Disediakan Oleh: Mimi Hamiza Ibrahim
1.0
PENGENALAN
Agama
menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia bermaksud sistem yang mengatur keimanan, kepercayaan
dan peribadatan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa serta kaedah yang berhubungkait di
antara pergaulan manusia dengan manusia serta lingkungannya. Perkataan agama
berasal dari bahasa Sankrit iaitu agama bererti “tradisi”. Dalam bahasa Arab,
agama disebut “Din” yang bererti ketaatan, pahala atau sebagainya. Dalam istilah,
“Din” bermaksud keyakinan kepada Sang Pencipta manusia dan alam semesta serta
ajaran-ajaran amaliah yang sesuai dengan penganutnya (EO’Dea Thomas, 1995: 85).
Ahli antropologi telah mengkaji
agama sebagai sebuah institusi sosial yang bersifat sejagat. Kepelbagaian agama
merangkumi agama-agama primitif seperti animisme
sehingga agama-agama abstrak iaitu monotheisme
dan polytheisme (Jamhari Ma’ruf,
2009)
Dalam khazanah ilmu-ilmu sosiologi, agama ternyata
tidak dikaitkan dengan konflik, melainkan lebih kepada integriti. Emile
Durkheim merupakan salah seorang sosiologi pada abad ke-19 telah menemukan
hakikat bahawa, agama berfungsi sebagai sumber dan pembentukan solidariti dalam
masyarakat. Beliau berpendapat, agama
adalah sesuatu yang diperlukan oleh kumpulan masyarakat untuk mengawal individu
atau kelompok agar menjadi satu kesatuan atau terikat satu kesamaan melalui pembentukan
sistem kepercayaan atau ritus (Doyle Paul Jhonson, 1990: 196). Solidariti
membawa maksud kepada perpaduan, kerukunan, setiakawan, kesatuan, integrasi,
kesepakatan bersama dan penyatuan yang dipamirkan oleh masyarakat atau kumpulan
yang merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia termasuk dalam
aspek agama (Ankerl Guy, 1980:115). Menurut teori Durkheim, agama bukanlah
sesuatu yang di luar, tetapi ada di dalam masyarakat itu sendiri. Agama
terbatas hanya pada kelompok atau masyarakat tertentu bagi tujuan menjaga
kepentingan kelompok atau masyarakat tersebut (George Ritzer, 2010:1). Kajian
Durkheim tentang agama diperkukuhkan lagi melalui hasil karyanya iaitu “The Elementary Forms of Religious Life”
yang menumpukan kepada kajian mengenai sosiologi agama. Dalam buku tersebut,
beliau menekankan peranan agama di dalam mempengaruhi dan meneguhkan integrity social dalam mengesahkan nilai
dan norma di dalam masyarakat iaitu dengan memberi ganjaran untuk perlakuan
yang dibenarkan serta membawa masyarakat bersama-sama untuk mengikuti ritual
agama yang dapat menguatkan solidariti (Betty, 2004: 18). Menurut beliau,
ritual agama memberi kesan emosi dan keutuhan yang mengukuhkan lagi hubungan di
dalam masyarakat tersebut. Durkheim juga menyatakan, ritual mempunyai empat
fungsi sosial iaitu bertindak sebagai fungsi disiplin dan persediaan, fungsi
perpaduan, fungsi keperluan atau kepentingan hidup dan fungsi untuk meriangkan
atau girang (Shomuddin, 2002:38). Di dalam buku tersebut juga, beliau telah
mendefinisikan agama sebagai sistem kepercayaan dan amalan yang bersepadu yang
berkaitan dengan benda yang kudus iaitu benda kudus yang dilihat mempunyai
kuasa yang dapat menyatukan ahli masyarakat ke dalam satu komuniti moral atau
gereja (Giddens Anthony, 1986: 12).
Ideologi
dan kajian Durkheim mengenai agama yang dilihat berfungsi mengekalkan
solidariti dalam masyarakat dapat dilihat dalam konteks perkembangan agama di
Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama. Kebebasan beragama ialah prinsip
yang menyokong kebebasan individu atau masyarakat untuk mengamalkan agama dan
kepercayaan secara tertutup atau terbuka. Kebebasan beragama termasuk kebebasan
untuk menukar agama dan tidak mengikut apa-apa agama. Dalam negara yang
mengamalkan kebebasan beragama, agama-agama lain bebas diamalkan dan pemerintah
tidak menghukum atau menindas pengikut kepercayaan lain selain daripada agama
rasmi (Mohamad Azim Zahari, 2000). Malaysia adalah sebuah negara yang
mengamalkan kebebasan beragama di mana, di dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara
11 menyatakan, “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,
tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan
persekutuan untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau
kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam”. Perlembagaan juga telah menetapkan bahawa
Islam adalah agama negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dalam
keadaan damai dan harmoni (Zufli Dahar, 2002). Menurut bancian pada tahun 2000,
60% daripada penduduk mengamalkan agama Islam, 19% agama Buddha, 9% agama
Kristian, 6% agama Hindu dan 3% lain-lain (Mohd Azim Zahari, 2000).
2.0
BAGAIMANA
AGAMA BERFUNGSI UNTUK MENGEKALKAN SOLIDARITI DALAM MASYARAKAT DI MALAYSIA YANG
MENGAMALKAN KEBEBESAN BERAGAMA
2.1
Agama berfungsi
mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebasan
beragama iaitu agama sebagai alat untuk mewujudkan dan mengeratkan kesepaduan
sosial dalam masyarakat. Durkheim menyatakan agama memenuhi kehendak sosial
lebih daripada kehendak psikologi. Masyarakat adalah sesuatu yang menjadi
sasaran sebenar yang dipuja agama. Melalui agama, manusia akan mendapat tempat
di dalam masyarakat. Ini kerana agama telah membangkitkan semangat komuniti
dalam diri masyarakat atau individu sebagai ummah kepada satu kumpulan atau
kelompok sosial yang mempunyai kepentingan bersama (Dadang Kahmad, 2002:6). Agama
berperanan mencipta sesuatu ikatan bersama, sama ada di antara individu di
dalam masyarakat tersebut atau dalam kewajipan sosial yang membantu
mempersatukan masyarakat (Mohammad Zaki Osman, 2003). Keadaan ini membuktikan
bahawa agama berperanan untuk mengeratkan dan mewujudkan social solidarity di antara masyarakat atau individu. Agama juga
merupakakan satu faktor dalam pembentukan kelompok manusia. Ini kerana sistem
agama menimbulkan keseragaman bukan sahaja kepercayaan yang sama, malah tingkah
laku, pandangan dunia dan nilai yang sama. Durkheim melihat keadaan ini wujud
kesan daripada penyertaan dalam ritus yang telah melestarikan sesuatu
masyarakat. Ritus iaitu mencerminkan struktur sosial kerana melalui ritus,
hubungan dan peranan sosial setiap individu di dalam masyarakat dapat dilihat
dengan jelas. Ritus membayangkan hirarki dan susun lapis kuasa dalam suatu masyarakat.
Contohnya, Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Najib Bin Tun Abdul Razak
telah melancarkan gagasan 1 Malaysia di mana, semua kaum dan agama bersatu dan bersama
tanpa mengira agama dan bangsa. Keistimewaan bukan sahaja kepada kaum Melayu
atau penganut agama Islam, tetapi semua kaum mendapat hak dan keistimewaan.
Antaranya kerajaan juga telah menetapkan hari Ahad adalah hari cuti rasmi bagi
negeri-negeri di Malaysia kecuali Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hari Ahad
merupakan hari cuti tradisional Kristian dan masyarakat yang menganuti agama
lain menerima perkara ini bagi tujuan mengekalkan keharmonian negara. Selain
itu, beberapa agama diiktiraf sebagai cuti rasmi termasuk Hari Raya Puasa dan
Hari Raya Haji bagi penganut Muslim, Hari Wesak dan Hari Thaipusam bagi penganut
Buddha, Hari Deepavali bagi penganut Hindu dan Hari Krismas bagi penganut
Kristian (Zulfi Dahar, 2002). Kesannya, tidak wujud perasaan tidak puas hati
dikalangan masyarakat dan kesepaduan dapat dikekalkan.
2.2
Agama berfungsi untuk
mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan
beragama iaitu agama sebagai alat kawalan sosial. Menurut Durkheim, agama
sering menekankan peraturan moral atau moral
order yang mana mengawal tingkah laku manusia (Dadang Kahmad, 2002:58). Peraturan
moral ini berasaskan pertentangan di antara unsur-unsur baik dan jahat. Tiada
agama di dunia ini yang menyuruh penganutnya melakukan kejahatan dan melarang
untuk berbuat kebaikan. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat sentiasa
berada dalam keadaan harmoni dan mengelakkan kekacauan atau perpecahan daripada
berleluasa. Sesiapa yang melakukan kebaikan akan mendapat ganjaran atau pahala,
manakala sesiapa yang melakukan kejahatan akan dihukum Tuhan dan dibalas dengan
dosa. Dalam ajaran agama telah menggariskan kod-kod etika yang wajib dilakukan
oleh penganutnya. Agama juga dilihat menyempurnakan akhlak manusia (Mohammad
Zaki Bin Osman, 2003). Contohnya, dalam Islam terdapat konsep amar makruf nahi
mungkar iaitu menyeru ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran. Contohnya,
undang-undang di Malaysia telah mengenakan denda dan hukuman kepada sesiapa yang melakukan kesalahan seperti
berkelakuan tidak sopan dikhalayak ramai tanpa mengira agama yang dianuti.
Denda dan tindakan yang dikenakan bergantung kepada undang-undang yang ada.
Kesannya, dapat mengurangkan masalah sosial yang dihadapi. Dengan ini, agama dilihat
dapat menguasai tingkah laku masyarakat yang mampu menyatukan masyarakat
tersebut (Anggrae, 2011).
2.3
Agama berfungsi untuk
mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan
beragama iaitu agama sebagai alat untuk pendidikan. Menurut Durkheim, agama
telah menyediakan indidvidu untuk melalui perubahan-perubahan dalam kehidupan mereka
melalui ritus peralihan atau rites of
passage seperti perubahan status, misalnya kelahiran, perkahwinan dan
kematian. Ritus peralihan dilakukan untuk memberikan pengiktirafan kepada tahap
peralihan dalam hidup manusia. Pada masa yang sama, ritus ini turut menurunkan
ilmu yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan sesuatu kumpulan. Agama juga
dilihat sebagai alat integrasi masyarakat dan amalan-amalan melalui ritual
secara pembelajaran atau pendidikan dengan menekankan ketaatan manusia terhadap
agama yang memainkan fungsi penguatan solidariti (Shomuddin, 2002:86). Selain
itu juga, melalui pembelajaran, agama membentuk jiwa masyarakat melalui budi
pekerti dengan adab yang sempurna baik dengan Tuhannya atau masyarakat (Doyle Paul
Johnson, 1990: 196). Melalui pendidikan agama, masyarakat diajar bahawa ritual
memberikan fungsi perpaduan iaitu menyatukan ahli-ahli masyarakat bersama-sama,
menguatkan ikatan sesama mereka dan menekankan perpaduan. Dengan melakukan
perkara bersama-sama dan berulang kali, masyarakat dapat menguatkan ikatan sesama
mereka. Perkara yang utama inilah mereka berkumpul dan perasaan itu dirasai dan
dizahirkan di dalam bentuk perlakuan. Contohnya, kerajaan telah mewujudkan
bukan sahaja sekolah kebangsaan biasa, tetapi juga turut mewujudkan Sekolah
Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC). Bagi
sekolah kerajaan umumnya menawarkan Pendidikan Islam yang wajib bagi semua
pelajar Muslim, manakala bagi pelajar bukan Muslim pula diwajibkan mengambil
kelas moral dan etika. Sekolah swasta atau persendirian juga bebas untuk
menawarkan kurikulum agama bukan Islam sebagai pilihan kepada orang bukan Islam
dan tiada sekatan bagi pembelajaran di rumah. Selain itu, amalan ritual seperti
upacara keagamaan atau upacara kepercayaa-kepercayaan tertentu di dalam agama
atau masyarakat yang melibatkan semua masyarakat tidak mengira agama yang
mereka anuti (Zufli Dahar, 2002). Melalui amalan ritual dapat melahirkan dan
mengekalkan perpaduan dan keutuhan sosial.
2.4
Agama berfungsi untuk
mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan
beragama iaitu agama sebagai sumber kosmologi sesuatu masyarakat. Menurut
Durkheim, agama dikatakan sumber kosmologi masyarakat kerana agama menyediakan
model semesta yang menjelaskan kejadian manusia dan alam. Setiap budaya
mempunyai kosmologinya yang tersendiri. Kosmologi menjelaskan siapa penghuni
alam dan menjelaskan bagaimana alam ini dicipta dan diatur. Ini kerana agama
dikatakan memberi pandangan dunia kepada manusia kerana ia sentiasa memberi
penerangan mengenai dunia dan juga kedudukan manusia di dalam dunia. Penerangan
bagi perkara ini sebenarnya sukar dicapai melalui inderia manusia, melainkan
sedikit penerangan dareipada falsafah (Dadang Kahmad, 2002: 59). Contohnya,
kosmologi menurut perspektif Islam di mana, alam ini dicipta oleh Allah s.w.t.
Alam ini terdiri daripada alam nyata dan juga alam ghaib yang meliputi syurga
dan neraka. Manusia dicipta oleh Allah s.w.t untuk mengenali Penciptanya dan
alam ini dijadikan medan ujian untuk menentukan siapakah antara hamba-hambanya
yang benar-benar menyembahnya. Masing-masing memainkan peranan menurut
peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t (Hasnul
Hadi Ahmad, 2010). Keadaan ini menunjukkan agama telah mempengaruhi dan
mewujudkan solidariti dalam masyarakat kerana masyarat dapat mengetahui susur
galur agama dan kehidupan dengan jelas tanpa samar-samar yang boleh memberi
kesan kepada masyarakat.
2.5
Agama berfungsi untuk
mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan
beragama iaitu agama sebagai bertujuan menghuraikan ketidakpastian. Menurut
Durkheim, alam ini penuh dengan perkara-perkara yang tidak pasti dan di luar
kawalan kita. Keadaan yang tidak dijangka wujud akan mengganggu dan menimbulkan
masalah pemikiran dan jiwa. Malapetaka dan kemalangan membimbangkan kita Namun,
agama telah menyediakan jawapan kepada permasalahan kehidupan kita melalui
ajaran-ajarannya yang terkandung dalam kitab-kitab suci. Manusia tidak boleh
mengharungi kehidupan yang penuh ketidakpastian ini tanpa bimbingan dan bantuan
agama. Contohnya soalan kehidupan selepas kematian, matlamat hidup, soal nasib
dan sebagainya (Dadang Kahmad, 2002: 58). Contohnya, agama Islam menyatakan di
dalam Al-Quran menceritakan mengenai syurga dan neraka. Syurga
dan neraka adalah yang diciptakan oleh Allah s.w.t yang setia menanti para
penghuninya. Syurga dinyatakan dalam Al-Quran sebagai “kediaman damai” yang
merupakan ganjaran daripada Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang beriman dan
bertaqwa. Neraka pula dinyatakan sebagai tempat menakutkan yang tidak mampu
digambarkan oleh khayalan manusia. Di dalam Al-Quran juga menerangkan mengenai gejala-gejala yang berlaku apabila tiba
saat kematian. Dikhabarkan juga mengenai alam barzah dan alam kubur. Proses
kematian digambarkan dalam Al-Quran sebagai proses yang berlaku secara
beransur-ansur di seluruh jasad. Tidak ada seorang pun di kalangan manusia
mampu meletakkan kembali jiwa agar bersatu semula dengan jasad apabila telah
sampai ajal (Hasnul Hadi Ahmad, 2010). Semua ini tidak dapat difikirkan
dengan akal fikiran manusia dan segala ketidakpastian akan terjawab melalui
agama.
3.0
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
agama dilihat merupakan salah satu aspek yang berfungsi untuk mengekalkan solidariti
dalam masyarakat yang memberi kesan positif kepada masyarakat dan negara.
Pelbagai cara dan kaedah telah digunakan agar fungsi dan peranan agama boleh
digunakan dengan sebaik mungkin. Fungsi agama ini banyak memberi kepentingan
dan kelebihan kepada penganut-penganutnya dan kesannya dapat dilihat melalui
perkembangan di dalam agama itu sendiri.
Fungsi agama di lihat amat penting dalam dasar
pembangunan masyarakat yang aman damai dan harmoni. Negara Malaysia walaupun
didiami majoriti penganut beragama Islam, namun nilai sejagat di ambil kira
dalam membuat dasar negara ke arah masa depan yang maju. Ia juga tidak
meminggirkan kepentingan agama lain yang wujud di negara ini. Hakikat ini akan
terus didokongi dan dilaksanakan jika mahu melihat negara ini terus maju tanpa
sebarang konflik perkauman dan agama.
Dalam soal memelihara keharmonian
agama, masyarakat Islam dan bukan Islam mempunyai peranan sama penting. Di
pihak bukan Islam, tuntutan mereka perlu munasabah dan rasional untuk mengelakkan
pertembungan yang merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri
perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionialisme
yang bertunjangkan keadilan untuk semua. Sekiranya mempunyai masalah, semua
pihak perlu memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih cara dan
bertindak di luar batas kemanusiaan seperti keganasan harus dielakkan bagi
menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara. Kegagalan masyarakat dalam
mewujudkan keharmonian menyebabkan konflik yang akan membawa kepada krisis
kemanusiaan.
Oleh itu, golongan agama seperti ahli
falsafah agama atau toloh-tokoh agama perlu banyak memainkan peranan dalam
membentuk masyarakat untuk melahirkan solidariti dalam diri masyarakat itu
sendiri. Golongan ini banyak mempengaruhi masyarakat dalam membentuk
solidariti. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama dan peranan
perlu di ambil bagi mengekalkan keharmonian negara melalui solidariti yang ada
dalam diri masyarakat tersebut.