GST..what...
Cadangan untuk mengganti sistem cukai
jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumpsi yang digelar sebagai GST
telah diumumkan pada pembentangan bajet 2005 oleh Perdana Menteri ketika
itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Awalnya ia dicadang untuk
dikuatkuasakan bermula 1 hb Januari 2007. Dalam usaha untuk meningkatkan
keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, Bajet 2005 mencadangkan
penyusunan semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan
yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini katanya
bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan
berupaya menjana hasil negara.
GST akan menggantikan
cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Pada masa ini cukai jualan
dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat
perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan
tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran. GST didakwa sebagai
sistem cukai yang lebih komprehensif, efisyen, telus dan efektif. Ia
juga diduga akan menambahkan pendapatan cukai tahunan untuk kerajaan.
Dalam sebuah reaksi seorang pensyarah perakaunan dari UiTM berpendapat
GST tidak membebankan dan akan menambahkan hasil negara.
Pada 29 November 2009 Menteri Kewangan
Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataannya telah mendakwa
kerajaan akan memperoleh pendapatan cukai tahunan sebanyak RM 1 bilion
dari GST. Beliau berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan
GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum
memperkenalkannya. Ditambah lagi, dikatakan GST akan dapat mengurangkan
cukai korporat dan cukai pendapatan individual.
Kini negara jiran yang melaksanakan GST
adalah Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kadar GST yang
diguna oleh negara-negara ini waktu ini ialah Singapura 5%, Thailand 7%,
Indonesia 10% (digelar sebagai cukai nilai tambah – VAT) dan Filipina
10%. GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang
undang-undang pada Mac tahun depan (2010). Ini bermakna cukai itu akan
berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011.
Apa itu GST?
VAT/GST
diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré, untuk mengganti
sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu
berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang
tidak begitu berkesan.
Kini 138 negara melaksanakan
Value Added Taxes (VAT) sementara beberapa negara – terutama US,
mengenakan cukai jualan, biasanya cukai pada satu aras sahaja
diperingkat runcit. Dalam hamper semua negara cukai-cukai ini adalah
sama ada penyumbang terbesar atau penyumabang kedua besar kepada peroleh
negara.
GST atau dalam Bahasa Inggeris
Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang
dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai.
Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption
tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai
Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.
GST adalah cukai penggunaan dan
ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan
untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan
pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar
untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau
perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.
GST diambil kira dalam setiap
tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga
sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi
perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.
Aktiviti yang dicukai merangkumi
aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang
berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan
atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung
atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya,
persatuan atau kelab.
Harga bekalan yang dijual
ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh
menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam
bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai
ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.
Bekalan yang dikecualikan cukai
Bagaimanapun,
barangan atau perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak
dikenakan cukai. Di Australia, umpamanya, barangan dan perkhidmatan yang
tidak dikenakan cukai termasuk barangan makanan asasi (kecuali makanan
tersedia, makanan bawa-balik, snek, alkohol dan minuman ringan),
perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan, pendidikan dan penjagaan
kanak-kanak, utiliti, barangan tertentu yang dibekalkan oleh pertubuhan
amal dan agama, dan barangan dan perkhidmatan yang dieksport.
Pelaksanaan GST di negara ini
merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah
melaksanakannya. Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan
cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas
bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di
samping mengelak berlakunya inflasi. GST hanya dikenakan kepada barangan
atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan
tinggi. Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.
Ada yang mengsyaratkan jika
diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu
meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di
samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan
menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan
sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaanya
membolehkan setiap lapisan masyarakat diberi pengetahuan mengenainya.