25 November 2012

PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA



 DISEDIAKAN OLEH : PN MIMI HAMIZA BT IBRAHIM

PERSEPSI PELAJAR  TERHADAP PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA  
BAB 1


PENGENALAN


1.0        Latar Belakang Kajian

Kanser bermula apabila sel-sel di bahagian badan mula berkembang di luar kawalan. Pertumbuhan sel kanser adalah berbeza daripada pertumbuhan sel yang normal. Sel-sel kanser juga boleh menyerang tisu lain, di mana sel-sel norma tidak boleh melakukannya. Sel-sel menjadi sel kanser kerana kerosakan kepada DNA. Dalam sel normal, apabila DNA mendapat kerosakan, sel tersebut sama ada “dibaiki” atau mati. Namun, dalam sel kanser, DNA yang rosak tidak “dibaiki”, tetapi sel tersebut tidak akan mati dan akan mewujudkan sel-sel baru yang tidak diperlukan oleh badan. Jenis kanser adalah berbeza-beza dari segi perkembangan dan rawatan (Azam Bin Fikri, 2012).
Barah payudara merupakan kanser yang paling tua di dunia yang diketahui oleh manusia sebagai “kanser ketumbuhan dalam manusia”. Penghuraian tentang kanser telah diketahui oleh orang Mesir purba sejak berkurun lamanya. Pada zaman tersebut, tiada istilah kanser atau barah digunakan. Pelbagai pandangan dan pendapat oleh para penyelidik kesihatan menyatakan bahawa, penyakit ini tidak mempunyai cara untuk dirawat dan selama berabad-abad, para doktor tidak mampu merawat penyakit ini. Tetapi, pada kurun ke-17, apabila pemahaman tentang sistem peredaran darah telah diperkenalkan, para doktor telah berjaya memahami tentang hubungan antara kanser payudara dan nodus limfa di ketiak. Pakar bedah berbangsa Perancis iaitu Jean Louis Petit (1750) dan pakar bedah berbangsa Scottish iaitu Benjamin Bell (1806) merupakan pakar bedah yang terawal yang berjaya membuang tisu (kanser) payudara (Abd Aziz Bin Mohamad, 2012). Kanser payudara adalah kanser yang paling tinggi dan penyebab utama kematian di kalangan wanita di Malaysia. Kanser payudara berpunca dari sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan yang tidak terkawal. Jika tidak dikesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian-bahagian lain seperti tulang, paru-paru dan hati (Cafem, 2008).
Secara relatif, mengikut bancian organisasi kanser setiap 100,000 wanita di dunia, 25 orang meninggal dunia disebabkan kanser payudara. Dari 100,000 wanita, 127 orang adalah penderitaan kanser payudara (Cafem, 2008). Peratus kanser payudara yang tertinggi adalah di Eropah Utara dan Amerika Utara, sederhana di Negara-negara Mediterranean dan Amerika Selatan serta paling rendah di Asia dan Afrika. Pada tahun 2000, terdapat 1,050,346 kes dilaporkan dengan 372,969 kematian akibat kanser payudara diseluruh dunia (A.Kadir Bin Mohammad, 2012). Di Malaysia, daripada 56% jumlah bilangan pesakit kanser, 18% adalah penghidap penyakit kanser payudara (Cafem, 2008). Kanser payudara merupakan kanser yang paling biasa keseluruhnya dan kanser paling biasa di kalangan semua wanita dari umur 20 tahun di Malaysia bagi tahun 2002 dan 2003. Seorang wanita di Malaysia mempunyai 1 per 19 kemungkinan menghidap kanser payudara dalam hayat mereka.  Anggaran oleh Agensi Antarabangsa untuk penyelidikan dalam kanser iaitu Globocan 2000 melaporkan bahawa pada tahun 2000, terdapat 3,825 kes dilaporkan dan 1,707 kematian akibat kanser payudara di Malaysia. Globocan 2000 menganggarkan secara kasar kadar kanser payudara di Malaysia sebanyak 34.9 per 100,000 orang dengan Age-Standardised Incidence Rate (ASR) adalah 41.9 per 100,000 orang. Pada tahun 2006, National Cancer Registerya menyatakan kes kanser payudara meliputi 9,974 lelaki dan 11,799 perempuan. The Age-Standardised Incidence Rate (ASR) untuk semua kanser pada tahun 2006 mengikut jantina ialah 131.3 per 100,000 dan 5 jenis kanser yang paling utama mengikut populasi di Semenanjung Malaysia pada tahun 2006 ialah payudara, kolorektal, paru-paru, servix, dan nasopharynx (A.Kadir Bin Mohammad, 2012).
Apa yang dapat dilihat, masih ramai dikalangan masyarakat di Malaysia tidak sedar tentang betapa pentingnya penjagaan dan pencegahan kanser payudara (Hidayat Shariff, 2011). Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Kanser payudara adalah salah satu kanser yang paling mudah di kesan dan pengesanan boleh dilakukan dengan pemeriksaan payudara. Semua wanita yang berusia 20 tahun dan lebih perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) pada setiap bulan sepanjang hayat mereka (Feroz Bin Othman, 2012). Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) boleh dilakukan sendiri di rumah atau di mana-mana tempat persendirian. Teknik yang betul serta cara yang mudah telah diperkenalkan bagi memberi kesedaran dan kemudahan kepada masyarakat (George Smith, 2008). Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) membolehkan masyarakat mengenali payudara sendiri. Apabila PSP dilakukan secara tetap iaitu sebulan sekali, ia akan membolehkan anda mengesan kelainan dan perubahan pada payudara sendiri. Walaubagaimana pun, PSP tidak boleh menggantikan pemeriksaan klinikal oleh doktor, namun ia boleh membantu mengesan kanser payudara lebih awal (Norhayati Binti Omar, 2000).
Namun, pelbagai persepsi tentang Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) dikalangan pelajar kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB). Pelbagai andaian, pemahaman dan penerimaan telah diterima dikalangan pelajar. Persepsi pelajar tentang kesedaran Pemeriksaan Payudara  perlu di ambil perhatian. Menurut Bimo Walgito (1998) menyatakan persepsi merupakan satu proses yang terjadi di dalam diri individu yang dimulai dengan penerimaan ransangan yang disedari dan diketahui oleh individu sehingga individu dapat mengenali dirinya sendiri dan keadaan disekitarnya (Shvoong, 2012).


1.1              Pernyataan Masalah

Keberkesanan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) adalah cara awal mengesan kanser payudara. Ia amat berguna untuk meningkatkan tahap kesedaran di kalangan wanita tentang perubahan yang berlaku pada payudara dan tubuh mereka sendiri. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewawarkan PSP sebagai aktiviti dalam amalan gaya hidup sihat. Pendidikan mengenai PSP telah disalurkan melalui media cetak dan elektronik. (D.Farhani 2003)

Berdasarkan perkembangan ini, penyelidik akan melakukan satu kajian  yang melibatkan pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 seramai 50 orang, berumur 19 hingga 25 tahun di Masterskill Global College Kota Bharu, Kelantan (MGCKB). la bertujuan untuk mengkaji adakah amalan PSP di kalangan responden serta hubungannya dengan pengetahuan dan sikap responden terhadap PSP.






1.2              Persoalan Kajian

1.2.1        Apakah persepsi pelajar terhadap amalan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)?

1.2.2        Berapakah peratusan pelajar yang mengamalkan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) dengan cara yang betul?

1.2.3        Apakah sumber pengetahuan pelajar tentang PSP dan kanser payudara?

1.2.4        Apakah tahap keyakinan diri pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) bersikap positif semasa melakukan Pemeriksaan Semula Payudara (PSP)?


1.3              Objektif Kajian

1.3.1    Objektif Umum
Untuk mengenalpasti keberkesanan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) di kalangan pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB)

1.3.2    Objektif Khusus
1.3.2.1             Untuk mengenalpasti persepsi pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) tentang amalan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

1.3.2.2             Untuk mengenalpasti tahap pengetahuan pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) dalam mengamalkan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

1.3.2.3             Untuk mengenalpasti bagaimana dan dari mana sumber maklumat yang diperolehi oleh  pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) mengenai Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) dan kanser payudara
1.3.2.4             Untuk mengenalpasti tahap keyakinan diri pelajar Diploma semester 8 di Kejururawatan Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) adalah positif semasa melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP


1.4              Kepentingan kajian

1.4.1    Memberi kesedaran kepada pelajar Diploma semester 8 di Kejururawatan Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) betapa pentingnya Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) agar kanser payudara  dapat dikesan pada peringkat awal

1.4.2    Tahap pengetahuan dapat dipertingkatkan dengan menyalurkan maklumat yang betul mengenai Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) mengikut teknik dan amalan yang betul

1.4.3    Memudahkan pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) mengetahui bagaimana dan di mana sumber maklumat mengenai Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) boleh diperolehi dan didapati dengan cara yang mudah

1.4.4        Mewujudkan sikap yang positif, rajin, selesa serta meningkatkan tahap keyakinan diri dalam diri pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) terutama semasa melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

1.4.5        Mendedahkan kepada pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) betapa pentingnya mengamalkan gaya hidup yang sihat





1.5       Limitasi Kajian

1.5.1    Penyelidik tidak mempunyai masa yang cukup kerana kajian yang dijalankan terlalu singkat

1.5.2    Semasa borang soal selidik diedarkan, tidak semua borang tersebut dikembalikan

1.5.3    Penyelidik hanya menjalankan kajian terhadap pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 sahaja


1.6       Definisi Istilah

            1.6.1    Kanser Payu Dara:
Merupakan barah tisu payudara atau buah dada (Abd Aziz Bin Mohamad, 2012).  

            1.6.2    Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP):
Pemeriksaan Sendiri Payudara bagi mengesan kehadiran benjol pada payudara perlu dilakukan sendiri setiap bulan, iaitu pada tiga atau empat hari selepas haid (Norhayati Binti Omar, 2000).

            1.6.3    Persepsi:
Persepsi merupakan interprestasi tentang apa yang dilihat dan dirasakan oleh individu. Persepsi juga sebagai satu proses bagaimana manusia memproses dan mengendalikan pelbagai maklumat yang didapati daripada persekitarannya dengan menggunakan pancaindera (Shvoong, 2012).


1.8       Rumusan bab

Sebagai bab pengenalan, Bab I telah diberitahu dengan asas-asas kajian. Latar belakang kajian telah membantu untuk memberi maklumat ringkas mengenai pemeriksaan sendiri payudara dan kanser payudara. Bab ini telah membincangkan pernyataan masalah, kepentingan, matlamat dan soalan penyelidikan kajian. Tiga soalan penyelidikan dibentangkan untuk membantu menetapkan fokus kajian. Selain daripada itu, bab ini juga menjelaskan definisi terma dan batasan kajian. Bab seterusnya, Bab II akan membincangkan mengenai kajian literatur lepas yang berkaitan dengan persepsi,tahap pengetahuan dan amalan pemeriksaan sendiri payudara

           






























BAB II


SOROTAN LITERATUR


2.0        Pengenalan

Bab ini akan bermula dengan meletakkan asas kajian yang termasuk dengan isu-isu yang berkaitan dengan  kanser payudara, gejala dan tanda kanser payudara, pencegahan kanser payudara, pemeriksaan sendiri payudara, dan cara melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP). Bab ini termasuk beberapa pandangan dan hujah-hujah mengenai pentingnya melakukan PSP untuk mengesan tanda awal keabnormalan pada payudara sendiri.


2.1       Kanser Payudara

Kanser payudara adalah kanser wanita yang paling utama dan ianya boleh berlaku kepada setiap wanita pada sebarang umur. Walau bagaimanapun kanser payudara adalah berkait rapat dengan umur, semakin lanjut usia wanita semakin tinggi kemungkinan untuk mengidap kanser payudara. Pada usia 30 tahun , 1 di dalam 280 wanita berkemungkinan mengidap kanser payudara tetapi pada usia 50 tahun, kemungkinannya meningkat kepada 1 di dalam 40 orang wanita (Azam Bin Fikri, 2012).
Menurut laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2003, sebanyak 3,738 kes kanser payudara telah dilaporkan pada tahun 2002 di Semenanjung Malaysia. Peratus kes kanser payudara di Malaysia adalah 46.2% bagi 100,000 populasi. Golongan yang paling ramai menghidap kanser payudara di Malaysia adalah dalam lingkungan usia 50 hingga 59 tahun. Hasil daripada Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2002 dan 2003, kanser payudara adalah paling ramai dikalangan kaum Cina, kemudian diikuti kaum India dan paling sedikit kaum Melayu. Kanser payudara boleh juga berlaku dikalangan kaum lelaki tetapi peratus atau jumlahnya terlalu rendah iaitu cuma 1% daripada keseluruhan kes kanser payudara (Rushdan Bin Noor, 2008).
Pada tahun 2002 dan 2003, kanser payudara menyumbang 31% daripada jumlah kes kanser wanita yang didiagnosis. Age-Standardised Incidence Rate (ASR) daripada kanser payudara dikalangan wanita ialah 52.8% per 100,000 orang pada tahun 2002 dan 46.2% bagi setiap 100,000 orang pada tahunb 2003. Dikalangan kaum Cina, kadarnya lebih tinggi dengan 70.1 bagi setiap 100,000 orang. Manakala, bagi kaum India pula, kadar piawai umur sebanyak 61.7% bagi setiap 100,000 orang dan yang paling rendah dikalangan kaum Melayu dengan kadar 41.9% bagi setiap 100,000 orang. Namun, kadar ini menurun pada tahun 2003, di mana kadarnya bagi kaum Cina sebanyak 59.7%, kaum India sebanyak 55.8% dan kaum Melayu sebanyak 33.9% (A.Kadir Bin Mohammad, 2012).


2.2       Gejala dan tanda kanser payudara

Menurut D.Farhani (2003), masalah utama untuk mengenalpasti kanser payudara adalah untuk mengesannya pada peringkat awal. Kanser payudara pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang tanda dan wanita yang menghidapnya tidak mempunyai sebarang gejala yang mencurigakan dan sukar dikesan (Rushdan Bin Noor, 2008).

Berikut adalah tanda-tanda dan gejala gejala yang mungkin menjadi petanda kanser payudara (Rushdan Bin Noor, 2008):

  • Ketulan pada payudara dan perubahan permukaan payudara yang  menjadi tidak rata.
  • Perubahan pada kulit payudara, kulit kelihatan berbintik, kemerahan  dan keras.
  • Keluar darah ataupun lendir berdarah dari puting susu.
  • Puting susu tenggelam ke dalam payudara.
  • Terdapat saluran darah yang menonjol di permukaan kulit payudara.
  • Luka yang tidak sembuh pada permukaan payudara
  • Terasa ada biji atau ketulan di bahagian ketiak
  • Hilang selera makan dan turun berat badan
  • Tanda-tanda kanser merebak ke organ-organ lain badan seperti ke paru-paru menyebabkan sukar bernafas dan batuk berdarah, sakit tulang, sakit kepala dan lain-lain lagi.


2.3       Pencegahan Kanser Payudara

Pengetahuan yang cukup mengenai kanser payudara adalah amat penting dan merupakan langkah pertama dalam usaha mencegah kanser payudara. Setiap wanita perlu mengetahui apa itu kanser payudara, cara merebak, komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku dan bagaimana ianya dikesan. Dengan pengetahuan ini, wanita-wanita akan lebih berhati-hati dan akan berjumpa dengan doktor lebih awal untuk pemeriksaan ( Azam Bin Fikri, 2012).

Antara langkah-langkah pencegahan kanser payudara:

      PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA (PSP)
Pemeriksaan sendiri payudara secara berkala adalah penting untuk mengesan sebarang kelainan kepada payudara wanita (George Smith, 2008).

      PEMERIKSAAN KLINIKAL PAYUDARA
Di samping melakukan sendiri pemeriksaan payudara, wanita juga digalakkan mendapatkan pemeriksaan dari petugas-petugas perubatan termasuk doktor dan jururawat yang terlatih. Wanita yang berusia 20 tahun ke atas digalakkan mendapat pemeriksaan klinikal payudara 3 tahun sekali sehingga berusia 40 tahun. Selepas 40 tahun, mereka digalakkan mendapat pemeriksaan setahun sekali (A.Kadir Bin Mohammad, 2012).

      UJIAN MAMOGRAFI 
Ujian mamografi adalah ujian X-Ray ke atas payudara. Ia merupakan salah satu kaedah saringan untuk mengesan kemungkinan kanser payudara. Kaedah mamografi adalah kaedah saringan yang paling utama untuk kanser payudara. Kajian menunjukkan ujian mamografi ke atas wanita berusia lebih 40 tahun telah dapat mengurangkan kadar kematian akibat kanser payudara sebanyak 18% . Walau bagaimanapun mamografi bukanlah 100% berkesan, kajian menunjukkan mamografi gagal mengesan kanser payudara di dalam lingkungan 10-15% daripada jumlah kanser payudara. Wanita harus faham bahawa mamografi adalah ujian saringan yang memerlukan pemeriksaan dan ujian lanjut (Abd Aziz Bin  Mohammad, 2012).


2.4       Pemeriksaan Sendiri Payudara  (PSP)

Sejak dari dahulu lagi, risiko kanser payudara di kalangan wanita adalah 1 bagi setiap 8 orang. Lebih awal kanser payudara dikesan, lebih besar peluang untuk rawatannya berjaya. Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) merupakan satu kaedah yang sangat mudah, penting dan berkesan untuk mengesan kanser payu dara di peringkat awal. Apabila PSP dilakukan secara tetap iaitu sekali sebulan, ia akan membolehkan mengesan kelainan dan perubahan pada payudara sendiri. Meluangkan beberapa minit sebulan untuk membuat PSP mungkin boleh menyelamatkan nyawa sendiri (Norhayati Binti Omar, 2000).
Jika  masih datang haid, PSP patut dibuat 3 hari selepas haid “berhenti” ataupun 7 hingga 10 hari selepas bermulanya haid. Kalau sudah putus haid ataupun telah membuat pembedahan rahim (histerektomi), PSP patut dibuat pada hari atau tarikh yang sama setiap bulan. Hari yang senang diingati adalah hari pertama setiap bulan (Feroz Bin Othman, 2012).
        Tanda-tanda yang perlu diperhatikan:
           benjolan di payudara atau ketiak
          perubahan luar biasa tekstur, bentuk, saiz payudara
          kulit payudara berkedut
          puting payudara tertarik ke dalam
          pendarahan atau lelehan luarbiasa dari puting payudara

Contoh: Pangkah (Ë) menunjukkan tempat di mana  terasa kelainan. Kalau membayangkan payudara sebagai “muka jam”, pangkah ini berada di payudara sebelah kiri jam 3:00  (pukul 3) dan 4 sentimeter daripada puting.

Rekodkan apa-apa perubahan atau kelainan dengan menggunakan gambarajah supaya boleh mengingati tempat terasanya kelainan dan ini membolehkan  membuat perbandingan dari sebulan ke bulan yang berikutnya.


2.5       Cara melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP)

 

Mengikut Feroz Bin Othman (2012) mengatakan, terdapat beberapa cara Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) iaitu:

 

2.5.1    Melihat perubahan di hadapan cermin:
      Tanggalkan pakaian pada paras pinggang dan berdiri di hadapan cermin. Angkat kedua-dua tangan ke atas. Memerhati saiz, bentuk, kulit dan keseimbangan payudara daripada beberapa sudut. Tangan diletak di sisi badan. Pusing ke kiri dan ke kanan dan memerhati payudara sekali lagi. Selepas itu, memerhatikan payudara apabila menegangkan otot bahagian dada dengan mencekak pinggang dan menolak ke bawah.

2.5.2    Mengesan dengan cara berbaring:
      Untuk memeriksa payudara kanan, letakkan bantal di bawah bahu kanan. Ini adalah untuk menaikkan bahagian yang akan diperiksa. Kemudian letakkan tangan kanan di bawah kepala. Ini akan “menggemukan” payudara yang lebih “leper” dan kurang bergerak semasa pemeriksaan dibuat.  

      Gunakan tangan kiri untuk memeriksa payudara sebelah kanan. Gunakan tapak jari (finger pads) untuk menekan secara sistematik seluruh payudara. Pastikan tapak jari adalah selari dengan permukaan kulit payudara. Kaedah urutan menegak, pusingan (circular) atau wedge boleh digunakan. Pilihlah sistem yang rasa sesuai dan gunakan kaedah yang sama setiap kali pemeriksaan dilakukan. Periksalah untuk benjolan.  

      Jangan lupa memeriksa seluruh payudara dan ketiak. Puting patut diperiksa untuk lelehan tetapi jangan menekan payudara dan puting terlalu kuat untuk mengeluarkan lelehan.

      Tukarkan bantal ke bawah bahu kiri untuk memeriksa payudara kiri dengan tangan kanan.  

.                                              Rajah menunjukkan pemeriksaan yang betul :
                                           






















BAB III


METODOLOGI


3.1       Pengenalan

Mengikut ODEC (1996) menyatakan di dalam Oxford Compact English Dictionary mendefinisikan kajian sebagai “the systematic investigation into and study of materials, and sources, in order to establish facts and reach new conclusions”. Manakala, mengikut Graziano dan Raulin (1996) mendefinisikan kajian dengan lebih ringkas sebagai suatu pencarian yang sistematik terhadap maklumat serta suatu proses penyelidikan. Mengikut Adams dan Schvaneveldt (1985), metodogi kajian merupakan suatu proses, suatu set perkakasan bagi melaksanakan suatu penyelidikan dan perolehan maklumat, serta juga suatu seni bagi melaksanakan suatu karya sains (Ku Azril Bin Ridzhiema, 2003).
Bab ini mengkaji kaedah yang dipilih untuk mendapatkan data mengenai persoalan kajian. Ini termasuk reka bentuk penyelidikan yang digunakan oleh pengkaji untuk mengumpul data dalam kajian ini. Kaedah  yang digunakan untuk kajian ini adalah dari segi kuantitatif. Instrumen yang digunakan ialah soal selidik. Selain daripada itu, penyelidik menerangkan  persampelan yang terlibat dalam kajian ini. Perbincangan mengenai prosedur pengumpulan data juga akan diterangkan. Ini termasuk penerangan mengenai prosedur mengumpul data melalui soal selidik. Bahagian akhir bab ini akan menjelaskan bagaimana  data akan diproses dan dianalisis.


3..2      Rekabentuk kajian

Penyelidikan reka bentuk merujuk cara maklumat dikumpul. Reka bentuk penyelidikan adalah  proses bagaimana penyelidik mendapatkan maklumat dari permasalahan yang berlaku. Kajian yang akan dilakukan dalam penyelidik ini adalah bersifat kuantitatif. Secara umumya, Fielding dan Schreier (2001) telah mengklasifikasikan bahawa antara jenis metodologi kajian salah satunya adalah kuantitatif. Menurut Neuman (2000), kaedah kuantitatif merupakan suatu pertanyaan terhadap masalah yang telah dikenalpasti yang mana berdasarkan kepada pengujian suatu teori yang digubah oleh pembolehubah, diukur melalui perwakilan nombor, dan dianalisa menggunakan teknik statistikal. Kaedah kajian kuantitatif yang biasa ialah kajian eksperimental dan kajian tinjauan (Ku Azril Bin Ridzhiema, 2003).
Pada asasnya, kaedah kuantitatif adalah berdasarkan kepada pengumpulan dan analisis data berangka yang diperolehi daripada soal selidik, ujian, senarai semak dan kertas rasmi yang lain dan instrumen pensel untuk menjawab soalan mengenai topik semasa pengajian. Ia adalah teknik yang kurang bergantung  pada temu bual, pemerhatian, melibatkan beberapa soal selidik, fokus pada kumpulan, laporan subjektif dan kajian kes tetapi adalah lebih tertumpu kepada pengumpulan dan analisis data berangka dan statistik. Sebab untuk menggunakan kaedah ini adalah kerana pengkaji berpendapat bahawa analisis data kuantitatif menyediakan asas yang kukuh untuk penerangan dan analisis (Massofa, 2008).


3.2       Lokasi kajian

Kajian ini dilakukan di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB).


3.3       Subjek kajian

            3.3.1    Populasi

Shvoong (2011) mentakrifkan populasi sebagai satu kumpulan kajian yang penyelidik yang umum dan sampel adalah sub kumpulan populasi yang sama di mana, populasi adalah sekelompok orang, kejadian atau segala sesuatu yang memiliki karakteristik tertentu (Shvoong, 2011). Bagi kajian ini, populasi adalah terdiri daripada pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) iaitu seramai 50 orang. Dalam memilih sampel untuk kajian ini, beberapa kriteria diambil kira. Kebanyakan pelajar  tinggal di kolej yang disediakan oleh universiti, ia adalah lebih mudah untuk mengedarkan soal selidik kepada pelajar kerana ia boleh dilakukan bila-bila masa dalam seminggu, walaupun pada hujung minggu. Di samping itu boleh berjumpa dengan mudah kerana penyelidik juga merupakan bekerja di MGCKB. Pemilihan sampel telah dibuat atas alasan bahawa mereka mempunyai banyak masa dan pelaksanaan instrumen penyelidikan boleh dijalankan mengikut keselesaan mereka (Creswell 1994).

            3.3.2    Sampel kajian

Permintaan yang semakin meningkat untuk penyelidikan telah mencipta satu keperluan yang lebih cekap untuk menentukan saiz sampel yang diperlukan untuk populasi yang diberikan. Menurut Hidayat Shariff (2011), saiz sampel ditentukan oleh empat faktor; iaitu berapa banyak kesalahan pensampelan boleh diterima,  saiz populasi,  adakah populasi berkaitan dengan ciri-ciri kepentingan, dan anggaran subkumpulan terkecil dalam sampel yang diperlukan (Hidayat Shariff, 2011). Daripada jumlah populasi yang dipilih iaitu seramai 50 respondan, jumlah sampel yang ditentukan menurut Krijcie dan Morgan  adalah seramai 44 orang sampel. Bagi mendapatkan jumlah bilangan sampel yang minimum, kaedah Krijcie dan Morgan digunakan.

Rajah di bawah menunjukkan saiz sampel mengikut kaedah Kriejcie dan  Morgan

N
S
N
S
N
S
10
10
35
32
60
52
15
14
40
36
65
56
20
19
45
40
70
59
25
24
50
44
75
63
30
28
55
48
80
66

Krejcie, Robert V., Morgan, Daryle W., “Determining Sample Size for Research Activities”,Educational and Psychological Measurement, 1970.
            Note:    “N” = saiz populasi
                         “S” = saiz sampel
3.3.3    Kriteria penyertaaan

            Ciri-ciri inklusi
-          Memahami Bahasa Malaysia
-          Warga negara Malaysia.
-          Terdiri daripada pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB)


3.4       Instrumen

3.4.1    Borang soal selidik

Selidik adalah alat yang sesuai digunakan untuk menjalankan kajian secara kuantitatif. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada borang soal selidik. Ia adalah bermanfaat untuk menentukan ciri-ciri pelajar dan untuk menilai sikap dan jangkaan mereka. Borang soal selidik merupakan borang yang berisi soalan serta ruangan untuk jawapan di mana satu sampel borang digunakan untuk semua responden. Borang soal selidik hanya boleh dibentuk berdasarkan objektif penyelidikan untuk mengumpul data kajian. Faedah menggunakan borang soal selidik adalah setiap responden akan disoal dengan soalan yang sama dan melalui jawapan responden, dapat membuat perbandingan antara responden dengan responden yang lain tentang kajian yang dilakukan serta ia juga mempercepatkan kerja pengumpulan data dan memastikan mutu data yang dikumpul (Hussein Bin Pakeri, 2000). Soalan di dalam soal selidik ini telah dijalankan dalam Bahasa Melayu. Ini adalah untuk membantu pelajar untuk memahami dan bertindak balas dengan sewajarnya. Soalan-soalan yang dibentuk bagi penyelidikan ini telah diadaptasi daripada kajian Azartini Binti Yusof. Di dalam borang ini terdapat 4 bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, Bahagian C dan bahagian D.
Bahagian A merangkumi demografi data tentang respondan. Menurut Mily (2011) menyatakan demografi merangkumi ciri-ciri kependudukan seperti umur, jantina, bilangan penduduk, kaum, bangsa, taburan pendapatan, bandar atau luar bandar. Selain itu, ia berkait rapat dengan data populasi seperti saiz, kepadatan, lokasi, pekerjaan, penghijrahan, populasi dan statistik lain yang berkaitan dengan populasi (Mily, 2011).
Antara soalan-soalan yang telah digunakan di dalam bahagian A iaitu:
1.      Jantina
2.      Umur
3.      Bangsa
4.      Agama
5.      Status

Bahagian B adalah berkaitan dengan soalan-soalan yang merangkumi persepsi pelajar Diploma Kerjururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) terhadap Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) dan kanser payudara.

Bahagian C adalah soalan-soalan yang berkaitan dengan objektif kajian iaitu merangkumi tahap pengetahuan pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) dalam mengamalkan amalan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) serta bagaimana dan di mana sumber maklumat yang diperolehi oleh pelajar mengeni PSP dan kanser payudara.

Bahagian D adalah berkaitan dengan soalan-soalan yang merangkumi tahap keyakinan diri pelajar Diploma Kejururawatan semester 8 di Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) sama ada positif atau negatif semasa melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP).


3.5       Pengumpulan data

Pengumpulan data adalah berdasarkan dengan pengambilan sampel secara rawak mudah. Menurut Hazim Bin Latiff (2011) menyatakan persempelan rawak atau persempelan kebarangkalian adalah teknik pemilihan sampel dari populasi yang mana setiap individu dalam populasi mempunyai peluang kebarangkalian yang sama untuk terpilih atau dijadikan sampel kajian. Teknik persempelan secara rawak mudah ini dilakukan dengan memilih secara rawak responden (Hazim Bin Latiff, 2011). Mengikut Mohd Izham (2004), persempelan secara rawak mudah merupakan kebarangkalian bagi setiap perkara dalam populasi yang dipilih boleh diketahui dan ditentukan serta memberi peluang kepada setiap perkara atau elemen (Mohd Izham Bin Mohamad Ibrahim, 2004). Penyelidikan telah mendapat kebenaran daripada Ketua Eksekutif Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB) dan borang soal selidik telah diedarkan kepada 50 orang responden. Penyelidikan telah berjaya mengumpul borang soal selidik sebanyak 44 orang responden sahaja ekoran masalah disebabkan oleh limitasi masa yang diberikan kepada penyelidik untuk menyiapkan kajian ini.


3.6       Kajian Rintis
           
Penyelidik telah menjalankan satu kajian rintis di mana penyelidik telah mengedarkan 10 borang soal selidik kepada 10 orang pelajar kejururawatan yang bukan terdiri daripada subjek kajian. Tujuan kajian rintis dijalankan bertujuan melihat tahap kebolehan, pelaksanaan dan kerelevanan sesuatu kajian yang bakal dilakukan. Chua (2006) menyatakan mengenai kajian rintis di mana ia merupakan bahagian atau perkara yang penting untuk menghasilkan kajian yang baik yang boleh membantu penyelidik mengenalpasti tahap kerelevenan yang dijalankan (Chua at el, 2006).


3.7       Aspek Etika

3.7.1    Kajian dan penyelidikan dilakukan dengan mendapat kebenaran daripada Ketua Eksekutif Masterskill Global College Kota Bharu (MGCKB)

3.7.2    Penyelidik telah mendapat keiziznan terlebih dahulu daripada responden (pelajar) yang menyertai kajian ini secara lisan

3.7.3    Semua maklumat dan data-data yang diperolehi oleh penyelidik daripada responden (pelajar) akan dirahsiakan


3.6       Analisis data

Data adalah  sesuatu yang dikumpul dan dianalisis untuk membuat  kesimpulan diakhir penyelidikan. Data kuantitatif yang terlibat dalam kajian ini adalah soal selidik. Data daripada soal selidik akan dikodkan dalam nombor dan kemudian dimasukkan ke dalam Pakej Statistik untuk Versi SPSS (Statistical Package For Sosial Sciences) 12.0 dan dianalisis ke frekuensi asas dan pengiraan peratusan. Ini adalah satu kajian deskriptif, statistik deskriptif diperolehi. Pembentangan data kuantitatif adalah dalam kekerapan dan peratusan, kemudian dibentuk ke dalam jadual yang dijana dengan menggunakan SPPS supaya boleh ditafsirkan dengan mudah. SPSS adalah sistem yang lengkap, menyeluruh, terpadu dan sangat fleksibel untuk analisi statistik dan menjana data (Mohammad Aliff Bin Safri, 2011).


3.7       Rumusan Bab

Bab III telah meliputi topik yang berkaitan dan isu-isu yang berkaitan dengan metodologi penyelidikan. Reka bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kuantitatif. Kajian ini kemudian diikuti beberapa garis panduan yang berkaitan kepada populasi sampel dan instrumen kajian yang digunakan untuk mendapatkan maklumat terperinci di dalam  reka bentuk penyelidikan. Sampel populasi yang terdiri daripada latar belakang pelajar dan bagi instrumen penyelidikan, penyelidik menggunakan soal selidik untuk mendapatkan data. Ini berterusan dengan pengesahan instrumen penyelidikan. Akhir sekali, kaedah yang sesuai analisis data telah digunakan untuk mendapatkan keputusan diakhir penyelidikan.















7 ulasan:

  1. salam akak..saya nak mintak tolng bgtau cara nak dpatkan literature review sbab tajuk research sy sma dgn akak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. assalamualaikum ..
      mcm mne awak dapat literature review ye sbb sy pon buat tajuk ni
      boleh kongsi dgn sy x ?

      Padam
  2. salam. akak,nk minta tunjuk ajar. peningla wat research ni. nk cri lit review pun payah. huhu.

    BalasPadam
  3. As salam..bole bantu saya pasal research kanser breast ni tak....saya nak tips ..thank u .

    BalasPadam
  4. assalamualaikum kak .. mntk tolong ajarkan cara tok cari literature review ..sy buat tajuk research sama dgn akak ..
    mohon beri tunujk ajar bole ?

    BalasPadam
  5. Assalam. Boleh sya dpatkan soalan soal selidik?

    BalasPadam
  6. salam boleh saya dapatkan penuh ini?

    BalasPadam