberi pengaruh atau had di dalam firma atau individu dalam masyarakat (Armstrong & Kotler, 2011). Undang-undang di dalam persekitaran makro meliputi peraturan-peraturan yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan seperti reka bentuk produk dan menetapkan harga terhadap barang kawalan, pengiklanan, upah dan persekitaran tempat kerja seperti rangka undang-undang yang diwujudkan yang memerlukan syarikat memenuhi atau mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Perniagaan juga dikawal oleh undang-undang yang sedia ada seperti Undang-Undang Kontrak, Undang-Undang Jualan Barang-Barang, Undang-unang Sewa Beli, Undang-Undang Perkongsian, Undang-Undang Syarikat dan sebagainya. Syarikat tidak boleh sesuka hati melakukan sesuatu perkara bagi tujuan membaiki dan mengekalkan keadaan yang sedia ada (Azianlin, 2007). Contohnya Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menetapkan undang-undang syarikat melalui matlamatnya di mana bertujuan untuk mengukuhkan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan cekap semasa melakukan usahasama bersama Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd (Danny Tan, 2012).

3.0              KESAN ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO KEPADA ORGANISASI
Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah ekonomi di mana persekitaran ekonomi boleh mempengaruhi kuasa beli dan corak perbelanjaan pengguna. Faktor-faktor ekonomi adalah kebimbangan kepada firma pemasaran kerana ia boleh mempengaruhi permintaan, kos, harga dan keuntungan. Antaranya perubahan di dalam pendapatan iaitu apabila pendapatan meningkat, kuasa beli juga akan meningkat (Girijasankar & Bhar, 2011). Contohnya, semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, industri automobil menghadapi kesukaran apabila unit jualan semakin menurun. Boon Siew Honda Sdn Bhd turut menerima kesan krisis ini di mana penjualan syarikat merosot daripada 78% unit menjunam kepada 25% unit sahaja bagi tahun tersebut (Danny Tan, 2012).
3.1              Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah teknologi. Teknologi merupakan tenaga yang paling dramatik yang memberi kesan kepada usahawan atau syarikat (Kotler at el, 2011). Dengan menukarkan teknologi boleh menjejaskan permintaan bagi produk dan perkhidmatan firma, proses pengeluaran dan bahan-bahan mentah serta turut menjejaskan proses dalam melaksanakan tugasan (Kotler et al, 2008). Menurut Yusof et al (2004) mengatakan bahawa tindakan firma membawa masuk teknologi yang baru ke dalam firma yang mempunyai teknologi yang lebih rendah, akan memberi kesan kejutan kepada firma tersebut. Tindakan ini akan menyebabkan kesukaran kepada firma untuk saling menyesuaikan diri terutamanya jika perubahan bertentangan dengan polisi atau objektif sebenar firma. Perubahan ini mengakibatkan pembaziran dari segi masa, pengangguran, tenaga, wang dan juga sumber-sumber lain (Mily, 2011). Ia juga mengancam survival produk, firma atau industri. Perubahan teknologi telah menyebabkan lebih banyak peluang dan ancaman kepada pemasar. Ini kerana peningkatan dalam teknologi banyak mempengaruhi dunia pemasaran. Contohnya,. Boon Siew Honda Sdn Bhd telah meningkatkan dan mengembangkan penggunaan mesin seperti robot yang diimport dari negara Jepun bagi tujuan mengeluarkan produk yang lebih bermutu dan berinovatif. Namun, kesannnya menyebabkan berlaku pengurangan dalam tenaga kerja yang membawa kepada masalah krisis pengangguran di dalam negara (Danny Tan, 2012).
3.2              Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah kebudayaan sosial sama ada melalui demografi atau kebudayaan. Elemen persekitaran demografi boleh mempengaruhi pemasar dalam strategi pemasaran meliputi jumlah kuantiti produk yang akan dikeluarkan, produk yang sesuai dikeluarkan dan sebagainya. Sekiranya strategi yang digunakan tidak sesuai, ini akan merugikan syarikat. Melalui kebudayaan pula, institusi dan kuasa-kuasa lain memberi kesan kepada nilai-nilai asas masyarakat, persepsi, keutamaan dan tingkah laku (Kotler et al, 2011). Elemen persekitaran ini boleh memberi ancaman dan peluang kepada organisasi terutama dari aspek keperluan dan kehendak pelanggan. Contohnya, sikap prejudis masyarakat di Malaysia pada ketika dahulu terhadap negara Jepun ekoran kejahatan dan penyeksaan yang telah dilakukan oleh Jepun semasa memasuki dan menceroboh Tanah Melayu. Kesannya dapat dilihat semasa awal penubuhan Boon Siew Honda Sdn Bhd di mana mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat serta tidak mendapat sokongan daripada ramai pihak. Ini kerana, ekoran daripada budaya masyarakat pada waktu tersebut adalah prejudis kepada negara Matahari Terbit iaitu Jepun (Danny Tan, 2012).
3.3              Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah politik dan undang-undang. Politik dan undang-undang yang dibuat merupakan sebahagian daripada persekitaran makro di mana setiap kumpulan yang berlainan akan bersaing dengan tujuan untuk memperolehi perhatian dan sumber. Keadaan ini berlaku kerana para usahawan atau majikan telah menggunakan kekuatan politik yang mereka ada. Para usahawan perlu menerima dan mematuhi polisi, undang-undang dan peraturan di mana perniagaan tersebut dijalankan. Usahawan terpaksa menerima unsur-unsur politik dan undang-undang yang dibuat atau telah di buat bagi tujuan pelaburan. Antaranya, ia merujuk kepada berlakunya rasuah, ketidakstabilan dan keganasan di kawasan di mana perniagaan dijalankan. Di kawasan yang risiko politik adalah tinggi, adalah sukar dan mempunyai kos yang tinggi untuk usahawan membeli, melindungi dan mengatur sumber yang menyebabkan berlakunya penambahan kos untuk pelaburan baru (Kotler et al, 2011). Undang-undang penting yang dilihat yang boleh menjejaskan perniagaan atau pelaburan termasuklah undang-undang dalam bidang kepenggunaan, hubungan pekerja, alam sekitar dan amalan yang kompetitif. Persekitaran ini boleh mempengaruhi sesebuah organisasi khususnya mempengaruhi objektif organisasi, dasar, keputusan, sekatan undang-undang dan juga undang-undang berkaitan cukai (Mily, 2011).  Contohnya, melalui undang-undang halangan perdagangan dan tariff yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan barangan yang didagangkan dalam pasaran antarabangsa. Keadaan ini bukan sahaja menyekat, malah menghalang sumber aliran bebas dari negara lain. Contohnya, selaku pelindung kepada industri tempatan seperti industri automobil di Malaysia yang telah dikenakan sekatan perdagangan. Keadaan ini turut memberi kesan kepada syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd yang menjalankan eksport dan import barangan antarabangsa (Danny Tan, 2012).

4.0              CADANGAN UNTUK MENGURUSKAN ELEMEN-ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO DALAM ORGANISASI
4.1              Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam aspek ekonomi. Organisasi atau syarikat perlu membuat analisa dan kajian terhadap dasar ekonomi, sistem ekonomi dan persekitaran ekonomi sama ada pada tahap tempatan, nasional dan global di mana operasi dan perkhidmatan mereka dijalankan. Ini kerana persekitaran ekonomi memainkan peranan penting di dalam kegagalan dan kejayaan sesebuah organisasi atau syarikat. Syarikat perlu mengenalpasti tahap keadaan ekonomi yang akan atau memberi lebih kesan kepada organisasi dan syarikat serta harus meninjau, memantau, meramal dan mentafsir persekitaran ekonomi sama ada diperingkat domestik atau dunia. Usahawan bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran semasa memulakan perniagaan tetapi juga semasa perniagaan sedang berkembang (Azianlin, 2007). Persekitaran ekonomi merangkumi semua produk dan penghasilan dalam perkhidmatan, pengedaran, penjualan dan penggunaan. Syarikat atau organisasi perlu saling berhubungkait antara satu sama lain (Cheng Soon, 2009). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mengembangkan perniagaannya di pasaran antarabangsa seperti di Brunei dan Singapura kerana syarikat ini telah melakukan kajian dan pemantauan dengan melihat faktor ekonomi negara tersebut yang berkembang dan maju. Keadaan ini memberi kesan ke atas peningkatan di dalam permintaan dan boleh mengembangkan ekonomi syarikat (Danny Tan, 2012).
4.2              Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam aspek teknologi di mana, penggunaan teknologi baru yang lebih konsisten dan efisen (Kotler et al, 2008). Syarikat perlu membuat perubahan kecil terhadap reka bentuk, produk formulasi dan pengeluaran serta bahan dan pengedaran. Melalui ini, penciptaan teknologi baru selalunya mempunyai nilai ekonomi dan tiada saingan pada peringkat awal serta selalunya dimonopoli oleh individu tersebut (Cheng Soon, 2009). Organisasi atau syarikat juga perlu bijak mengawal dan memantau perubahan teknologi serta mengesan penggunaan teknologi untuk membantu mengisi keperluan manusia. Ia bertujuan agar produk yang lebih inovatif dapat dicipta dan diterima dipasaran sasaran. Ia boleh mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti dalam pengeluaran produk dan membawa kepada inovasi. Contohnya, kesan daripada kemajuan teknologi turut memberi kesan kepada Boon Siew Honda Sdn Bhd dalam pengeluaran produk-produk. Ekoran daripada perkembangan teknologi menyebabkan syarikat dapat mengeluarkan produk yang lebih baik dan bermutu tinggi mengikut peredaran masa dan permintaan berbanding pada awal pengeluaran produknya. Pada awal penubuhan, Boon Siew Honda Sdn Bhd hanya menghasilkan satu produk sahaja iaitu Honda Cub. Namun, setelah dikaji dan wujudnya teknologi-tenologi yang moden serta kecanggihan peralatan mesin yang ada, pelbagai model motosikal dapat dihasilkan (Cheng Soon, 2009). Keadaan ini disebabkan kesan daripada perkembangan teknologi yang banyak membantu dalam menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti.
4.3              Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam aspek kebudayaan sosial seperti aspek demografi dan budaya. Dalam aspek demografi, organisasi atau para usahawan perlu menilai perubahan demografi untuk mengenalpasti peluang perniagaan yang ada.. Sesebuah syarikat perlu membuat pemantauan dan penyelidikan sama ada dalam aspek lokasi, saiz, kepadatan, bilangan penduduk, kelas sosial, dan statistik lain berhubung populasi penduduk dalam sesebuah negara atau kawasan. Ini kerana ia mempengaruhi perkembangan sesebuah syarikat atau organisasi terutama dalam aspek jumlah kuantiti produk yang akan dikeluarkan atau produk yang sesuai dikeluarkan kerana populasi membentuk pasaran. Ini dapat dilihat melalui populasi penduduk di mana meningkatnya populasi menyebabkan kuasa beli akan menjadi semakin besar. Selain itu, ke semua unsur ini menjadi faktor sumbangan kepada kehendak pengguna, kuasa membeli dan kapasiti syarikat . Ini menunjukkan para usahawan perlu melihat faktor-faktor demografi terlebih dahulu sebelum membuka atau memulakan operasi dalam perniagaan mereka Dalam kebudayaan pula, usahawan perlu menilai dan memantau pertukaran cara hidup masyarakat bagi tujuan untuk mengenalpasti peluang perniagaan. Usahawan perlu meramal dan menilai perubahan yang berlaku untuk memperolehi kejayaan dan keuntungan. Usahawan juga boleh menggunakan informasi data yang ada dari sumber umum dan sendiri untuk menilai perubahan ini (Kotler et al, 2008). Contohnya, pada awal penubuhan syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd, Honda Cub telah dipasarkan setelah syarikat membuat pemantauan dan kajian bahawa produk tersebut akan mendapat sambutan yang luar biasa. Ini kerana, motisikal terebut boleh membawa banyak muatan dan tahan lasak. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan pada waktu tersebut, syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd melihat kenderaan ini akan dijadikan kenderaan untuk mengangkut muatan kepada masyarakat terutama golongan petani serta ia juga murah berbanding motosikal lain. Syarikat telah membuat pemantauan dan kajian terlebih dahulu tentang permintaan dan kehendak masyarakat. Manakala, maintenance dan spare part juga murah dan senang untuk ditunggangi (Cheng Soon, 2009).
4.4              Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam aspek politik dan undang-undang. Organisasi atau syarikat perlu menilai dan mengawasi persekitaran politik sepenuhnya untuk mengenalpasti ancaman dan peluang yang ada. Syarikat juga perlu mengawasi apa yang sedang dan akan berlaku kerana ia akan memberi kesan, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada syarikat. Ia juga bertujuan agar tindakan yang dilakukan tidak mendatangkan sebarang masalah iaitu dengan membuat perancangan produk dan program pemasaran syarikat. (Azianlin, 2007). Keadaan ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat di dalam syarikat atau firma dan ia juga memberi peluang kepada usahawan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. Menurut Hogan et al (1999), memperbaiki pengurusan persekitaran undang-undang iaitu dengan cara meningkatkan dan menetapkan peraturan, garis panduan dan dasar-dasar dalam sesebuah syarikat atau firma yang wajib dipatuhi. Ini bertujuan mewujudkan firma atau syarikat yang lebih berkembang dan maju (Kotler et al, 2011).  Selain itu, ia bertujuan mewujudkan atau mengenakan kawalan untuk menghadkan keuntungan yang berlebihan serta menggalakkan penggunaan oleh pelanggan. Selain itu juga, ia bertujuan untuk menggalakkan pelanggan atau pembekal membayar kos penuh dan mengenakan kawalan untuk mencegah tingkah laku yang jahat. Ia juga bertujuan untuk memantau dan menguruskan prestasi dan kualiti bagi memastikan standard yang boleh diterima. Contohnya, melalui elemen politik, semasa awal penubuhan syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd, syarikat ini telah dilantik sebagai pengeluar tunggal Honda di Malaysia. Kesannya tidak wujud persaingan di dalam pasaran ekonomi tempatan. Keadaan ini baik untuk perkembangan ekonomi syarikat tersebut (Cheng Soon, 2009). 

5.0              KESIMPULAN
Persekitaran merujuk kepada faktor yang memberi kesan positif atau negatif kepada keupayaan syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi dan berkembang, di samping mengekalkan arusniaganya dengan pembeli dan pengguna sasaran. Perubahan sentiasa berlaku dalam persekitaran sama ada secara mendadak, perlahan atau tidak menentu. Keadaan ini mampu memberi kesan yang mendalam dan mengejut kepada syarikat atau organisasi. Oleh itu, apa yang dapat dirumuskan, organisasi berada di dalam satu persekitaran yang luas. Dalam persekitaran ini, wujud kuasa-kuasa yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal yang mana akan memberi peluang serta ancaman kepada keupayaan syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi. Apabila sesebuah organisasi mula beroperasi, ia tidak berada dalam satu keadaan yang strategik atau tidak berubah.
Untuk berjaya, sesebuah syarikat atau organisasi perlu mematuhi strategi persekitaran syarikat atau organisasi serta di mana ia beroperasi atau dapat membentuk semula syarikat atau organisasi tersebut dengan lebih baik melalui pilihan strategi yang berkesan. Apa yang dapat dilihat, langkah yang perlu di ambil untuk mengurus elemen ini ialah dengan membuat perancangan yang baik di mana syarikat atau organisasi perlu memahami persekitaran makro terlebih dahulu. Ini kerana, syarikat atau organisasi bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran semasa memulakan operasi syarikat atau organisasi, tetapi syarikat atau organisasi perlu juga mengkaji semasa operasi syarikat atau organisasi sedang berkembang. Oleh itu, syarikat atau organisasi dilihat gagal apabila strategi organisasi tidak sesuai dengan persekitaran di mana syarikat atau organisasi beroperasi.
Dalam erti kata lain, syarikat atau organisasi boleh dipengaruhi oleh persekitaran ini, namun, syarikat atau organisasi tidak boleh mempengaruhi persekitaran ini. Sesebuah syarikat atau organisasi perlu mengetahui strategi perancangan yang perlu diselaraskan agar syarikat atau organisasi boleh mendapatkan dan mengekalkan syarikat tersebut terutama dalam aspek berdaya saing. Apa yang dapat dilihat, persekitaran makro terdiri daripada kuasa-kuasa yang berada di luar syarikat atau organisasi dan secara amnya ia tidak boleh diubah oleh tindakan syarikat atau organisasi tersebut. Persekitaran ini dilihat berhubung secara tidak langsung dengan syarikat atau organisasi.
Menurut McLaughlin dan Kaluzny (1999), persekitaran makro boleh mempengaruhi syarikat atau firma di dalam perkhidmatan yang dilakukan. Persekitaran makro dilihat banyak mempengaruhi strategi perkhidmatan di dalam sesebuah syarikat atau firma dengan harapan usaha ini akan meningkatkan hubungan antara firma, pengurus dan pelanggan dengan memberi manfaat dan kebaikan kepada semua pihak (Mohammad Fikri, 2011).
Kesimpulannya, setelah mengawasi serta mengetahui peranan dan pengaruh persekitaran makro kepada syarikat, firma atau organisasi, terdapat kesan secara langsung dan tidak langsung yang boleh memberikan peluang dan ancaman untuk jangka waktu pendek atau panjang dan menjadikan syarikat atau organisasi semakin kukuh atau sebaliknya bergantung kepada tindakan dan pendekatan yang di ambil oleh organisasi. Oleh itu, syarikat atau organisasi perlulah mengawasi sebarang perubahan yang berlaku di dalam elemen-elemen tersebut agar tidak memberi kesan yang buruk kepada syarikat.


PENYALAHGUNAAN DADAH

HASIL TULISAN ASAL: MIMI HAMIZA IBRAHIM



1.0           PENGENALAN

Dadah atau drug dalam bahasa Inggeris lazimnya diertikan sebagai ubat-ubatan. Perkara penting mengenai dadal ialah ianya selalu disalahguna atau “misuse” dan “abuse” (Mohamad Samad, 2008).
Dari sudut agama, dadah juga dibincangkan secara khusus. Di dalam kitab suci Al-Quran, istilah “khamar” yang diharamkan digunakan bagi semua bahan yang memabukkan atau boleh menghilangkan fikiran. Oleh yang demikian, dadah boleh dikategorikan sebagai satu daripada jenis “khamar” kerana ia boleh memabukkan, mengkhayalkan dan menyebabkan penagihan dan pergantungan, perubahan tingkah laku, emosi, ragam dan pemikiran (Syed Arabi Idid, 2007).
Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif, sama ada berbentuk asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental (Mohamad Samad, 2008).
Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan dadah seperti kokain, ganja, heroin, syabu dan ectasy dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaan dadah tersebut yang di ambil untuk mengubah perasaan dan fikiran masyarakat dan juga dikenali sebagai dadah yang disalahguna (Abdul Halim, 2010).
            Penyalahgunaan dadah melibatkan perlakuan yang berulang-ulang atau penggunaan dadah secara berlebihan. Kebiasaannya penggunaan dadah secara berlebihan akan mendatangkan perasaan gembira yang tidak terhingga dan ketagihan dadah juga bertujuan melarikan diri daripada kenyataan. Penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan kehidupan seharian setiap individu terganggu. Penagih dadah lebih cenderung menggunakan dadah secara berterusan walaupun berlaku masalah dalam diri atau masyarakat serta sering terlibat dengan masalah perundangan dan meletakkan diri mereka dalam situasi yang berbahaya (Heppner et al, 2009).
  



2.0           PERBINCANGAN DAN PEMAHAMAN MENGENAI PENAGIHAN DADAH DI MALAYSIA

Gejala penyalahgunaan dadah dikalangan masyarakat di Malaysia semakin serius dan tidak dapat dibendung lagi. Hal ini demikian kerana dadah yang pada asalnya menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya melainkan jika ia tidak disalahgunakan (Abdul Halim, 2010).  
            Menurut laporan dan statistik daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang di kesan di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 menunjukkan negeri Perak merupakan negeri yang mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 597 orang atau 15.78%. Manakala, negeri Selangor merekodkan bilangan penagih dadah kedua tertinggi iaitu seramai 596 orang. Bagi negeri di bayah bayu iaitu Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatat jumlah penagih dadah paling rendah iaitu sebanyak 0.00% dan 0.05% bagi tempoh tersebut (AADK, 2013).
Penagih dadah di Malaysia menunjukkan kaum Melayu mencatatkan bilangan penagih tertinggi iaitu seramai 3,028  orang atau 80.04%. Manakala, diikuti oleh kaum India sebanyak 447 orang atau 11.82% dan kaum Cina pula sebanyak 272 orang atau 7.19% sahaja. Manakala, kaum pribumi Sabah telah mencatatkan jumlah yang paling sedikit iaitu sebanyak 7 orang atau 0.19% (AADK, 2013).
Statistik penyalahgunaan dadah dilihat dari aspek jantina di mana, seramai 3,715 orang iaitu 98.20% penagih lelaki di kesan dalam tempoh tersebut dan 68 orang iaitu 1.80% adalah melibatkan penagih wanita. Berdasarkan laporan AADK menunjukkan golongan belia merupakan golongan yang paling ramai terdedah dengan risiko penagihan dadah atau penyalahgunaan dadah. Ini dapat dibuktikan melalui perangkaan majorti penagih belia yang dikesan iaitu seramai 2,663 orang atau 70.47% belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun. Manakala, golongan dewasa yang berumur di anatara 40 hingga 50 tahun ke atas mencatat jumlah sebanyak 977 orang iaitu 25.85% dan diikuti golonga remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun sebanyak 139 orang iaitu 3.68% (AADK, 2013).
Penyalahgunaan dadah juga turut melibatkan golongan yang mempunyai pekerjaan di mana statistik menunjukkan penagih dalam sektor buruh am mencatatkan bilangan tertinggi bagi penagih yang bekerja iaitu 1,012 orang iaitu 26.75% dan diikuti dengan sektor perkhidmatan serta pertanian dan perikanan iaitu sebanyak 525 orang atau 13.88% serta 479 orang atau 12.66%. Manakala, bagi penagih yang tidak bekerja iaitu penganggur mencatatkan jumlah sebanyak 345 orang iaitu 9.12%. Namun, sektor perkeranian mencatatkan jumlah yang sedikit iaitu 6 orang iaitu 0.16% sahaja. Majoriti penagih yang di kesan di Malaysia menunjukkan bahawa 1,570 orang atau 41.82% adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat tingkatan tiga iaitu LCE, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diikuti 1,351 orang atau 35.99% yang mempunyai tahap pendidikan MCE, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Manakala, bilangan yang paling rendah terlibat dalam penyalahgunaan dadah ialah mereka yang mempunyai tahap pendidikan peringkat ijazah iaitu sebanyak 6 orang atau 0.16% sahaja (AADK, 2013).
            Terdapat beberapa faktor penagih yang di kesan terjebak dengan penagihan dadah, namun faktor utama dilihat adalah daripada pengaruh rakan sebaya dan sikap diri sendiri. Keadaan ini dapat dilihat melalui statistik AADK di mana pengaruh kawan iaitu sebanyak 1,487 orang iaitu 41.61%, diikuti dengan perasaan ingin tahu sebanyak 689 orang iaitu 19.28% dan untuk tujuan mencapai keseronokan sebanyak 614 orang iaitu 17.18%. Manakala, faktor-faktor yang lain seperti tekanan jiwa mencatat sebanyak 290 orang atau 8.11%, rangsangan sebanyak 42 orang atau 1.18% serta secara tidak sengaja sebanyak 9 orang iaitu 0.25% (AADK, 2013).
Terdapat beribu-ribu jenis dadah diseluruh dunia yang digunakan oleh lebih 200 juta manusia untuk pelbagai tujuan antaranya dadah analgesik seperti aspirin, asetaminofen, morfina, heroin dan kodeina. Manakala, dadah rekreasi seperti alkohol,  nikotin, kafeina, kanabis, kokaina dan inhalan serta jenis dadah penggalak prestasi pula seperti amfetamin, efedrina dan steroid anabolik. Tanpa disedari, semua masyarakat di dunia telah menggunakan beberapa jenis dadah dalam kehidupan antaranya ubat-ubatan seperti paracetamol dan antibiotik yang membantu menyembuhkan sekiranya tidak sihat. Manakala, teh, kopi dan coklat juga mengandungi sejenis dadah rangsangan yang dikenali sebagai kafein. Akan tetapi jenis dadah ini tidak mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada individu, masyarakat dan negara (Mohamad Samad, 2008). Oleh itu, penggunaan bahan minuman dan makanan ini tidak salah di sisi undang-undang.
Menurut laporan AADK bagi tempoh Januari hingga Jun 2013, jenis dadah yang paling banyak digunakan oleh penagih adalah jenis heroin iaitu seramai 1,742 orang atau 46.05%, diikuti morfin seramai 1,172 orang atau 30.98% dan ganja seramai 582 orang atau 15.38%. Manakala, seramai 286 orang atau 7.56% dikesan menggunakan dadah Amphetamine type stimulants (ATS) iaitu dadah sintetik yang terdiri daripada methamphetamine iaitu syabu, pil ectasy dan amphetamine (AADK, 2013).
            Terdapat beberapa cara penggunaan dadah yang telah digunakan oleh penagih dadah seperti menggunakan dadah secara chase iaitu menghidu asap hasil daripada ramuan dadah yang telah di masak atas dapur khas, diikuti dengan cara menghisap, suntikan dan menelan. Contohnya, menurut statistik AADK bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 menunjukkan seramai 3,048 orang iaitu 80.57% penagih dadah telah menggunakan  cara chase dan diikuti seramai 574 orang iaitu 15.17% dengan menggunakan cara hisap, 85 orang iaitu 2.25% menggunakan cara telan serta 76 orang atau 2.01% menggunakan cara suntikan (AADK, 2013).
Namun begitu, pelbagai usaha dan langkah-langkah telah di ambil oleh kerajaan bagi membendung masalah ini semakin berleluasa. Antara langkah-langkah yang telah di ambil oleh kerajaan ialah dengan mengadakan kempen kepada golongan atau kumpulan yang sering menjadi sasaran para penjual dadah. Selain itu, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat di mana mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri, berehat daripada sebarang pekerjaan dapat mengurangkan tekanan, mengamalkan senaman ringan, sentiasa berfikiran positif dan menjaga kebersihan dari segi mental dan fizikal melalui ajaran agama masing-masing. Media massa juga memainkan peranan penting seperti menyalurkan maklumat tentang kesengsaraan hidup yang dibelenggu oleh dadah dipaparkan di majalah bagi memupuk kesedaran orang ramai. Selain itu juga, melalui pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu dengan memperkenalkan Skim Lencana Antidadah, ceramah dan pameran anti dadah, kaunseling kelompok dan individu, program motivasi dan seminar pendidikan keibubapaan. Keadaan ini dilihat banyak membantu kerajaan untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah (Angel, 2013).
Contohnya, laporan dan statistik daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang di kesan di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 menunjukkan seramai 3,783 orang penagih telah di kesan dan menunjukkan penurunan sebanyak 20.53% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2012 iaitu seramai 4,760 orang (AADK, 2013).

3.0           KENALPASTI CABARAN MERAWAT PENAGIH DADAH DI MALAYSIA

Terdapat beberapa cabaran dalam merawat penagih dadah di Malaysia iaitu cabaran yang pertama ialah masalah penyeludupan dan pengedaran dadah yang masih belum dapat dibanteras sepenuhnya. Usaha dan tindakan penguatkuasa undang-undang terbukti masih belum dapat mengurangkan masalah pengedaran dadah di negara ini. Keadaan ini mengakibatkan bekalan dadah semakin meningkat di pasaran dan seterusnya memburukkan lagi masalah penagihan. Malaysia merupakan negara yang berkedudukan strategik kepada penyeludup dan pengedar dadah di peringkat antarabangsa (Mohamad Samad, 2008). Contohnya, dalam senario pengedaran dadah antarabangsa, Malaysia telah lama digunakan oleh sindiket-sindiket pengedaran dadah sebagai negara transit kerana kedudukan Malaysia di laluan antarabangsa dari kawasan pengeluar candu “Golden Triangle” ke Australia, Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, Malaysia juga sempadan darat dengan Thailand yang telah menjadi saluran utama pengedaran dadah dan Malaysia juga bersempadan dengan semua negara ASEAN yang sesetengah daripadanya merupakan negara pengeluar dadah yang besar. Malaysia juga mempunyai garisan pantai yang panjang dan terdedah serta mempunyai sistem komunikasi yang baik. Pendekatan yang perlu di ambil bagi menangani masalah ini ialah kerajaan perlu memperketatkan undang-undang yang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti atau jenayah pengedaran dan penyeludupan dadah seperti mengenakan hukumn yang berat seperti memanjangkan tempoh tahanan, mengenakan hukuman sebat atau lain-lain dengan tujuan untuk memberi pengajaran kepada pihak yang terlibat (Angel, 2013).
            Cabaran ke dua ialah kurangnya sistem sokongan sosial atau social support system untuk membantu penagih terutama semasa menjalani pemulihan dalam komuniti. Sokongan sosial yang lemah tidak dapat membantu penagih menghindari relapse atau mengamalkan gaya hidup sihat. Contohnya, persepsi dan sikap masyarakat untuk terlibat dan komited dalam memerangi masalah dadah bukan satu tugas yang mudah, malahan sering mendapat respon dan tanggapan yang negatif. Sikap tidak prihatin, stigma negatif, sejeksi sosial dan sebagainya. Kesannya, akan menyulitkan usaha dan tindakan antidadah secara kolektif dalam masyarakat. Menyedari betapa pentingnya sokongan sosial yang tinggi untuk membantu penagih, usaha untuk mewujudkan sistem sokongan yang mantap dalam komuniti melalui penglibatan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu diberikan perhatian sewajarnya (Angel, 2013).
            Cabaran ke tiga ialah masalah penagih yang dijangkiti pelbagai penyakit kronik dan psikiatri juga merupakan cabaran penting yang perlu diberi perhatian serius. Penagih kategori ini memerlukan dual diagnosis iaitu bukan sahaja rawatan dan pemulihan terhadap masalah ketagihannya terhadap dadah tetapi dalam masa yang sama memerlukan jagaan dan rawatan perubatan atau psikiatri daripada pakar perubatan dan pakar perubatan psikiatri. Tumpuan yang berlebihan terhadap masalah ini akan mengurangkan perhatian terhadap masalah penagihan yang sebenarnya perlu diberikan perhatian dan keutamaan. Contohnya, penagih dadah yang mengalami masalah penyakit kronik seperti Aids atau HIV di mana memerlukan penjagaan dan rawatan rapi oleh pakar perubatan terutama pengambilan ubat-ubatan bagi mencegah penyakit ini daripada terus merebak. Kesannya, pakar perubatan perlu memberikan lebih perhatian terhadap penyakit yang dihadapi oleh penagih dan terpaksa melupakan untuk sementara waktu mengenai proses pemulihan sehingga keadaan penagih stabil dan baik. Oleh itu, pendekatan perlu dilakukan agar masalah ini dapat dielakkan antaranya dengan melantik dan menambah tenaga kerja dan ditempakan di pusat-pusat rawatan atau pemulihan (Abdul Halim, 2010).
            Cabaran ke empat ialah kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang pemulihan dadah mempunyai hubungkait dengan kurangnya keberkesanan program rawatan dan pemulihan yang dijalankan. Masalah ini mengakibatkan program pemulihan tidak dapat dijalankan dengan secara profesional untuk membantu penagih meninggalkan tabiat penagihan, mengekalkan kepulihan dan seterusnya mempraktiskan gaya hidup sihat tanpa dadah sebagai program kepulihan secara berterusan (Abdul Halim, 2010). Contohnya, dari segi kemahiran tenaga kerja, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agak terbatas dari segi bilangan tenaga kerja terlatih terutama di bahagian klinikal. Sebilangan besar staf klinikal yang terlibat secara langsung dengan program rawatan dan pemulihan tidak mempunyai kepakaran yang secukupnya. Akibatnya, ia membataskan keberkesanan dari segi deliverables. Oleh itu, pendekatan yang perlu di ambil untuk menangani masalah ini di mana dalam konteks seruan kerajaan supaya penumpuan diberikan kepada aktiviti R&P, kemahiran dan kepakaran staf klinikal perlulah diusahakan agar mereka dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan (AADK, 2013).

4.0           PERANAN PENTING DAN TANGGUNGJAWAB MENTAL HEALTH NURSES DALAM MEMBASMI STIGMA PENYAKIT DAN PROGRAM PEMULIHAN

4.1           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit iaitu menyediakan bantuan fizikal dan sokongan emosi yang praktik kepada pesakit. Tujuan agar penagih tabah dalam mengharungi kehidupan kerana penagih berhadapan dengan kesukaran dalam mengharungi kehidupan yang sangat mencabar bersama-sama masyarakat. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah beranggapan golongan penagih tiada harapan untuk sembuh dan ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka bergaul dengan penagih dadah. Contohnya, Mental Health Nurses telah memberikan kata-kata semangat, kasih sayang, teguran dan nasihat kepada penagih agar tabah dalam menjalani kehidupan ekoran kecaman dan pandangan yang pelbagai daripada masyarakat disekeliling (Abdul Halim, 2010).
4.2           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit iaitu penyampaian secara lisan kepada ahli keluarga penagih sama ada secara formal atau tidak formal. Ini bertujuan agar keluarga dapat menerima penagih dadah dan tidak menyingkirkan penagih ekoran bimbang terhadap pandangan negatif masyarakat terhadap keluarga yang mempunyai ahli keluarga seorang penagih. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah di mana keluarga yang mempunyai ahli keluarga seorang penagih dadah akan dipandang serong oleh keluarga dan ini akan menjatuhkan maruah keluarga serta keluarga akan mendapat malu (Abdul Halim, 2010). Contohnya, dengan mewujudkan hubungan interpersonal antara Mental Health Nurses dengan keluarga penagih dadah melalui komunikasi. Komunikasi sama ada secara lisan, bahasa badan dan sebagainya. Mental Health Nurses perlu peka dan prihatin keperluan yang diperlukan oleh keluarga penagih dadah. Ia penting kerana keluarga penagih dadah berada dalam persekitaran yang sangat tertekan (Mohamad Samad, 2008).
4.3           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit melalui aktiviti penyertaan iaitu aktiviti yang menggalakkan penyertaan dan interaksi kumpulan sasar secara aktif. Mental Health Nurses menggunakan penceramah jemputan, tayangan video, kes kajian atau petikan daripada rencana. Penyertaan ini antara Mental Health Nurses bersama badan-badan atau organisasi-orgsnisasi yang lain sama ada badan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) bersama penagih dan masyarakat. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah di mana masyarakat menyamakan penagih dadah dengan penjenayah. Ini kerana penagih dadah akan melakukan jenayah seperti merompak dan membunuh sekiranya tidak mempunyai wang untuk membeli dadah. Oleh itu, penagih dadah dianggap sebagai sampah masyarakat yang perlu dikurung dan dihukum (Mohamad Samad, 2008). Contohnya, Mental Health Nurses bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah bekerjasama dengan membuat taklimat, kursus, seminar, motivasi, berkongsi pengalaman dan pameran kepada masyarakat tentang penagihan dadah. Melalui program ini, akan memberi kesedaran terhadap masyarakat mengenai peranan yang boleh dan perlu dilakukan untuk membantu penagih dadah kembali ke jalan sebenar (Abdul Halim, 2010).
4.4           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit iaitu melalui aktiviti penyayang di mana aktiviti ini melibatkan ahli masyarakat dan pemimpin untuk mewujudkan perpaduan, saling mempercayai dan menyokong antara satu dengan lain. Ia merupakan usaha yang berbaloi bagi menolak wujudnya diskriminasi terhadap penagih kerana aktiviti penyayang ini menyenai kasih sayang dan sokongan menaikkan status individu dan mewujudkan masyarakat penyayang, berperikemanusiaan sejajar dengan kehendak agama dan negara. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah di mana masyarakat menganggap “masalah ini bukan masalah kita tetapi masalah orang lain” hanya keranan tiada ahli keluarga mereka yang hadapi atau terlibat dengan masalah penagihan dadah. Maka, masyarakat akan merasa selesa, sedangkan jika masalah ini dibiarkan ia boleh menjadi semakin rumit dan kebarangkalian menjangkiti anak-anak mereka serta generasi akan datang adalah sangat tinggi (Mohamad Samad, 2008). Contohnya, Mental Health Nurses telah mengadakan program atau aktiviti di pusat-pusat yang menjadi tumpuan masyarakat iaitu masjid, sekolah dan universiti serta di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta untuk menyebarkan kesedaran mengenai penagih dadah. Malah, lawatan dari rumah ke rumah juga dilakukan bagi menunjukkan sokongan antara satu sama lain (Abdul Halim, 2010). 

5.0           KESIMPULAN

Memandangkan penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah ialah masalah bersama masyarakat, maka sewajarnya semua anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing untuk membasminya. Ia boleh dimulakan di rumah dan di bangku sekolah bersama dengan pengawalan anggota keluarga dan pihak sekolah yang mencakupi penggunaan masa, pergaulan dan lain-lain lagi.
Seterusnya, selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh kerajaan, pemulihan juga adalah satu alternatif untuk mengurangkan kadar pengagihan dan pengambilan semula dadah. Anggota masyarakat perlu juga sedia menerima mereka yang sudah insaf akan kesalahan mereka.
Pendek kata, pengawalan adalah lebih baik daripada pengubatan. Lebih tumpuan haruslah diberikan kepada aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap penyalahgunaan dadah melalui pendidikan secara formal di sekolah, kempen-kempen dari semasa ke semasa dan media massa. Dengan demikian, kita boleh menghalang pengihan dadah dari terus berakar umbi.
Oleh itu, penyalahgunaan dadah merupakan maslaah sejagat dan harus dibendung dengan segera terutamanya dalam kalangan belia. Ini kerana golongan ini dianggap sebagai pemimpin pada masa depan, namun lebih banyak cenderung kepada gejala ini. Masalah ini jika tidak dibendung akan menyebabkan kepimpinan negara akan mundur. Telah timbul pelbagai persepsi bahawa negara Malaysia telah gagal menguruskan masalah pengagihan dadah akibat peningkatan jumlah penagihan dadah dari tahun ke tahun. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk menilai semula program-program pemulihan yang sedia ada amat dialu-alukan. Malah, matlamat kerajaan untuk memastikan negara mencapai matlamat negara sifar dadah selaras dengan hasrat kerajaan untuk  menjadikan negara bebas dadah menjelang tahun 2015 akan berjaya jika diusahakan oleh seluruh rakyat Malaysia secara bersama-sama.