25 November 2013

Pencapaian perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia

HASIL TULISAN ASAL : MIMI HAMIZA IBRAHIM



1.0              PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik di mana rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum iaitu di Semenanjung Malaysia terdiri kaum Melayu, Cina dan India. Manakala, di Sabah terdiri daripada suku kaum Rungus, Dusun, Bajau, Eranun, Sungai, Kimaragang, Suluk dan Murut serta kaum di Sarawak pula antaranya terdiri daripada kaum Iban, Melanau dan lain-lain (Tang Chee Yee, 2006). Oleh itu, perpaduan dan integrasi nasioal adalah satu keperluan bagi menjamin rakyat hidup dalam suasana aman damai.
Perpaduan nasional umumnya merujuk kepada penyatuan berbagai-bagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza-beza. Usaha ke arah perpaduan di Malaysia dapat dilihat melalui penyatuan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Semenanjung (Syed Omar Syed Agil Al-Attas, 2007).
Manakala, konsep integrasi adalah lebih luas. Ia dikatakan satu proses yang abstrak, satu penyatuan yang sebati dan berpanjangan. Integrasi merupakan satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti. Ekoran kejadian 13 Mei 1969, kerajaan mula menumpukan usaha-usaha dan strategi ke arah mewujudkan integrasi nasional (Syed Omar Syed Agil Al-Attas, 2007).
Secara ringkasnya, perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi negara Malaysia. Konsep perpaduan sangat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan politik dalam jangka masa yang panjang (Syed Omar Syed Agil Al-Attas, 2007).
Perpaduan dan integrasi nasional juga memberi maksud bahawa satu proses dan sistem hidup yang menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dan negara menerusi ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat itu dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta semangat kebangsaan yang tunggal dikalangan mereka. Selain itu, ia juga membawa maksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dikalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial dan penempatan di dalam sesebuah unit politik  (Natra Nadea, 2010).
Bagi memantapkan lagi perpaduan dikalangan rakyat pelbagai etnik dan kaum, kerajaan telah menubuhkan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 27 Oktober 1990 dengan tujuan untuk menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional, memberi bantuan khidmat kebajikan masyarakat, membangunkan dan mengintegrasikan masyarakat kaum Asli, memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara serta menyelaraskan program kependudukan dan pembangunan keluarga (Natra Nadea, 2010). Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah melancarkan dan melaksanakan beberapa program dan dasar-dasar bagi menjamin kepentingan semua kaum termasuk kaum minoriti tanpa mengira kepentingan kaum majoriti melalui Program Belia, Sekolah Wawasan dan Pelan Integriti Nasional (PIN) (Amir Hasan Dewi, 2006).

2.0              JELASKAN MATLAMAT KETIGA-TIGA PROGRAM

2.1              Generasi belia merupakan sumber terbesar dalam negara dan mereka berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Keupayaan mengembleng tenaga belia akan menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara. Dari segi umur, belia ialah golongan yang berumur antara 15 tahun hingga 40 tahun. Walaubagaimanapun, dari segi strategi pelaksanaan program dan orientasi aktiviti, tumpuan utama ialah golongan yang berumur 18 tahun hingga 25 tahun (Mohd Azlan, 2008).
Program Belia bermatlamat mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohani, akhlak dan jasmani, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020 (Mohd Azlan, 2008).
Selain itu, matlamat Program Belia ialah merangka, merencana, menjana, membiayai dan melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti belia serta membimbing dan memperkasakan belia untuk menjadi warga satu Malaysia yang mampu menyumbang dan mempertahankan aspirasi perpaduan negara. Contohnya, dengan mempelbagaikan program belia ke arah menjadi warga satu Malaysia dan menepati wadah pertubuhan belia (Mohd Azlan, 2008).
 Selain itu juga, matlamat Program Belia ialah membantu belia untuk meningkatkan kemampuan kebolehpekerjaan, mengembangkan kerjaya profesionalisme dan menaik taraf sosio-ekonomi belia dengan mengurangkan pengangguran melalui pelbagai program. Contohnya, program pendidikan, ICT, bioteknologi, perniagaan, penternakan, pertanian, latihan industri dan kemahiran teknikal profesional (Mohd Azlan, 2008).
Malah, ia juga bermatlamat untuk mewujudkan belia yang mempunyai kepakaran kerjaya yang pelbagai bidang melalui jaringan integrasi praktikal dan latihan melalui beberapa kaedah. Contohnya, melalui kaedah “Bimbang, Pantau dan Laksana” yang berupaya menghasilkan terma, “Kluster Perniagaan Belia” seperti Belia Niaga, Belia Koprat, Belia Cyber, Belia Tani, Belia Wanis, Usahawan Belia, Atlit Belia, Kadar Belia dan Kepimpinan Belia yang berjaya dan mampan (Mohd Azlan, 2008).  
Program Belia juga bermatlamat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan dan kesukarelaan yang dapat mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsur dan nilai negatif dikalangan belia serta membantu, membimbingm melatih dan mebiaya warga belia yang tidak bernasib baik dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan merasai arus pembangunan negara. Contohnya, Belia Orang Kurang Upaya (OKU), belia yang berada dalam keluarga ibu tunggal, Belia Yatim iaitu belia dalam ekonomi miskin tegar, belia di kawasan pedalaman dan luar bandar serta Belia Etnik iaitu belia Orang Asli (Mohd Azlan, 2008).

2.2              Sekolah Wawasan dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana ia telah diluluskan oleh kabinet pada tahun 1997. Ia adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama. Konsep ini bermaksud dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan pentadbiran di bina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas yang sama di mana bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa-bahasa lain dipertingkatkan. Matlamat asal Sekolah Wawasan ialah melahirkan generasi yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain (Baharudin, 2009).
Matlamat sekolah wawasan iaitu pertama, mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa, latar belakang dan fahaman agama di mana murid-murid di sekolah rendah memahami satu sama lain walaupun berasal dari pelbagai jenis bangsa dan latar belakang yang berbeza kerana dalam sistem ini, bukan sahaja bangsa Melayu yang ada tetapi akan turut terhimpun pelbagai ras dan agama (Baharudin, 2009).
Kedua, memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran. Semangat perpaduan dan integrasi ini perlu ditekankan sejak di bangku sekolah rendah kerana kanak-kanak mudah dilenturkan. Integrasi yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah mewujudkan kerjasama dan harmoni di antara kaum di negara ini (Ahmad Yani Abdul Manaf, 2007).
Ketiga, melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu. Sekolah Wawasan memberi kesempatan kepada setiap bangsa untuk bertolak ansur dan mampu mewujudkan persaingan yang sihat dari aspek akademik. Ia juga mampu membentuk bangsa Malaysia yang bekerjasama dan hidup harmonis dengan rasa taat setia serta pengabdian yang tidak berbelah bahagi terhadap bangsa dan negara (Baharudin, 2009).
Keempat, menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah. Warga Sekolah Wawasan digalakkan menggunakan sebahagian kemudahan sekolah secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang. Sekolah Wawasan juga memberi peluang kepada para guru dan kakitangan dari setiap sekolah untuk berinteraksi dengan lebih kerap dan berkongsi pendapat (Rohani Abdul Wahab, 2010).
Contohnya, perhimpunan bulanan di Sekolah Wawasan dijalankan secara bersama dengan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi perhimpunan. Bagaimana pun, bahasa Cina dan bahasa Tamil juga boleh digunakan untuk memperjelaskan jika ada isu-isu yang perlu diperjelaskan. Secara tidak langsung, perpaduan dan persefahaman antara kaum dapat dipupuk (Safaruddin Mat Arif, 2010).


2.3              Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah satu plan atau rancangan yang dirancang serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dengan fokus utamanya menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat di Malaysia. Pelan Integriti Nasional dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2004 (Shamsul Addin, 2008).
Matlamat PIN adalah memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya dapat bekerjasama dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintergriti, bermoral dan beretika. Selain itu, meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama dalam pelbagai sektor di dalam usaha peningkatan integriri supaya integriti menjadi satu budaya bagi masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang. Matlamat PIN juga untuk menggalakkan semangat tanggungjawab dikalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas dalam menegakkan integriti. Selain itu juga, untuk mengumbang kepada usaha-usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara serta peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat. Pelan Integriti Nasional (PIN) juga bermatlamat untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke 21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan (Shamsul Addin, 2008).
Contohnya, PIN dilancarkan selaras dengan cabaran ke empat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh serta ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur (Shamsul Addin, 2008).



3.0  BINCANGKAN STRATEGI YANG DIPERKENALKAN OLEH KERAJAAN UNTUK MENJAYAKAN PROGRAM TERSEBUT

3.1              Strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah pertama melalui pembangunan ilmu di mana usaha ditingkatkan ke arah mengembangkan ilmu pengetahuan di dalam berbagai aspek sebagai tunggak kepada pembangunan dan kemantapan generasi belia. Program keilmuan dan latihan kepada generasi muda dianjurkan bersama oleh agensi sektor awam, swasta, pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan. Contohnya, melalui program dan aktiviti pembangunan belia iaitu Skim Perintis Belia Nasional (PBN) adalah satu skim latihan berbentuk kerjasama antara sektor swasta dengan kerajaan. Melalui skim ini, pihak majikan akan menaja perantis dan seterusnya mengadakan Latihan Sambil Bekerja, manakala pihak kerajaan akan memberikan khidmat nasihat latihan dan insentif (Mohd Azlan, 2008).
Kedua, mengukuhkan program pembangunan kepimpinan dan bina sahsiah bagi membina kekuatan diri, institusi kekeluargaan, keagamaan dan kemasyarakatan supaya generasi belia dapat berperanan dengan berkesan. Pembentukan sikap di mana usaha ke arah penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan sikap yang positif serta kreatif akan dipupuk dikalangan belia bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Contohnya melalui program dan aktiviti pembangunan belia iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di mana ia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili salah satu pergerakan belia Islam di Malaysia yang berteraskan prinsip dakwah dan tarbiyyah serta menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan (Mohd Azlan, 2008).
Ketiga, pembangunan kemahiran dan keusahawanan iaitu dengan mempersiapkan generasi belia dengan teknologi terkini, kemahiran teknik dan vokasional serta kegiatan keusahawanan selaras dengan kehendak pembangunan negara. Contohnya, memantapkan program latihan kemahiran, peluang perniagaan dan keusahawanan supaya generasi belia mampu berdikari dan membina kerjaya yang cemerlang (Mohd Azlan, 2008).
Keempat, pemupukan gaya hidup sihat di mana generasi belia digalakan menyertai persatuan atau aktiviti sukarela yang dapat memupuk gaya hidup yang sihat, cergas dan dinamik. Amalan ini akan dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab dan berkualiti. Contohnya, mengupayakan pertubuhan belia supaya dapat menarik minat golongan belia dan masyarakat menyokong serta menyertai aktiviti yang dianjurkan (Mohd Azlan, 2008).
Kelima, kemudahan interaksi sosial iaitu mempertingkatkan kemudahan yang sesuai bagi menggalakkan aktiviti dan interaksi sosial yang sihat di kalangan belia dan masyarakat. Contohnya, dengan menyediakan peluang dan kemudahan kepada golongan belia untuk memajukan diri dalam bidang sosial dan ekonomi (Mohd Azlan, 2008).
Keenam, perkongsian dalam pembangunan dengan menggunakan perkongsian dan kerjasama antara agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk pembangunan generasi belia. Contohnya, memberi kefahaman generasi belia tentang konsep persejagatan (globalisasi) dan kepentingan hubungan mereka dengan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan serta jaringan antarabangsa (Mohd Azlan, 2008).
Ketujuh ialah jaringan hubungan antarabangsa di mana menggalakkan generasi belia meningkatkan jaringan dan interaksi dengan masyarakat antarabangsa. Contohnya, menyediakan prasarana dan mekanisme yang sesuai bagi kegiatan penyelidikan belia termasuk pemantauan dan penilaian (Azlina, 2013).
Antara program-program yang dilaksanakan bagi menjayakan Program Belia ialah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk graduan menganggur, PLKN memperkenalkan Program POWER, Skim Perintis Belia Nasional, Grafiti, Pelajar kutip kotak terbuang dalam Program Nature For Nature, Sebelas Teras Pembangunan, Kursus Pembangunan  Usahawan, Program Pertukaran Antarabangsa dan Program Rakan Muda (Azlina, 2013).

3.2              Strategi yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk menjayakan pelaksanaan Sekolah Wawasan iaitu dalam aspek pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan kewangan. Sekolah Wawasan mempunyai dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terletak dalam satu kawasan, namun menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Setiap sekolah mempunyai nama sekolah yang tersendiri termasuk lencana sekolah, lagu sekolah, logo sekolah dan peperiksan sekolah masing-masing. Sekolah Wawasan juga mempunyai pentadbiran secara berasingan dari segi peruntukan kewangan, anggaran belanja mengurus dan pembangunan, Guru Besar dan Pengetua serta personel yang lain-lain bagi aliran masing-masing seperti yang dipraktikkan oleh sekolah kerajaan biasa. Contohnya, satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar atau Pengetua dan dua orang guru dari setiap sekolah diwujudkan untuk menyelaraskan hal-hal pengurusan mengenai kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Guru Besar atau Pengetua dari Sekolah Wawasan berkenaan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian sama ada satu atau dua tahun sekali. Jawatankuasa Penyelaras tidak akan menggantikan fungsi Lembaga Pengelola SJKK (Cina) dan SJK (Tamil) (Ramlan Abd Wahab, 2008).
Strategi kerajaan juga melalui kurikulum dan bahasa pengantar di mana Sekolah Wawasan menggunakan Kurikulum Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan ialah bahasa Malaysia, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina menggunakan bahasa Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil menggunakan bahasa Tamil. Manakala, matapelajaran yang diajar di sekolah adalah mengikut Kursus-Kursus Pengajian bagi jenis aliran sekolah dan jumlah tenaga pengajar adalah mengikut norma perjawatan yang telah ditetapkan (Ramlan Abd Wahab, 2008).
Strategi kerajaan yang ketiga ialah melalui kokurikulum di mana warga Sekolah Wawasan digalakkan menjalankan aktiviti kokurikulum yang sedia ada dan aktiviti kokurikulum tambahan secara bersama. Bahasa pengantar masing-masing juga boleh digunakan semasa aktiviti kokurikulum dijalankan di sekolah masing-masing (Ramlan Abd Wahab, 2008).
Contohnya, untuk mengeratkan perpaduan antara kaum, Sekolah Wawasan digalakkan mengadakan Temasya Sukan Tahunan, Hari Guru, Hari Kebangsaan dan Hari Kantin secara bersama. Namun demikian, sekolah masing-masing boleh mnegadakan acara-acara tersebut secara berasingan (Ramlan Abd Wahab, 2008).

3.3              Antara strategi yang dilakukan untuk menjayakan Pelan Integriti Nasional (PIN) ialah dengan menyusun dan menetapkan sasaran yang dikenali sebagai TEKAD 2008 di mana ia perlu dicapai dalam tempoh lima tahun pertama bermula 2004 hingga 2008. Terdapat lima sasaran yang digariskan melalui TEKAD 2008 iaitu sasaran pertama, mengurangkan gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara berkesan. Bagi tujuan pemantauan dan penanda aras, sasaran ini akan mengguna pakai tanda aras antarabangsa dan juga dalam negeri. Contohnya, tanda aras yang digunakan ialah kedudukan negara, Indeks Persepsi Rasuah dan Indeks Badan Pencegah Rasuah (BPR). Sasaran kedua, meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian khidmat awam, mengatasi karenah birokrasi dan penyelewengan. Contohnya, Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Ketua Audit Negara digunakan untuk melihat bilangan aduan dan maklumbalas masyarakat umum. Sasaran ketiga ialah meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan. Sebagai petunjuk meningkatnya sasaran ketiga ini ialah peningkatan jumlah syarikat korporat yang mematuhi syarat-syarat penyenaraian di Malaysia Securities Exchange Berhad (MSEB). Kesannya kes-kes penipuan korporat berkurangan. Sasaran keempat iaitu memantapkan institusi kekeluargaan. Sasaran ini memberi penekanan untuk melahirkan keluarga yang mempunyai daya tahan yang kukuh dan kehidupan keluarga yang sejahtera dan bahagia. Sasaran kelima ialah dengan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat dengan cara mengurangkan kadar jenayah dalam masyarakat seperti jenayah berat, jenayah seks dan jenayah harta benda (Shamsul Addin, 2008).
Selain itu, strategi yang dilakukan ialah dengan melancarkan Gerak Kerja Pelaksana dan Gerakan Pemantapan Integriti iaitu mewujudkan manual prosedur integriti, mewujudkan Pasukan Petugas Khas bagi melaksanakan program-program yang telah dipersetujui dan membuat laporan serta menilai semula keberkesanan dan kemajuan pelaksanaan program. Contohnya, Pasukan Petugas Khas (PPK) yang dibentuk bagi tujuan pelaksanaan di bahagi kepada kumpulan berdasarkan kumpulam program mengikut core business jabatan. Setiap kumpulan diketui oleh lead agency sebagai Ketua PPK di mana bertanggungjawab mengenalpasti, merangka, membuat penilaian dan melaporkan kemajuan pelaksana program atau aktivit kepada urusetia sebelum dibentangkan di dalam mesyuarat. Manakala, Prosuder Integriti dirangka oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan dibantu oelh Urus Setia (Shamsul Addin, 2008).


4.0              BANDINGKAN PENCAPAIAN KETIGA-TIGA PROGRAM TERSEBUT DI MALAYSIA

4.1              Pencapaian Program Belia dilihat banyak memberi kebaikan kepada negara sama dalam aspek ekonomi, politik, sosial dan agama kerana semua program dan aktiviti diselaraskan berasaskan strategi dan pelan tindakan yang telah ditentukan berteraskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dan dasar-dasar utama negara yang berkaitan. Antara pencapaian Program Belia dapat dilihat dalam sektor pekerjaan melalui Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang menfokuskan kepada graduan menganggur. Kesannya, pada 2013, statistik menunjukkan hanya 3% sahaja graduan yang menganggur kerana peserta yang tamat kursus akan di bantu untuk mendapatkan pekerjaan. Ini akan mengurangkan masalah sosial dikalangan belia (Mohd Azlan, 2008).
Selain itu, pencapaian Program Belia dapat dilihat dalam sektor ekonomi melalui Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER) yang diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di mana memberi pelatih pengetahuan asas dalam menguruskan kewangan. Kesannya, belia dilihat bijak dan cekap dalam menguruskan perbelanjaan serta bertanggungjawab dan akauntabiliti terhadap sokongan kewangan yang diperolehi daripada ibu bapa (Mohd Azlan, 2008).   
Selain itu, pencapaian Program Belia dapat dilihat dalam sektor politik iaitu Sebelas Teras Pembangunan antaranya melalui politik dan integrasi nasional, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan kepimpinan, pembangunan belia tidak berpesatuan, pembangunan sosial dan nilai, pembangunan sumber manusia dan pembangunan ekonomi. Pencapaian-pencapaian ini dilihat berjaya dalam mengukuhkan Pembangunan Integrasi Nasional oleh golongan belia (Mohd Azlan, 2008).

4.2              Tahap pencapaian pelaksanaan Sekolah Wawasan dilihat kurang mendapat sambutan kerana kewujudan sekolah jenis kebangsaan. Seperti mana yang diketahui, penyelarasan kurikulum dan kokurikulum telah dijalankan di semua sekolah di Malaysia. Namun begitu, ia tidak begitu menyumbang kepada perpaduan dan intergrasi nasional kerana masih terdapat sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menempatkan pelajar-pelajar yang terdiri dari kaum-kaum yang sama dalam satu sekolah. Dengan adanya sekolah-sekolah ini telah mengurangkan peluang-peluang untuk berinteraksi dan berhubung dengan pelajar-pelajar dari kaum-kaum yang berlainan. Maka, semangat kekeluargaan tidak dapat dipupuk dan seterusnya menjadi penghalang kepada perpaduan (Ahmad Yani Abdul Manaf, 2008).
Bagi ibu bapa pula, mereka lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan seperti kaum Cina dan India. Ini kerana mereka tidak begitu yakin dengan pengurusan sekolah-sekolah kebangsaan yang kebanyakkannya terdiri dari pelajar-pelajar Melayu. Malah, mereka menganggap ia sebagai senjata untuk mengikis identiti kaum lain di Malaysia (Ahmad Yani Abdul Manaf, 2008).
Selain itu juga, wujud kekhuatiran di mana mereka bimbang jika anak-anak mereka bergaul dengan kanak-kanak lain ketika kecil, mereka akan terpengaruh dengan bahasa lain. Jika ketika kecil mereka sudah biasa dengan bahasa Melayu, kanak-kanak ini tidak lagi mempunyai kecenderungan untuk berbahasa ibunda dan lama kelamaan bahasa ibunda mereka akan pupus (Ahmad Yani Abdul Manaf, 2008).
Disamping itu, sikap untuk tidak mahu berkongsi atau perkongsian pelbagai peralatan seperti dewan, padang sekolah dan gelanggang permainan akan menimbulkan masalah sekiranya berlaku pertembungan bagi menganjurkan sebarang aktiviti yang menggunakan kemudahan yang dikongsi bersama. Adalah sukar untuk membuat jadual aktivit kerana jadual sekolah adalah terlalu ketat dan bukan senang untuk ketiga-tiga guru besar sekolah mempunyai sikap tolak ansur kerana masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza-beza (Ahmad Yani Abdul Manaf, 2008).
Antaranya penolakan oleh gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina dan Persekutuan Guru-Guru Sekolah Cina. Alasan terbesar mereka ialah kekhuatiran akan kehilangan identiti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) dan identiti orang Cina akan terhakis. Mereka menganggap wujud satu agenda yang tersirat yang akan mengganggu gugat kepentingan mereka. Mereka juga menganggap pelaksanaan Sekolah Wawasan tidak perlu kerana semua pelajar Melayu, Cina dan Indiaakan belajar dan membesar bersama ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Mereka juga menyatakan sekolah yang sedia ada sudah mencukupi bagi membuktikan perpaduan rakyat kerana sukatan pelajaran yang sedia ada adalah berlatar belakang Malaysia. Namun, berbeza dengan pentadbir Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang menerima baik dan bersikap terbuka dengan Sekolah Wawasan (Ahmad Yani Abdul Manaf, 2008).

4.3              Pelan Integriti Nasional dilihat berada pada tahap pencapaian yng sederhana. Ini kerana segala usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan tidak kekal dan tidak menyeluruh hasilnya dan sebilangan besar usaha-usaha ini menemui kegagalan terutamanya dalam usaha mewujudkan sinergi semua sektor (Shamsul Addin, 2008).
Ini mungkin disebabkan terdapat halangan-halangan serta sikap individu, kepimpinan sesebuah organisasi, sistem penyampaian atau karenah birokrasi serta disiplin dan budaya masyarakat itu sendiri dalam melaksanakan sesuatu program. Contohnya, PIN dilihat gagal ekoran sikap individu iaitu golongan yang berkuasa dan kaya mendominasi di dalam sesuatu sektor di mana pihak “bawahan” yang berkerja keras sesama sendiri serta mengembleng kekuatan tersebut untuk membantu dan menaikkan “pihak atasan” untuk tujuan meningkatkan integriti. Sementara itu, “pihak atasan” pula sebaliknya dengan melakukanrasuah dan tiada integriti di mana mementingkan pangkat dan wang ringgit hingga menindas “pihak bawahan” yang menyebabkan wujudnya perasaan tidak puas hati dan penindasan terhadap golongan bawahan. Kesannya, pihak atasan menjadi semakin kaya dan pihak bawahan menjadi semakin miskin (Shamsul Addin, 2008).
4.4              Jelaslah di sini menunjukkan, Program Belia banyak membantu negara Malaysia dalam mengukuhkan dan mengeratkan perpaduan dan integrasi nasional kerana banyak membantu dan memberi kesan positif kepada negara sehingga pada masa akan datang berbanding pelaksanaan yang dilancarkan oleh kerajaan iaitu Sekolah Wawasan dan Pelan Integriti Nasional.

5.0              KESIMPULAN

Kesimpulannya, perpaduan dan integrasi nasional adalah satu perkara penting bagi sesebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Oleh yang demikian, semua rakyat harus bersama-sama memainkan peranan dalam meningkatkan perpaduan untuk membina sebuah bangsa yang terdiri dari rakyat yang berbilang kaum, yang hidup bersatu padu serta aman sentosa. Kerajaan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu bijak dalam menentukan hala tuju dan dasar sesebuah negara untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara serta integrasi nasional amat penting bagi membangunkan sesebuah negara ke arah global dan dikenali di mata dunia.
Program-program yang telah dilancarkan dan dilaksanakan oleh kerajaan telah dikaji oleh golongan pakar sebelum dilancarkan. Bersesuaian atau tidak dasar-dasar atau program-program yang dilancarkan bukan sahaja bergantung kepada peranan kerajaan, tetapi juga bergantung kepada sikap individu atau rakyat itu sendiri. Keadaan ini menunjukan bahawa, kepentingan dan semangat perpaduan dan integrasi nasional perlu dipupuk sejak dari kecil.
Segala bentuk dan cara program-program yang telah dilaksanakan dan dilancarkan oleh kerajaan adalah dengan tujuan dan arah yang sama iaitu untuk kepentingan negara. Program dan rancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat banyak memberi kesan kepada negara melalui Program Belia berbanding Sekolah Wawasan dan Pelan Integriti Nasional. Namun begitu, individu dan masyarakat perlu memberikan sokongan sepenuhnya terhadap program dan pelaksanaan yang telah dan yang akan dilancarkan oleh pihak kerajaan selagi ia tidak menjejaskan negara. Ini kerana, jatuh bangun sebuah negara bergantung kepada semangat perpaduan dan integrasi yang ada di dalam diri masyarakat tersebut.

5 ulasan:

  1. bahan yang berkualiti. terima kasih

    BalasPadam
  2. boleh tak nak dapatkan rujukan dari penulisan ni. sangat bagus :)

    BalasPadam
  3. Puan, izinkan saya menggunakan bahan ini bagi tujuan pengkongsian ilmu bersama pelajar2 saya. Terima kasih.

    BalasPadam
  4. Puan, izinkan saya menggunakan bahan ini bagi tujuan pengkongsian ilmu bersama pelajar2 saya. Terima kasih.

    BalasPadam