Usaha mencari, menyelamat diperluas
Sepang: Usaha mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)
MH370 yang dilaporkan hilang bersama 227 penumpang dan 12 krew
diperluaskan dengan bantuan pasukan penyelamat antarabangsa pelbagai
negara, termasuk China, Vietnam, Singapura dan Amerika Syarikat, kata
Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, sehingga petang
semalam, operasi mencari masih diteruskan selepas usaha peringkat
pertama yang memfokuskan di kawasan isyarat terakhir pesawat itu
dikesan, gagal mendapat sebarang petanda.
“Selepas berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, (Tan Sri
Muhyiddin Yassin) dan Pemangku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri
Hishammuddin Hussein) serta agensi berkaitan, kita putuskan untuk
memperluaskan usaha mencari dan menyelamat.
“Untuk tujuan ini, kita sudah menambah bilangan aset. Bilangan pesawat kini ditambah menjadi 15 iaitu empat unit C130, unit Bombardier (dua), Helikopter Agusta (dua), unit CN 235 (satu), EC 725 (empat), Beachcraft (satu), King Air (satu) serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM),” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hulur bantuan
Mengulas lanjut, Najib berkata, Vietnam sudah memberi persetujuan untuk pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di perairan mereka, manakala China juga bersedia menghulurkan bantuan.
“Saya juga sudah bercakap dengan Perdana Menteri China, Xi Jinping kerana 153 daripada penumpang pesawat MH370 itu adalah rakyat republik terbabit dan satu rakyat Taiwan. Beliau menyatakan China akan membantu kita dalam operasi mencari dan menyelamatkan sehingga apa yang kita harapkan berhasil,” katanya.
Selain itu, katanya Amerika Syarikat menerusi tentera laut mereka juga menawarkan bantuan untuk menghantar pesawat mereka menyertai operasi berkenaan.
“Saya juga menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Long), yang menyatakan kesudian untuk menghantar sebuah pesawat C130 untuk menyertai operasi,” katanya yang menyifatkan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai kejadian itu.
Walaupun muncul pelbagai teori mengenai kehilangan pesawat itu, Najib menegaskan, semuanya akan tinggal teori sehinggalah pasukan mencari menemui bukti kukuh mengenainya.
Najib beri sokongan moral
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dan memberikan sokong moral kepada ahli keluarga penumpang pesawat terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mengesahkan MAS turut memberi tumpuan memberi sokongan emosi kepada keluarga terbabit di negara ini dan di Beijing.
Sementara itu, Najib menerusi Twitternya, mengarahkan agar semua langkah diambil bagi mengesan pesawat MAS yang hilang pagi semalam ketika dalam perjalanan dari sini ke Beijing.
“Doa dan ingatan saya untuk anggota keluarga penumpang penerbangan MH370. Saya sudah pun meminta agar semua langkah yang boleh diambil,” kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan