25 November 2012

GLOBALISASI MEMPENGARUHI MAJIKAN DALAM MEMILIH GRADUATES

DISEDIAKAN OLEH : PN MIMI HAMIZA IBRAHIM




1.0              PENGENALAN
Globalisasi telah membuka ruang kepada persaingan sengit antara individu (pekerja), firma (majikan) dan negara sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Globalisasi juga telah berjaya menakluki dunia dan Malaysia merupakan salah satu negara yang telah berjaya mengatur kedudukan dalam grid arus pensejagatan. Melalui ekonomi yang berorientasikan global, keadaan ini sekaligus menimbulkan keperluan dalam memilih pekerja di mana proses pemilihan dilihat turut berdasarkan perspektif global. Kesannya menyebabkan terdapat beberapa kemahiran yang diperlukan oleh majikan dalam memilih graduates atau pekerja bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan pekerjaan yang dilakukan tercapai (Dearden et al, 2002).
Kemahiran atau kriteria yang diberi penekanan adalah berdasarkan kepada beberapa kemahiran yang telah dikenalpasti. Menurut Overtoom (2000) beliau telah mendefinisikan kemahiran ini adalah satu aspek kompetensi pekerja yang harus diketahui dan dimiliki oleh setiap pekerja untuk membolehkan mereka menjadi seorang pekerja yang benar-benar trampil dan berkeupayaan tinggi dalam dunia pekerjaan yang mereka ceburi (Overtoom, 2000).
Kemahiran dan juga kualiti individu yang diperlukan ini berguna kepada semua pihak, tidak kira sama ada dalam pengusahaan secara kecil-kecilan, mahupun dalam bidang pengusahaan berskala besar. Kemahiran dalam diri pekerja merupakan kemahiran yang boleh dipindahkan dari satu bidang kerja ke satu bidang kerja lain. Ia tidak meliputi kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh sesuatu bidang pekerjaan yang khusus sahaja, malah ia merangkumi pemilihan pekerja dalam semua bidang kerjaya (Yahya Buntat, 2004). Ini bermakna, pihak industri tidak kira apa jua bentuk industri yang diusahakan sangat memerlukan pekerja yang berketrampilan dalam pelbagai kemahiran.
Kajian yang telah dijalankan oleh Yahya Buntat (2004) mendapati antara kemahiran yang perlu ada bagi seorang graduates atau pekerja yang dianggap penting oleh majikan semasa proses pemilihan pekerja iaitu Kemahiran Pengalaman Dalam Bidang Berkaitan, Kemahiran Dalam Bidang Teknologi dan Komunikasi, Kemahiran Dalam Pembelajaran Secara Berterusan, Kemahiran Dalam Kualiti Peribadi dan Kemahiran Dalam Penggunaan Dwi Bahasa (Yahya Buntat, 2004).
2.0              KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG DIPERLUKAN OLEH MAJIKAN DALAM PROSES PEMILIHAN GRADUATES ATAU PEKERJA:-
2.1       Kemahiran Pengalaman Dalam Kerja Berkaitan
Kemahiran pengalaman dalam kerja berkaitan amat penting kepada majikan kerana graduates atau pekerja yang diambil bekerja akan dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan lebih baik. Pengalaman yang bersesuaian dengan kerja yang ditawarkan juga menggambarkan produktiviti pekerja (ILO, 2003). Ini kerana pengalaman kerja amat penting terutama dalam keadaan majikan mengalami kekurangan atau tiada pekerja di bidang berkenaan.
Kemahiran dalam pengalaman kerja berkaitan turut memudahkan arahan yang diberi oleh majikan kepada pekerja senang difahami. Ini kerana, pekerja yang memiliki pengalaman mampu memahami setiap arahan yang diberi serta melaksanakan arahan kerja dengan lebih berkesan. Malah terdapat majikan yang tidak mengiktiraf status sebagai pekerja berkemahiran sekiranya pekerja tersebut tidak mempunyai pendedahan atau pengalaman kerja yang berkaitan dengan kerja yang ditawarkan. Menurut ILO (2003) beliau telah menjelaskan majikan cuba menarik lepasan graduates yang berpengalaman kerana mereka lebih produktif dan dapat menjimatkan kos pembiayaan latihan ketika bekerja (ILO, 2003). Contohnya, kemahiran yang digariskan oleh majikan untuk mengambil pekerja yang ingin menjawat jawatan sebagai Pendawai Elektrik atau Juruteknik Elektrik. Pekerja tersebut perlulah memiliki kelayakan kemahiran teknikal dan kemahiran bolehkerja yang memiliki pengetahuan asas dalam bidang elektrik (Zirkle, 2002).
Namun begitu, masih terdapat beberapa graduates yang pada umumnya menguasai dalam pengetahuan teori tetapi masih kekurangan dalam pengalaman kerja yang berkaitan. Menurut ILO (2001) beliau menyatakan antara masalah yang wujud dalam suasana ekonomi yang sedang berkembang pesat, di mana, masih terdapat tenaga kerja yang kurang mempunyai pengalaman yang bersesuaian (ILO, 2001). Kesannya akan menjejaskan organisasi atau firma yang bakal diceburi.

2.2       Kemahiran Dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Menurut Mallough & Kleiner (2001) beliau menyatakan kemahiran menggunakan komputer dan kemahiran dalam berkomunikasi merupakan kemahiran yang turut menjadi perhatian majikan ketika proses pemilihan pekerja (Mallough & Kleiner, 2001). Keadaan ini sejajar dengan perkembangan ekonomi global di mana, kemahiran dalam bidang teknologi maklumat amat dititikberatkan oleh majikan. Penggunaan komputer bagi menggantikan teknik lama adalah selari dengan tuntutan peredaran zaman.
Menurut Willett & Luan (2000) yang menyatakan kemahiran komputer sebagai pelengkap tugas kerana pelbagai aplikasi dan laporan hanya perlu dikemaskini data ke dalam sistem sahaja (Willett & Luan, 2000). Keadaan ini menunjukkan kemahiran komputer penting untuk pekerja dipelbagai jenis industri dan apa jua jenis pekerjaan. Ini kerana, majikan mula menyedari kepentingan dalam kemahiran teknologi maklumat kerana penggunaan komputer semakin berkembang luas dan dapat membantu meningkatkan kerjaya pekerja tersebut di masa akan datang. Menurut Wood & Lange (2000) menyatakan terdapat graduates yang gagal dalam memiliki kemahiran komputer dan kesannya, graduates ini tidak akan dipilih oleh majikan (Wood & Lange, 2000).
Kemahiran dalam komunikasi pula dilihat merangkumi komunikasi secara lisan, bertulis dan mendengar. Komunikasi adalah mengenai jelas, padat, fokus, mendengar, menyesuaikan dan menyampaikan mesej kepada individu lain. Definisi komunikasi iaitu proses di mana manusia menghantar dan menerima mesej serta manusia berkongsi atau bertukar idea, pendapat dan maklumat (Mohd Yahya Mohamed Ariffin, 2010). Di dalam dunia pekerjaan, kemahiran dalam komunikasi merupakan kekuatan kepada sesebuah organisasi atau syarikat. Komunikasi seseorang pekerja dilihat berkesan apabila mesej yang disampaikan boleh difahami dengan jelas dan tepat oleh penerima. Komunikasi dilihat oleh majikan antara kemahiran yang perlu ada oleh pekerja atau graduates kerana komunikasi amat penting di tempat kerja sama ada komunikasi di antara pengurus dengan pekerja, komunikasi pekerja dengan pengurus, komunikasi sesama pekerja dan komunikasi dengan pelanggan (Mohd Yahya Mohamed Ariffin, 2010). Contohnya, dalam sektor perkhidmatan. Kemahiran komunikasi memainkan peranan yang penting untuk mengeratkan hubungan dengan pelanggan. Keupayaan berkomunikasi dengan baik juga memudahkan pekerja menyesuaikan diri dengan pelbagai pihak termasuk pihak pengurus atasan, rakan sekerja, pelanggan dan orang awam (Mohd Yahya Mohamed Ariffin, 2010). Keadaan ini akan memberi kesan yang baik kepada perkembangan dan nama syarikat.
2.3       Kemahiran Pembelajaran Secara Berterusan
Kemahiran pembelajaran secara berterusan juga diharapkan oleh majikan kepada pekerja atau graduates. Kriteria ini akan dilihat wujud di dalam diri pekerja atau graduates tersebut semasa proses temuduga berlangsung. Ini kerana aspek pembelajaran secara berterusan di tempat kerja amat ditekankan oleh majikan dan aspek ini penting terutama kepada pekerja baru (Loose, 2004).
Keadaan ini bukan sahaja bertujuan untuk menyesuaikan diri di tempat kerja baru atau di dalam bidang baru, tetapi juga untuk menyesuaikan diri dengan tugasan yang spesifik dalam organisasi berkenaan. Pembelajaran di tempat kerja sama ada pembelajaran secara sendiri atau belajar dari orang lain (Loose, 2004).
Menurut ACCI (2002) beliau menyatakan majikan menghendaki pekerja memiliki kemahiran belajar secara berterusan yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan peningkatan diri serta operasi syarikat secara berterusan (ACCI, 2002). Pembelajaran secara berterusan amat dititikberatkan ekoran daripada perubahan teknologi sama ada teknologi yang diimport dari luar negara atau dalam negara. Contohnya pekerja yang bekerja di sektor pembuatan. Penerapan teknologi baru memerlukan pekerja mempelajari dan memahami dalam mengurus dan menyelenggara mesin apabila proses pengautomasian digunakan (Malaysia, 2001). Oleh itu, perlunya seseorang pekerja yang telah bersedia mempelajari perkara atau bidang baru. Penemuan ini menunjukkan pentingnya pembelajaran secara berterusan di tempat kerja, terutamanya pembelajaran melalui amalan dan pengetahuan dalam teknologi (Yahya Buntat, 2004).
Menurut ILO (2003), beliau menyatakan matlamat majikan ialah mendapatkan pekerja yang berterusan untuk menimba ilmu dan menggunakan pengetahuan serta kemahiran baru. Keadaan ini menunjukkan amalan pembelajaran secara berterusan juga bertujuan memperbaiki proses pengeluaran dan keluaran bagi meningkatkan daya saing di dalam organisasi. Kemahiran ini dilihat penting kerana operasi kerja moden kini yang lebih dinamik. Majikan juga telah menyedari bahawa melalui kemahiran ini akan memberi pulangan yang baik dan menyokong kepada kemajuan syarikat atau organisasi pada masa hadapan (ILO, 2003).
2.4       Kemahiran Dalam Kualiti Peribadi
Kemahiran dalam kualiti peribadi merupakan kluster yang turut menjadi perhatian oleh majikan ketika proses pemilihan pekerja di Malaysia. Menurut Ramlee et al (2001) beliau menyatakan majikan meletakkan kemahiran kualiti peribadi sebagai kriteria utama dalam proses pemilihan pekerja (Ramlee et al, 2001).
Terdapat beberapa kualiti peribadi pekerja yang dilihat oleh majikan seperti pengurusan diri, interaksi sosial, etika kerja, keyakinan diri, bekerja secara bersistematik, kerja berpasukan dan kepimpinan (Ramlee et al, 2001). Selain itu juga, ACCI (2002) menyatakan majikan juga mengharapkan graduates memiliki kualiti peribadi dalam diri yang pelbagai seperti penguasaan mengelola kerja, kemahiran berfikir, mengurus masa dan ketelitian dalam melaksanakan tugas (ACCI, 2002). Ini kerana majikan memerlukan pekerja yang sudi bertanggungjawab terhadap suasana dan tugas yang akan diberikan. Keikhlasan semasa bekerja, bekerja secara bersungguh-sungguh dan berdisiplin juga merupakan antara kualiti peribadi yang dianggap penting oleh majikan.
Melalui kemahiran dalam kualiti peribadi pekerja, majikan inginkan pekerja yang mempunyai sifat ikhlas serta menunjukkan kesungguhan inginkan pekerjaan yang ditawarkan. Majikan juga dapat menjangkakan keikhlasan dan kesungguhan pemohon ketika proses temuduga dijalankan (Jones, 2002).
Selain itu, sikap disiplin perlu ada dalam diri graduates sama ada dalam pemakaian atau pun masa. Menurut Tan (2003) beliau menyatakan kriteria kemahiran dalam pengurusan disiplin masa adalah amat penting (Tan, 2003). Ini kerana, terdapat majikan yang memerlukan pekerja yang sudi dengan waktu bekerja yang fleksibel. Contohnya, dalam sektor pembinaan. Ianya melibatkan kerja-kerja pendawaian yang melebihi masa kerja atau kerja di luar waktu bekerja. Oleh itu, majikan memerlukan pekerja yang mampu dan boleh bekerja mengikut waktu yang diperlukan oleh majikan (NEAC, 2003).
Pengurusan diri juga termasuk di dalam kualiti peribadi yang dicari oleh majikan di dalam memilih pekerja. Melalui pengurusan diri, aspek ketepatan dan ketelitian tugas akan ditonjolkan oleh pekerja dan pekerja juga akan menunjukkan komitmen terhadap tugasan yang diberikan. Ia juga dapat meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan syarikat (ACCI, 2000).
Selain itu, kemahiran dalam kualiti peribadi dapat dilihat dalam diri melalui kerja secara berpasukan. Kerja berpasukan merupakan salah satu aktiviti pembelajaran di tempat kerja yang diharapkan oleh majikan. Kesannya memberi kesan kepada pekerja yang telah menunjukkan dan menampilkan kerjasama yang baik ketika bekerja (Turner, 2002). Ini akan memberi kesan kepada organisasi atau firma kerana akan mewujudkan kebolehan untuk menyelesaikan tugas, menyelesaikan halangan-halangan kerja dan menawarkan sokongan bersama- sama rakan ketika kerja.
Selain itu juga, kemahiran dalam kualiti peribadi iaitu kerja secara bersistematik. Pendedahan kerja secara bersistematik juga amat diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pekerja dalam melakukan tugasan yang diberikan serta menunjukkan pekerja lebih produktif (ILO, 2001). Keadaan ini menunjukkan majikan amat memerlukan pekerja yang mempunyai kualiti peribadi yang tinggi dan berkesan. Kualiti peribadi ini akan dinilai oleh majikan semasa proses temuduga atau sesi suaikenal bersama pekerja.
2.5       Kemahiran Penggunaan Bahasa Inggeris, Dwi Bahasa atau Pelbagai Bahasa
Kemahiran ini mula diberi perhatian oleh majikan kesan daripada era globalisasi dan di dalam dunia tanpa sempadan. Kemahiran dalam komunikasi terutamanya penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris merupakan aset bernilai yang perlu ada pada setiap pekerja (Hariati Azizan & Lee Yen Mun, 2011).
Penguasaan dalam bahasa Inggeris perlu ditingkatkan kerana ia diperlukan terutamanya untuk memahami prosuder serta manual teknologi yang diimport dari luar negara. Tambahan pula, bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dunia dalam perhubungan. Menurut Ramlee et al (2001) beliau menyatakan kurang fasih dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan pekerja atau graduates menghadapi kelemahan dalam komunikasi (Ramlee at al, 2001). Keadaan ini akan memberi kesan negatif kepada perkembangan syarikat atau firma.
Contohnya, dalam industri perkilangan. Tugas seorang Jurutera tidak sama seperti dahulu. Kini mereka perlu melibatkan diri dalam pelbagai aspek perniagaan serta berinteraksi dengan pelanggan yang datang dari pelbagai negara di seluruh dunia. Oleh itu, apa yang dilihat, penguasaan dan komunikasi dalam bahasa Inggeris amatlah ditititberatkan oleh majikan dalam proses pemilihan pekerja (Hariati Azizan & Lee Yen Mun, 2011).
Namun, apa yang dibimbangkan, masih terdapat pekerja atau graduates yang masih tidak mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik dan kesannya mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Ini kerana penguasaan dalam bahasa Inggeris yang lemah akan mempengaruhi daya saing global di Malaysia dan negara akan ketinggalan (Hariati Azizan & Lee Yen Mun, 2011).
Selain dari penguasaan bahasa Inggeris, majikan akan memberi bonus kepada pekerja atau graduates yang boleh menggunakan pelbagai bahasa lain antaranya bahasa Cina, bahasa Jepun atau lain-lain bahasa (Hariati Azizan & Lee Yen Mun, 2011). Ini kerana, syarikat atau firma tidak akan menghadapi masalah sekiranya ingin menjalinkan hubungan perniagaan dengan negara-negara luar kerana mempunyai tenaga kerja yang boleh dan mahir bertutur dalam pelbagai bahasa.


3.0              CADANGAN-CADANGAN KEPADA GRADUATES, BADAN-BADAN KERAJAAN ATAU INSTITUSI PENDIDIKAN DI MALAYSIA AGAR DIBEKALKAN DAN DISEDIAKAN KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG DIPERLUKAN OLEH MAJIKAN DALAM MEMILIH PEKERJA:-
3.1              Graduates:-
3.1.1        Graduates perlulah bijak dalam memilih kursus yang ditawarkan dan perlu melihat serta menilai kemampuan diri dan kesesuaian diri dalam kursus yang dipilih. Graduates juga perlu belajar untuk menceburkan diri dalam aktiviti atau bengkel yang melibatkan kemahiran-kemahiran tertentu. Antaranya kemahiran dalam komputer, kemahiran dalam memahami pelbagai bahasa, kemahiran berfikir dan sebagainya.
3.1.2        Graduates perlulah mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran baru serta kemahiran yang pelbagai bagi mengelakkan kemungkinan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan (Mohamad Nizam Mohamad Salleh, 2008). Ini kerana, graduates terpaksa bersaing untuk merebut peluang pekerjaan. Contohnya, dalam sektor industri yang tidak hanya mensyaratkan graduates yang mempunyai kelulusan kejuruteraan sahaja, tetapi turut melihat aspek komunikasi iaitu penguasaan komunikasi dalam bahasa Inggeris.
3.2              Badan- Badan Kerajaan atau Institusi Pendidikan:-
3.2.1        Kerajaan perlu menekankan pembelajaran secara kemahiran seperti latihan vokasional dan teknikal melalui institusi latihan kemahiran yang telah diperkenalkan (Mohamad Nizam Mohamad Salleh, 2008). Ini merupakan salah satu usaha untuk melahirkan graduates yang berkemahiran dan bermotivasi tinggi. Keadaan ini membantu menyumbang kepada penawaran kerja terutama dalam sektor pembangunan dan perindustrian. Contohnya, Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) menawarkan kursus dalam bidang elektrik dan graduates bukan sahaja tahu melalui teori tetapi juga melalui amali (Mohamad Nizam Mohamad Salleh, 2008). Sistem latihan memberikan graduates memperolehi pengalaman dan kelayakan dalam bidang kemahiran apabila bekerja.
3.2.2        Penglibatan kerajaan secara aktif dalam membangunkan program atau latihan dan sokongan kepada sektor swasta. Antara sokongan seperti dalam mengendalikan program latihan kerana ia merupakan usaha penting dalam memastikan kualiti latihan dapat dikekalkan mengikut piawaian yang ditetapkan. Keadaan ini bertujuan menambah tahap kemahiran sedia ada bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti kerja serta membantu graduates mendapatkan peluang pekerjaan. Malah, ia akan memberikan hasil positif sama ada dari sudut kuantiti atau kualiti.
3.2.3        Penubuhan institusi-institusi latihan dan kemahiran baru secara berterusan di bawah pengelolaan pelbagai Kementerian dan dipantau oleh Kementerian Pendidikan dilihat salah satu usaha dalam menarik lebih ramai graduates yang dilengkapi dengan kemahiran. Ia sejajar dengan kehendak majikan dan dapat melahirkan sumber tenaga yang mahir. Contohnya, mewujudkan institusi di bawah pengelolaan Kementerian Teknologi Maklumat yang akan melahirkan graduates yang mahir dalam bidang komputer.
3.2.4        Kerajaan juga perlu memperuntukan perbelanjaan kepada institusi-institusi kemahiran tertentu untuk tujuan jangka masa panjang dan jangka masa pendek.









4.0              Kesimpulan
Kesimpulannya, apa yang dilihat, majikan amat menitikberatkan dan menilai kemahiran pekerja yang bakal dipilih berdasarkan kemahiran-kemahiran yang akan memberi manfaat dan keuntungan kepada syarikat atau firma. Kemahiran yang dilihat ini harus diberi perhatian yang sewajarnya selaras dengan wawasan negara bagi melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Keadaan ini menunjukkan majikan menghendaki pekerja bukan sahaja dapat menguasai kemahiran teknikal malah kemahiran bolehkerja. Penemuan kehendak majikan selari dengan tenaga kerja yang diperlukan dalam perkembangan ekonomi global yang telah mewujudkan dunia tanpa sempadan.
Bagi graduates pula, mereka perlulah bersedia dalam menghadapi situasi perkembangan arus pembangunan dan perlu bertindak bijak dalam menangani situasi ini. Sekiranya graduates tidak melengkapkan diri dan tidak bersedia semasa dalam pengajian di kampus, ia akan menyebabkan graduates ketinggalan dan kesukaran untuk bersaing dengan graduates yang lain akan wujud. Malah, akan memberi kesan yang negatif kepada mereka di masa akan datang.
Oleh itu, majikan dan pekerja perlulah saling memberi kerjasama yang sewajarnya kerana kedua-duanya saling memerlukan di antara satu sama lain.

(2469 patah perkataan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan