25 November 2013

PENYALAHGUNAAN DADAH

HASIL TULISAN ASAL: MIMI HAMIZA IBRAHIM



1.0           PENGENALAN

Dadah atau drug dalam bahasa Inggeris lazimnya diertikan sebagai ubat-ubatan. Perkara penting mengenai dadal ialah ianya selalu disalahguna atau “misuse” dan “abuse” (Mohamad Samad, 2008).
Dari sudut agama, dadah juga dibincangkan secara khusus. Di dalam kitab suci Al-Quran, istilah “khamar” yang diharamkan digunakan bagi semua bahan yang memabukkan atau boleh menghilangkan fikiran. Oleh yang demikian, dadah boleh dikategorikan sebagai satu daripada jenis “khamar” kerana ia boleh memabukkan, mengkhayalkan dan menyebabkan penagihan dan pergantungan, perubahan tingkah laku, emosi, ragam dan pemikiran (Syed Arabi Idid, 2007).
Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif, sama ada berbentuk asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental (Mohamad Samad, 2008).
Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan dadah seperti kokain, ganja, heroin, syabu dan ectasy dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaan dadah tersebut yang di ambil untuk mengubah perasaan dan fikiran masyarakat dan juga dikenali sebagai dadah yang disalahguna (Abdul Halim, 2010).
            Penyalahgunaan dadah melibatkan perlakuan yang berulang-ulang atau penggunaan dadah secara berlebihan. Kebiasaannya penggunaan dadah secara berlebihan akan mendatangkan perasaan gembira yang tidak terhingga dan ketagihan dadah juga bertujuan melarikan diri daripada kenyataan. Penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan kehidupan seharian setiap individu terganggu. Penagih dadah lebih cenderung menggunakan dadah secara berterusan walaupun berlaku masalah dalam diri atau masyarakat serta sering terlibat dengan masalah perundangan dan meletakkan diri mereka dalam situasi yang berbahaya (Heppner et al, 2009).
  



2.0           PERBINCANGAN DAN PEMAHAMAN MENGENAI PENAGIHAN DADAH DI MALAYSIA

Gejala penyalahgunaan dadah dikalangan masyarakat di Malaysia semakin serius dan tidak dapat dibendung lagi. Hal ini demikian kerana dadah yang pada asalnya menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya melainkan jika ia tidak disalahgunakan (Abdul Halim, 2010).  
            Menurut laporan dan statistik daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang di kesan di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 menunjukkan negeri Perak merupakan negeri yang mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 597 orang atau 15.78%. Manakala, negeri Selangor merekodkan bilangan penagih dadah kedua tertinggi iaitu seramai 596 orang. Bagi negeri di bayah bayu iaitu Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatat jumlah penagih dadah paling rendah iaitu sebanyak 0.00% dan 0.05% bagi tempoh tersebut (AADK, 2013).
Penagih dadah di Malaysia menunjukkan kaum Melayu mencatatkan bilangan penagih tertinggi iaitu seramai 3,028  orang atau 80.04%. Manakala, diikuti oleh kaum India sebanyak 447 orang atau 11.82% dan kaum Cina pula sebanyak 272 orang atau 7.19% sahaja. Manakala, kaum pribumi Sabah telah mencatatkan jumlah yang paling sedikit iaitu sebanyak 7 orang atau 0.19% (AADK, 2013).
Statistik penyalahgunaan dadah dilihat dari aspek jantina di mana, seramai 3,715 orang iaitu 98.20% penagih lelaki di kesan dalam tempoh tersebut dan 68 orang iaitu 1.80% adalah melibatkan penagih wanita. Berdasarkan laporan AADK menunjukkan golongan belia merupakan golongan yang paling ramai terdedah dengan risiko penagihan dadah atau penyalahgunaan dadah. Ini dapat dibuktikan melalui perangkaan majorti penagih belia yang dikesan iaitu seramai 2,663 orang atau 70.47% belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun. Manakala, golongan dewasa yang berumur di anatara 40 hingga 50 tahun ke atas mencatat jumlah sebanyak 977 orang iaitu 25.85% dan diikuti golonga remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun sebanyak 139 orang iaitu 3.68% (AADK, 2013).
Penyalahgunaan dadah juga turut melibatkan golongan yang mempunyai pekerjaan di mana statistik menunjukkan penagih dalam sektor buruh am mencatatkan bilangan tertinggi bagi penagih yang bekerja iaitu 1,012 orang iaitu 26.75% dan diikuti dengan sektor perkhidmatan serta pertanian dan perikanan iaitu sebanyak 525 orang atau 13.88% serta 479 orang atau 12.66%. Manakala, bagi penagih yang tidak bekerja iaitu penganggur mencatatkan jumlah sebanyak 345 orang iaitu 9.12%. Namun, sektor perkeranian mencatatkan jumlah yang sedikit iaitu 6 orang iaitu 0.16% sahaja. Majoriti penagih yang di kesan di Malaysia menunjukkan bahawa 1,570 orang atau 41.82% adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat tingkatan tiga iaitu LCE, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diikuti 1,351 orang atau 35.99% yang mempunyai tahap pendidikan MCE, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Manakala, bilangan yang paling rendah terlibat dalam penyalahgunaan dadah ialah mereka yang mempunyai tahap pendidikan peringkat ijazah iaitu sebanyak 6 orang atau 0.16% sahaja (AADK, 2013).
            Terdapat beberapa faktor penagih yang di kesan terjebak dengan penagihan dadah, namun faktor utama dilihat adalah daripada pengaruh rakan sebaya dan sikap diri sendiri. Keadaan ini dapat dilihat melalui statistik AADK di mana pengaruh kawan iaitu sebanyak 1,487 orang iaitu 41.61%, diikuti dengan perasaan ingin tahu sebanyak 689 orang iaitu 19.28% dan untuk tujuan mencapai keseronokan sebanyak 614 orang iaitu 17.18%. Manakala, faktor-faktor yang lain seperti tekanan jiwa mencatat sebanyak 290 orang atau 8.11%, rangsangan sebanyak 42 orang atau 1.18% serta secara tidak sengaja sebanyak 9 orang iaitu 0.25% (AADK, 2013).
Terdapat beribu-ribu jenis dadah diseluruh dunia yang digunakan oleh lebih 200 juta manusia untuk pelbagai tujuan antaranya dadah analgesik seperti aspirin, asetaminofen, morfina, heroin dan kodeina. Manakala, dadah rekreasi seperti alkohol,  nikotin, kafeina, kanabis, kokaina dan inhalan serta jenis dadah penggalak prestasi pula seperti amfetamin, efedrina dan steroid anabolik. Tanpa disedari, semua masyarakat di dunia telah menggunakan beberapa jenis dadah dalam kehidupan antaranya ubat-ubatan seperti paracetamol dan antibiotik yang membantu menyembuhkan sekiranya tidak sihat. Manakala, teh, kopi dan coklat juga mengandungi sejenis dadah rangsangan yang dikenali sebagai kafein. Akan tetapi jenis dadah ini tidak mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada individu, masyarakat dan negara (Mohamad Samad, 2008). Oleh itu, penggunaan bahan minuman dan makanan ini tidak salah di sisi undang-undang.
Menurut laporan AADK bagi tempoh Januari hingga Jun 2013, jenis dadah yang paling banyak digunakan oleh penagih adalah jenis heroin iaitu seramai 1,742 orang atau 46.05%, diikuti morfin seramai 1,172 orang atau 30.98% dan ganja seramai 582 orang atau 15.38%. Manakala, seramai 286 orang atau 7.56% dikesan menggunakan dadah Amphetamine type stimulants (ATS) iaitu dadah sintetik yang terdiri daripada methamphetamine iaitu syabu, pil ectasy dan amphetamine (AADK, 2013).
            Terdapat beberapa cara penggunaan dadah yang telah digunakan oleh penagih dadah seperti menggunakan dadah secara chase iaitu menghidu asap hasil daripada ramuan dadah yang telah di masak atas dapur khas, diikuti dengan cara menghisap, suntikan dan menelan. Contohnya, menurut statistik AADK bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 menunjukkan seramai 3,048 orang iaitu 80.57% penagih dadah telah menggunakan  cara chase dan diikuti seramai 574 orang iaitu 15.17% dengan menggunakan cara hisap, 85 orang iaitu 2.25% menggunakan cara telan serta 76 orang atau 2.01% menggunakan cara suntikan (AADK, 2013).
Namun begitu, pelbagai usaha dan langkah-langkah telah di ambil oleh kerajaan bagi membendung masalah ini semakin berleluasa. Antara langkah-langkah yang telah di ambil oleh kerajaan ialah dengan mengadakan kempen kepada golongan atau kumpulan yang sering menjadi sasaran para penjual dadah. Selain itu, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat di mana mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri, berehat daripada sebarang pekerjaan dapat mengurangkan tekanan, mengamalkan senaman ringan, sentiasa berfikiran positif dan menjaga kebersihan dari segi mental dan fizikal melalui ajaran agama masing-masing. Media massa juga memainkan peranan penting seperti menyalurkan maklumat tentang kesengsaraan hidup yang dibelenggu oleh dadah dipaparkan di majalah bagi memupuk kesedaran orang ramai. Selain itu juga, melalui pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu dengan memperkenalkan Skim Lencana Antidadah, ceramah dan pameran anti dadah, kaunseling kelompok dan individu, program motivasi dan seminar pendidikan keibubapaan. Keadaan ini dilihat banyak membantu kerajaan untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah (Angel, 2013).
Contohnya, laporan dan statistik daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang di kesan di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 menunjukkan seramai 3,783 orang penagih telah di kesan dan menunjukkan penurunan sebanyak 20.53% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2012 iaitu seramai 4,760 orang (AADK, 2013).

3.0           KENALPASTI CABARAN MERAWAT PENAGIH DADAH DI MALAYSIA

Terdapat beberapa cabaran dalam merawat penagih dadah di Malaysia iaitu cabaran yang pertama ialah masalah penyeludupan dan pengedaran dadah yang masih belum dapat dibanteras sepenuhnya. Usaha dan tindakan penguatkuasa undang-undang terbukti masih belum dapat mengurangkan masalah pengedaran dadah di negara ini. Keadaan ini mengakibatkan bekalan dadah semakin meningkat di pasaran dan seterusnya memburukkan lagi masalah penagihan. Malaysia merupakan negara yang berkedudukan strategik kepada penyeludup dan pengedar dadah di peringkat antarabangsa (Mohamad Samad, 2008). Contohnya, dalam senario pengedaran dadah antarabangsa, Malaysia telah lama digunakan oleh sindiket-sindiket pengedaran dadah sebagai negara transit kerana kedudukan Malaysia di laluan antarabangsa dari kawasan pengeluar candu “Golden Triangle” ke Australia, Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, Malaysia juga sempadan darat dengan Thailand yang telah menjadi saluran utama pengedaran dadah dan Malaysia juga bersempadan dengan semua negara ASEAN yang sesetengah daripadanya merupakan negara pengeluar dadah yang besar. Malaysia juga mempunyai garisan pantai yang panjang dan terdedah serta mempunyai sistem komunikasi yang baik. Pendekatan yang perlu di ambil bagi menangani masalah ini ialah kerajaan perlu memperketatkan undang-undang yang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti atau jenayah pengedaran dan penyeludupan dadah seperti mengenakan hukumn yang berat seperti memanjangkan tempoh tahanan, mengenakan hukuman sebat atau lain-lain dengan tujuan untuk memberi pengajaran kepada pihak yang terlibat (Angel, 2013).
            Cabaran ke dua ialah kurangnya sistem sokongan sosial atau social support system untuk membantu penagih terutama semasa menjalani pemulihan dalam komuniti. Sokongan sosial yang lemah tidak dapat membantu penagih menghindari relapse atau mengamalkan gaya hidup sihat. Contohnya, persepsi dan sikap masyarakat untuk terlibat dan komited dalam memerangi masalah dadah bukan satu tugas yang mudah, malahan sering mendapat respon dan tanggapan yang negatif. Sikap tidak prihatin, stigma negatif, sejeksi sosial dan sebagainya. Kesannya, akan menyulitkan usaha dan tindakan antidadah secara kolektif dalam masyarakat. Menyedari betapa pentingnya sokongan sosial yang tinggi untuk membantu penagih, usaha untuk mewujudkan sistem sokongan yang mantap dalam komuniti melalui penglibatan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu diberikan perhatian sewajarnya (Angel, 2013).
            Cabaran ke tiga ialah masalah penagih yang dijangkiti pelbagai penyakit kronik dan psikiatri juga merupakan cabaran penting yang perlu diberi perhatian serius. Penagih kategori ini memerlukan dual diagnosis iaitu bukan sahaja rawatan dan pemulihan terhadap masalah ketagihannya terhadap dadah tetapi dalam masa yang sama memerlukan jagaan dan rawatan perubatan atau psikiatri daripada pakar perubatan dan pakar perubatan psikiatri. Tumpuan yang berlebihan terhadap masalah ini akan mengurangkan perhatian terhadap masalah penagihan yang sebenarnya perlu diberikan perhatian dan keutamaan. Contohnya, penagih dadah yang mengalami masalah penyakit kronik seperti Aids atau HIV di mana memerlukan penjagaan dan rawatan rapi oleh pakar perubatan terutama pengambilan ubat-ubatan bagi mencegah penyakit ini daripada terus merebak. Kesannya, pakar perubatan perlu memberikan lebih perhatian terhadap penyakit yang dihadapi oleh penagih dan terpaksa melupakan untuk sementara waktu mengenai proses pemulihan sehingga keadaan penagih stabil dan baik. Oleh itu, pendekatan perlu dilakukan agar masalah ini dapat dielakkan antaranya dengan melantik dan menambah tenaga kerja dan ditempakan di pusat-pusat rawatan atau pemulihan (Abdul Halim, 2010).
            Cabaran ke empat ialah kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang pemulihan dadah mempunyai hubungkait dengan kurangnya keberkesanan program rawatan dan pemulihan yang dijalankan. Masalah ini mengakibatkan program pemulihan tidak dapat dijalankan dengan secara profesional untuk membantu penagih meninggalkan tabiat penagihan, mengekalkan kepulihan dan seterusnya mempraktiskan gaya hidup sihat tanpa dadah sebagai program kepulihan secara berterusan (Abdul Halim, 2010). Contohnya, dari segi kemahiran tenaga kerja, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agak terbatas dari segi bilangan tenaga kerja terlatih terutama di bahagian klinikal. Sebilangan besar staf klinikal yang terlibat secara langsung dengan program rawatan dan pemulihan tidak mempunyai kepakaran yang secukupnya. Akibatnya, ia membataskan keberkesanan dari segi deliverables. Oleh itu, pendekatan yang perlu di ambil untuk menangani masalah ini di mana dalam konteks seruan kerajaan supaya penumpuan diberikan kepada aktiviti R&P, kemahiran dan kepakaran staf klinikal perlulah diusahakan agar mereka dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan (AADK, 2013).

4.0           PERANAN PENTING DAN TANGGUNGJAWAB MENTAL HEALTH NURSES DALAM MEMBASMI STIGMA PENYAKIT DAN PROGRAM PEMULIHAN

4.1           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit iaitu menyediakan bantuan fizikal dan sokongan emosi yang praktik kepada pesakit. Tujuan agar penagih tabah dalam mengharungi kehidupan kerana penagih berhadapan dengan kesukaran dalam mengharungi kehidupan yang sangat mencabar bersama-sama masyarakat. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah beranggapan golongan penagih tiada harapan untuk sembuh dan ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka bergaul dengan penagih dadah. Contohnya, Mental Health Nurses telah memberikan kata-kata semangat, kasih sayang, teguran dan nasihat kepada penagih agar tabah dalam menjalani kehidupan ekoran kecaman dan pandangan yang pelbagai daripada masyarakat disekeliling (Abdul Halim, 2010).
4.2           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit iaitu penyampaian secara lisan kepada ahli keluarga penagih sama ada secara formal atau tidak formal. Ini bertujuan agar keluarga dapat menerima penagih dadah dan tidak menyingkirkan penagih ekoran bimbang terhadap pandangan negatif masyarakat terhadap keluarga yang mempunyai ahli keluarga seorang penagih. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah di mana keluarga yang mempunyai ahli keluarga seorang penagih dadah akan dipandang serong oleh keluarga dan ini akan menjatuhkan maruah keluarga serta keluarga akan mendapat malu (Abdul Halim, 2010). Contohnya, dengan mewujudkan hubungan interpersonal antara Mental Health Nurses dengan keluarga penagih dadah melalui komunikasi. Komunikasi sama ada secara lisan, bahasa badan dan sebagainya. Mental Health Nurses perlu peka dan prihatin keperluan yang diperlukan oleh keluarga penagih dadah. Ia penting kerana keluarga penagih dadah berada dalam persekitaran yang sangat tertekan (Mohamad Samad, 2008).
4.3           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit melalui aktiviti penyertaan iaitu aktiviti yang menggalakkan penyertaan dan interaksi kumpulan sasar secara aktif. Mental Health Nurses menggunakan penceramah jemputan, tayangan video, kes kajian atau petikan daripada rencana. Penyertaan ini antara Mental Health Nurses bersama badan-badan atau organisasi-orgsnisasi yang lain sama ada badan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) bersama penagih dan masyarakat. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah di mana masyarakat menyamakan penagih dadah dengan penjenayah. Ini kerana penagih dadah akan melakukan jenayah seperti merompak dan membunuh sekiranya tidak mempunyai wang untuk membeli dadah. Oleh itu, penagih dadah dianggap sebagai sampah masyarakat yang perlu dikurung dan dihukum (Mohamad Samad, 2008). Contohnya, Mental Health Nurses bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah bekerjasama dengan membuat taklimat, kursus, seminar, motivasi, berkongsi pengalaman dan pameran kepada masyarakat tentang penagihan dadah. Melalui program ini, akan memberi kesedaran terhadap masyarakat mengenai peranan yang boleh dan perlu dilakukan untuk membantu penagih dadah kembali ke jalan sebenar (Abdul Halim, 2010).
4.4           Peranan penting dan tanggungjawab Mental Health Nurses dalam membasmi stigma penyakit iaitu melalui aktiviti penyayang di mana aktiviti ini melibatkan ahli masyarakat dan pemimpin untuk mewujudkan perpaduan, saling mempercayai dan menyokong antara satu dengan lain. Ia merupakan usaha yang berbaloi bagi menolak wujudnya diskriminasi terhadap penagih kerana aktiviti penyayang ini menyenai kasih sayang dan sokongan menaikkan status individu dan mewujudkan masyarakat penyayang, berperikemanusiaan sejajar dengan kehendak agama dan negara. Ini kerana, stigma terhadap penagih dadah di mana masyarakat menganggap “masalah ini bukan masalah kita tetapi masalah orang lain” hanya keranan tiada ahli keluarga mereka yang hadapi atau terlibat dengan masalah penagihan dadah. Maka, masyarakat akan merasa selesa, sedangkan jika masalah ini dibiarkan ia boleh menjadi semakin rumit dan kebarangkalian menjangkiti anak-anak mereka serta generasi akan datang adalah sangat tinggi (Mohamad Samad, 2008). Contohnya, Mental Health Nurses telah mengadakan program atau aktiviti di pusat-pusat yang menjadi tumpuan masyarakat iaitu masjid, sekolah dan universiti serta di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta untuk menyebarkan kesedaran mengenai penagih dadah. Malah, lawatan dari rumah ke rumah juga dilakukan bagi menunjukkan sokongan antara satu sama lain (Abdul Halim, 2010). 

5.0           KESIMPULAN

Memandangkan penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah ialah masalah bersama masyarakat, maka sewajarnya semua anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing untuk membasminya. Ia boleh dimulakan di rumah dan di bangku sekolah bersama dengan pengawalan anggota keluarga dan pihak sekolah yang mencakupi penggunaan masa, pergaulan dan lain-lain lagi.
Seterusnya, selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh kerajaan, pemulihan juga adalah satu alternatif untuk mengurangkan kadar pengagihan dan pengambilan semula dadah. Anggota masyarakat perlu juga sedia menerima mereka yang sudah insaf akan kesalahan mereka.
Pendek kata, pengawalan adalah lebih baik daripada pengubatan. Lebih tumpuan haruslah diberikan kepada aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap penyalahgunaan dadah melalui pendidikan secara formal di sekolah, kempen-kempen dari semasa ke semasa dan media massa. Dengan demikian, kita boleh menghalang pengihan dadah dari terus berakar umbi.
Oleh itu, penyalahgunaan dadah merupakan maslaah sejagat dan harus dibendung dengan segera terutamanya dalam kalangan belia. Ini kerana golongan ini dianggap sebagai pemimpin pada masa depan, namun lebih banyak cenderung kepada gejala ini. Masalah ini jika tidak dibendung akan menyebabkan kepimpinan negara akan mundur. Telah timbul pelbagai persepsi bahawa negara Malaysia telah gagal menguruskan masalah pengagihan dadah akibat peningkatan jumlah penagihan dadah dari tahun ke tahun. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk menilai semula program-program pemulihan yang sedia ada amat dialu-alukan. Malah, matlamat kerajaan untuk memastikan negara mencapai matlamat negara sifar dadah selaras dengan hasrat kerajaan untuk  menjadikan negara bebas dadah menjelang tahun 2015 akan berjaya jika diusahakan oleh seluruh rakyat Malaysia secara bersama-sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan