Disediakan Oleh : Mimi Hamiza Ibrahim
1.0 PENGENALAN
Globalisasi
telah membuka ruang kepada persaingan sengit antara individu (pekerja), firma (majikan)
dan negara sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Globalisasi
juga telah berjaya menakluki dunia dan Malaysia merupakan salah satu negara
yang telah berjaya mengatur kedudukan dalam grid arus pensejagatan. Melalui ekonomi
yang berorientasikan global, keadaan ini sekaligus menimbulkan keperluan dalam memilih
pekerja di mana proses pemilihan dilihat turut berdasarkan perspektif global. Kesannya
menyebabkan terdapat beberapa kemahiran yang diperlukan oleh majikan dalam
memilih graduates atau pekerja bagi
memastikan kecekapan dan keberkesanan pekerjaan yang dilakukan tercapai
(Dearden et al, 2002).
Kemahiran
atau kriteria yang diberi penekanan adalah berdasarkan kepada beberapa
kemahiran yang telah dikenalpasti. Menurut Overtoom (2000) beliau telah
mendefinisikan kemahiran ini adalah satu aspek kompetensi pekerja yang harus
diketahui dan dimiliki oleh setiap pekerja untuk membolehkan mereka menjadi
seorang pekerja yang benar-benar trampil dan berkeupayaan tinggi dalam dunia
pekerjaan yang mereka ceburi (Overtoom, 2000).
Kemahiran
dan juga kualiti individu yang diperlukan ini berguna kepada semua pihak, tidak
kira sama ada dalam pengusahaan secara kecil-kecilan, mahupun dalam bidang pengusahaan
berskala besar. Kemahiran dalam diri pekerja merupakan kemahiran yang boleh
dipindahkan dari satu bidang kerja ke satu bidang kerja lain. Ia tidak meliputi
kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh sesuatu bidang pekerjaan yang khusus
sahaja, malah ia merangkumi pemilihan pekerja dalam semua bidang kerjaya (Yahya
Buntat, 2004). Ini bermakna, pihak industri tidak kira apa jua bentuk industri
yang diusahakan sangat memerlukan pekerja yang berketrampilan dalam pelbagai
kemahiran.
Kajian
yang telah dijalankan oleh Yahya Buntat (2004) mendapati antara kemahiran yang
perlu ada bagi seorang graduates atau
pekerja yang dianggap penting oleh majikan semasa proses pemilihan pekerja iaitu
Kemahiran Pengalaman Dalam Bidang Berkaitan, Kemahiran Dalam Bidang Teknologi
dan Komunikasi, Kemahiran Dalam Pembelajaran Secara Berterusan, Kemahiran Dalam
Kualiti Peribadi dan Kemahiran Dalam Penggunaan Dwi Bahasa (Yahya Buntat, 2004).
2.0
KEMAHIRAN-KEMAHIRAN
YANG DIPERLUKAN OLEH MAJIKAN DALAM PROSES PEMILIHAN GRADUATES ATAU PEKERJA:-
2.1 Kemahiran
Pengalaman Dalam Kerja Berkaitan
Kemahiran pengalaman dalam kerja
berkaitan amat penting kepada majikan kerana graduates atau pekerja yang diambil bekerja akan dapat melaksanakan
tugas yang diberi dengan lebih baik. Pengalaman yang bersesuaian dengan kerja
yang ditawarkan juga menggambarkan produktiviti pekerja (ILO, 2003). Ini kerana
pengalaman kerja amat penting terutama dalam keadaan majikan mengalami
kekurangan atau tiada pekerja di bidang berkenaan.
Kemahiran dalam pengalaman kerja berkaitan
turut memudahkan arahan yang diberi oleh majikan kepada pekerja senang difahami.
Ini kerana, pekerja yang memiliki pengalaman mampu memahami setiap arahan yang
diberi serta melaksanakan arahan kerja dengan lebih berkesan. Malah terdapat
majikan yang tidak mengiktiraf status sebagai pekerja berkemahiran sekiranya
pekerja tersebut tidak mempunyai pendedahan atau pengalaman kerja yang berkaitan
dengan kerja yang ditawarkan. Menurut ILO (2003) beliau telah menjelaskan
majikan cuba menarik lepasan graduates
yang berpengalaman kerana mereka lebih produktif dan dapat menjimatkan kos
pembiayaan latihan ketika bekerja (ILO, 2003). Contohnya, kemahiran yang
digariskan oleh majikan untuk mengambil pekerja yang ingin menjawat jawatan
sebagai Pendawai Elektrik atau Juruteknik Elektrik. Pekerja tersebut perlulah
memiliki kelayakan kemahiran teknikal dan kemahiran bolehkerja yang memiliki
pengetahuan asas dalam bidang elektrik (Zirkle, 2002).
Namun begitu, masih terdapat beberapa graduates yang pada umumnya menguasai
dalam pengetahuan teori tetapi masih kekurangan dalam pengalaman kerja yang berkaitan.
Menurut ILO (2001) beliau menyatakan antara masalah yang wujud dalam suasana
ekonomi yang sedang berkembang pesat, di mana, masih terdapat tenaga kerja yang
kurang mempunyai pengalaman yang bersesuaian (ILO, 2001). Kesannya akan
menjejaskan organisasi atau firma yang bakal diceburi.
2.2 Kemahiran
Dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Menurut Mallough & Kleiner (2001)
beliau menyatakan kemahiran menggunakan komputer dan kemahiran dalam berkomunikasi
merupakan kemahiran yang turut menjadi perhatian majikan ketika proses
pemilihan pekerja (Mallough & Kleiner, 2001). Keadaan ini sejajar dengan
perkembangan ekonomi global di mana, kemahiran dalam bidang teknologi maklumat
amat dititikberatkan oleh majikan. Penggunaan komputer bagi menggantikan teknik
lama adalah selari dengan tuntutan peredaran zaman.
Menurut Willett & Luan (2000) yang
menyatakan kemahiran komputer sebagai pelengkap tugas kerana pelbagai aplikasi
dan laporan hanya perlu dikemaskini data ke dalam sistem sahaja (Willett &
Luan, 2000). Keadaan ini menunjukkan kemahiran komputer penting untuk pekerja
dipelbagai jenis industri dan apa jua jenis pekerjaan. Ini kerana, majikan mula
menyedari kepentingan dalam kemahiran teknologi maklumat kerana penggunaan
komputer semakin berkembang luas dan dapat membantu meningkatkan kerjaya pekerja
tersebut di masa akan datang. Menurut Wood & Lange (2000) menyatakan
terdapat graduates yang gagal dalam
memiliki kemahiran komputer dan kesannya, graduates
ini tidak akan dipilih oleh majikan (Wood & Lange, 2000).
Kemahiran dalam komunikasi pula dilihat
merangkumi komunikasi secara lisan, bertulis dan mendengar. Komunikasi adalah
mengenai jelas, padat, fokus, mendengar, menyesuaikan dan menyampaikan mesej
kepada individu lain. Definisi komunikasi iaitu proses di mana manusia
menghantar dan menerima mesej serta manusia berkongsi atau bertukar idea,
pendapat dan maklumat (Mohd Yahya Mohamed Ariffin, 2010). Di dalam dunia
pekerjaan, kemahiran dalam komunikasi merupakan kekuatan kepada sesebuah
organisasi atau syarikat. Komunikasi seseorang pekerja dilihat berkesan apabila
mesej yang disampaikan boleh difahami dengan jelas dan tepat oleh penerima.
Komunikasi dilihat oleh majikan antara kemahiran yang perlu ada oleh pekerja
atau graduates kerana komunikasi amat
penting di tempat kerja sama ada komunikasi di antara pengurus dengan pekerja,
komunikasi pekerja dengan pengurus, komunikasi sesama pekerja dan komunikasi
dengan pelanggan (Mohd Yahya Mohamed Ariffin, 2010). Contohnya, dalam sektor
perkhidmatan. Kemahiran komunikasi memainkan peranan yang penting untuk
mengeratkan hubungan dengan pelanggan. Keupayaan berkomunikasi dengan baik juga
memudahkan pekerja menyesuaikan diri dengan pelbagai pihak termasuk pihak
pengurus atasan, rakan sekerja, pelanggan dan orang awam (Mohd Yahya Mohamed
Ariffin, 2010). Keadaan ini akan memberi kesan yang baik kepada perkembangan
dan nama syarikat.
2.3 Kemahiran
Pembelajaran Secara Berterusan
Kemahiran pembelajaran secara berterusan
juga diharapkan oleh majikan kepada pekerja atau graduates. Kriteria ini akan dilihat wujud di dalam diri pekerja
atau graduates tersebut semasa proses
temuduga berlangsung. Ini kerana aspek pembelajaran secara berterusan di tempat
kerja amat ditekankan oleh majikan dan aspek ini penting terutama kepada
pekerja baru (Loose, 2004).
Keadaan ini bukan sahaja bertujuan untuk
menyesuaikan diri di tempat kerja baru atau di dalam bidang baru, tetapi juga
untuk menyesuaikan diri dengan tugasan yang spesifik dalam organisasi berkenaan.
Pembelajaran di tempat kerja sama ada pembelajaran secara sendiri atau belajar
dari orang lain (Loose, 2004).
Menurut ACCI (2002) beliau menyatakan
majikan menghendaki pekerja memiliki kemahiran belajar secara berterusan yang
dapat menyumbang kepada perkembangan dan peningkatan diri serta operasi
syarikat secara berterusan (ACCI, 2002). Pembelajaran secara berterusan amat
dititikberatkan ekoran daripada perubahan teknologi sama ada teknologi yang
diimport dari luar negara atau dalam negara. Contohnya pekerja yang bekerja di
sektor pembuatan. Penerapan teknologi baru memerlukan pekerja mempelajari dan
memahami dalam mengurus dan menyelenggara mesin apabila proses pengautomasian
digunakan (Malaysia, 2001). Oleh itu, perlunya seseorang pekerja yang telah
bersedia mempelajari perkara atau bidang baru. Penemuan ini menunjukkan pentingnya
pembelajaran secara berterusan di tempat kerja, terutamanya pembelajaran
melalui amalan dan pengetahuan dalam teknologi (Yahya Buntat, 2004).
Menurut ILO (2003), beliau menyatakan
matlamat majikan ialah mendapatkan pekerja yang berterusan untuk menimba ilmu
dan menggunakan pengetahuan serta kemahiran baru. Keadaan ini menunjukkan
amalan pembelajaran secara berterusan juga bertujuan memperbaiki proses
pengeluaran dan keluaran bagi meningkatkan daya saing di dalam organisasi. Kemahiran
ini dilihat penting kerana operasi kerja moden kini yang lebih dinamik. Majikan juga telah menyedari bahawa melalui
kemahiran ini akan memberi pulangan yang baik dan menyokong kepada kemajuan
syarikat atau organisasi pada masa hadapan (ILO, 2003).
2.4 Kemahiran
Dalam Kualiti Peribadi
Kemahiran dalam kualiti peribadi
merupakan kluster yang turut menjadi perhatian oleh majikan ketika proses
pemilihan pekerja di Malaysia. Menurut Ramlee et al (2001) beliau menyatakan
majikan meletakkan kemahiran kualiti peribadi sebagai kriteria utama dalam
proses pemilihan pekerja (Ramlee et al, 2001).
Terdapat beberapa kualiti peribadi pekerja
yang dilihat oleh majikan seperti pengurusan diri, interaksi sosial, etika
kerja, keyakinan diri, bekerja secara bersistematik, kerja berpasukan dan
kepimpinan (Ramlee et al, 2001). Selain itu juga, ACCI (2002) menyatakan
majikan juga mengharapkan graduates
memiliki kualiti peribadi dalam diri yang pelbagai seperti penguasaan mengelola
kerja, kemahiran berfikir, mengurus masa dan ketelitian dalam melaksanakan
tugas (ACCI, 2002). Ini kerana majikan
memerlukan pekerja yang sudi bertanggungjawab terhadap suasana dan tugas yang
akan diberikan. Keikhlasan semasa bekerja, bekerja secara bersungguh-sungguh
dan berdisiplin juga merupakan antara kualiti peribadi yang dianggap penting oleh
majikan.
Melalui kemahiran dalam kualiti peribadi
pekerja, majikan inginkan pekerja yang mempunyai sifat ikhlas serta menunjukkan
kesungguhan inginkan pekerjaan yang ditawarkan. Majikan juga dapat menjangkakan
keikhlasan dan kesungguhan pemohon ketika proses temuduga dijalankan (Jones,
2002).
Selain itu, sikap disiplin perlu ada
dalam diri graduates sama ada dalam
pemakaian atau pun masa. Menurut Tan (2003) beliau menyatakan kriteria kemahiran
dalam pengurusan disiplin masa adalah amat penting (Tan, 2003). Ini kerana, terdapat majikan yang memerlukan
pekerja yang sudi dengan waktu bekerja yang fleksibel. Contohnya, dalam sektor
pembinaan. Ianya melibatkan kerja-kerja pendawaian yang melebihi masa kerja
atau kerja di luar waktu bekerja. Oleh itu, majikan memerlukan pekerja yang
mampu dan boleh bekerja mengikut waktu yang diperlukan oleh majikan (NEAC,
2003).
Pengurusan diri juga termasuk di dalam
kualiti peribadi yang dicari oleh majikan di dalam memilih pekerja. Melalui
pengurusan diri, aspek ketepatan dan ketelitian tugas akan ditonjolkan oleh
pekerja dan pekerja juga akan menunjukkan komitmen terhadap tugasan yang
diberikan. Ia juga dapat meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan syarikat (ACCI,
2000).
Selain itu, kemahiran dalam kualiti
peribadi dapat dilihat dalam diri melalui kerja secara berpasukan. Kerja
berpasukan merupakan salah satu aktiviti pembelajaran di tempat kerja yang
diharapkan oleh majikan. Kesannya memberi kesan kepada pekerja yang telah
menunjukkan dan menampilkan kerjasama yang baik ketika bekerja (Turner, 2002).
Ini akan memberi kesan kepada organisasi atau firma kerana akan mewujudkan
kebolehan untuk menyelesaikan tugas, menyelesaikan halangan-halangan kerja dan
menawarkan sokongan bersama- sama rakan ketika kerja.
Selain itu juga, kemahiran dalam kualiti
peribadi iaitu kerja secara bersistematik. Pendedahan kerja secara
bersistematik juga amat diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pekerja dalam
melakukan tugasan yang diberikan serta menunjukkan pekerja lebih produktif (ILO,
2001). Keadaan ini menunjukkan majikan amat memerlukan pekerja yang mempunyai
kualiti peribadi yang tinggi dan berkesan. Kualiti peribadi ini akan dinilai
oleh majikan semasa proses temuduga atau sesi suaikenal bersama pekerja.
2.5 Kemahiran
Penggunaan Bahasa Inggeris, Dwi Bahasa atau Pelbagai Bahasa
Kemahiran ini mula diberi perhatian oleh
majikan kesan daripada era globalisasi dan di dalam dunia tanpa sempadan. Kemahiran
dalam komunikasi terutamanya penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris
merupakan aset bernilai yang perlu ada pada setiap pekerja (Hariati Azizan
& Lee Yen Mun, 2011).
Penguasaan dalam bahasa Inggeris perlu
ditingkatkan kerana ia diperlukan terutamanya untuk memahami prosuder serta manual
teknologi yang diimport dari luar negara. Tambahan pula, bahasa Inggeris
merupakan bahasa utama dunia dalam perhubungan. Menurut Ramlee et al (2001)
beliau menyatakan kurang fasih dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan pekerja
atau graduates menghadapi kelemahan
dalam komunikasi (Ramlee at al, 2001). Keadaan ini akan memberi kesan negatif
kepada perkembangan syarikat atau firma.
Contohnya, dalam industri perkilangan.
Tugas seorang Jurutera tidak sama seperti dahulu. Kini mereka perlu melibatkan
diri dalam pelbagai aspek perniagaan serta berinteraksi dengan pelanggan yang datang
dari pelbagai negara di seluruh dunia. Oleh itu, apa yang dilihat, penguasaan
dan komunikasi dalam bahasa Inggeris amatlah ditititberatkan oleh majikan dalam
proses pemilihan pekerja (Hariati Azizan & Lee Yen Mun, 2011).
Namun, apa yang dibimbangkan, masih terdapat
pekerja atau graduates yang masih
tidak mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik dan
kesannya mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Ini kerana penguasaan dalam bahasa
Inggeris yang lemah akan mempengaruhi daya saing global di Malaysia dan negara
akan ketinggalan (Hariati Azizan & Lee Yen Mun, 2011).
Selain dari penguasaan bahasa Inggeris,
majikan akan memberi bonus kepada pekerja atau graduates yang boleh menggunakan pelbagai bahasa lain antaranya
bahasa Cina, bahasa Jepun atau lain-lain bahasa (Hariati Azizan & Lee Yen
Mun, 2011). Ini kerana, syarikat atau firma tidak akan menghadapi masalah
sekiranya ingin menjalinkan hubungan perniagaan dengan negara-negara luar
kerana mempunyai tenaga kerja yang boleh dan mahir bertutur dalam pelbagai
bahasa.
3.0
CADANGAN-CADANGAN
KEPADA GRADUATES, BADAN-BADAN
KERAJAAN ATAU INSTITUSI PENDIDIKAN DI MALAYSIA AGAR DIBEKALKAN DAN DISEDIAKAN
KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG DIPERLUKAN OLEH MAJIKAN DALAM MEMILIH PEKERJA:-
3.1
Graduates:-
3.1.1
Graduates
perlulah bijak dalam memilih kursus yang ditawarkan dan perlu melihat serta
menilai kemampuan diri dan kesesuaian diri dalam kursus yang dipilih. Graduates juga perlu belajar untuk
menceburkan diri dalam aktiviti atau bengkel yang melibatkan kemahiran-kemahiran
tertentu. Antaranya kemahiran dalam komputer, kemahiran dalam memahami pelbagai
bahasa, kemahiran berfikir dan sebagainya.
3.1.2
Graduates
perlulah
mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran baru serta kemahiran yang pelbagai bagi
mengelakkan kemungkinan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan (Mohamad Nizam
Mohamad Salleh, 2008). Ini kerana, graduates
terpaksa bersaing untuk merebut peluang pekerjaan. Contohnya, dalam sektor
industri yang tidak hanya mensyaratkan graduates
yang mempunyai kelulusan kejuruteraan sahaja, tetapi turut melihat aspek
komunikasi iaitu penguasaan komunikasi dalam bahasa Inggeris.
3.2
Badan-
Badan Kerajaan atau Institusi Pendidikan:-
3.2.1
Kerajaan perlu menekankan pembelajaran
secara kemahiran seperti latihan vokasional dan teknikal melalui institusi
latihan kemahiran yang telah diperkenalkan (Mohamad Nizam Mohamad Salleh,
2008). Ini merupakan salah satu usaha untuk melahirkan graduates yang berkemahiran dan bermotivasi tinggi. Keadaan ini
membantu menyumbang kepada penawaran kerja terutama dalam sektor pembangunan
dan perindustrian. Contohnya, Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) menawarkan
kursus dalam bidang elektrik dan graduates
bukan sahaja tahu melalui teori tetapi juga melalui amali (Mohamad Nizam
Mohamad Salleh, 2008). Sistem latihan memberikan graduates memperolehi pengalaman dan kelayakan dalam bidang
kemahiran apabila bekerja.
3.2.2
Penglibatan kerajaan secara aktif dalam
membangunkan program atau latihan dan sokongan kepada sektor swasta. Antara
sokongan seperti dalam mengendalikan program latihan kerana ia merupakan usaha
penting dalam memastikan kualiti latihan dapat dikekalkan mengikut piawaian
yang ditetapkan. Keadaan ini bertujuan menambah tahap kemahiran sedia ada bagi
meningkatkan kapasiti dan produktiviti kerja serta membantu graduates mendapatkan peluang pekerjaan.
Malah, ia akan memberikan hasil positif sama ada dari sudut kuantiti atau
kualiti.
3.2.3
Penubuhan institusi-institusi latihan
dan kemahiran baru secara berterusan di bawah pengelolaan pelbagai Kementerian dan
dipantau oleh Kementerian Pendidikan dilihat salah satu usaha dalam menarik
lebih ramai graduates yang dilengkapi
dengan kemahiran. Ia sejajar dengan kehendak majikan dan dapat melahirkan sumber
tenaga yang mahir. Contohnya, mewujudkan institusi di bawah pengelolaan
Kementerian Teknologi Maklumat yang akan melahirkan graduates yang mahir dalam bidang komputer.
3.2.4
Kerajaan juga perlu memperuntukan
perbelanjaan kepada institusi-institusi kemahiran tertentu untuk tujuan jangka
masa panjang dan jangka masa pendek.
4.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, apa yang dilihat, majikan amat
menitikberatkan dan menilai kemahiran pekerja yang bakal dipilih berdasarkan
kemahiran-kemahiran yang akan memberi manfaat dan keuntungan kepada syarikat
atau firma. Kemahiran yang dilihat ini harus diberi perhatian yang sewajarnya
selaras dengan wawasan negara bagi melahirkan insan yang cemerlang, gemilang
dan terbilang. Keadaan ini menunjukkan majikan menghendaki pekerja bukan sahaja
dapat menguasai kemahiran teknikal malah kemahiran bolehkerja. Penemuan
kehendak majikan selari dengan tenaga kerja yang diperlukan dalam perkembangan
ekonomi global yang telah mewujudkan dunia tanpa sempadan.
Bagi graduates
pula, mereka perlulah bersedia dalam menghadapi situasi perkembangan arus
pembangunan dan perlu bertindak bijak dalam menangani situasi ini. Sekiranya graduates tidak melengkapkan diri dan
tidak bersedia semasa dalam pengajian di kampus, ia akan menyebabkan graduates ketinggalan dan kesukaran
untuk bersaing dengan graduates yang
lain akan wujud. Malah, akan memberi kesan yang negatif kepada mereka di masa
akan datang.
Oleh itu, majikan dan pekerja perlulah saling
memberi kerjasama yang sewajarnya kerana kedua-duanya saling memerlukan di
antara satu sama lain.
Bagus penulisan ini. Banyak ilmu yg boleh kita perolehi walau panjang tulisannya. Berbaloi ok.
BalasPadamJangan lupa untuk ketahui rahsia apa yang terkandung dalam pengurusan dan kemahuan majikan dari kakitangan mereka. Juga ketahui juga kriteria yang perlu pekerja berikan kepada majikan untuk jadi emplyee of the year. Tengok kat sini ok. www.rahsiahrd.com
Saya ingin mencari syarikat yg memerlukan machanik jentera berat
BalasPadam