1.0
Pengenalan
Jihad merupakan satu konsep dan tuntutan dalam Islam
yang agak polemik dan kontroversi serta isu yang sensitif di kalangan
masyarakat dunia pada masa kini. Ini kerana wujudnya salah faham dalam memahami
pengertian dan konsep jihad yang sebenarnya dalam konteks Islam. (Muhammad
Khayr Haikal, 1996).
Kronologi jihad pada peringkat awal bermula semasa dakwah
Rasulullah s.a.w di era Makkah. Pada era tersebut, jihad memerangi musuh masih
belum disyariatkan oleh Islam dan ia lebih kepada jihad ma’nawi. Semasa proses
hijrah ke Madinah, kaum Muslimin mendapat keizinan untuk berjihad dan berperang
daripada Allah s.w.t tetapi tidak mewajibkannya. Selepas hijrah ke Madinah,
kaum Muslimin diwajibkan memerangi golongan yang memusuhi Islam dan Muslimin
ekoran daripada kezaliman dan penyeksaan oleh Musyrikin (Muhammad Khayr Haikal,
1996).
Jihad merupakan amalan yang terpuji yang dituntut di
dalam Islam berbanding dengan amalan-amalan lain selain daripada solat wajib (Wahbah
al-Zuhayli, 1996). Oleh kerana itu, jihad menjadi fardhu (tuntutan yang wajib)
dan perintah yang berkekalan sehingga ke hari kiamat. Namun begitu, golongan
yang menentang Islam khususnya masyarakat Barat cenderung menggambarkan bahawa
jihad dalam Islam merupakan satu bentuk keganasan pada zaman silam, yang tidak
relevan pada zaman sekarang. Mereka melihat jihad dalam aspek yang negatif
iaitu imej jihad yang kejam, ganas dan keras. Keadaan ini dikukuhkan lagi
dengan aksi dan tindakan terorisme
atau pengganas terutama selepas insiden 11 September di New York, Amerika Syarikat
(Ergun Capan et.al, 2004).
2.0 Definisi
Jihad Dalam Islam
2.1
Definisi
Jihad
Pengertian
jihad dari segi bahasa ialah menurut kamus Arab, perkataan jihad berasal
daripada perkataan “al-jahd” yang bermakna kesukaran dan “al-juhd” yang
bermakna kekuatan dan usaha. Manakala perkataan “al-jihad” bermaksud mengerah
dan mengeluarkan segala kekuatan serta kemampuan dalam melakukan sesuatu dakwah
bukan hanya melibatkan peperangan secara fizikal seperti senjata, tetapi juga
secara bukan fizikal termasuk secara mental serta spiritual (Husni Adham
Jarrar, 1994).
Manakala,
pengertian jihad menurut al-Quran dan Sunnah bermaksud mengerahkan tenaga dan
usaha untuk berperang pada jalan Allah s.w.t samada secara langsung (bertempur
di medan perang) atau dengan harta, akal fikiran, membekalkan tentera tambahan,
logistik, bantuan perubatan bagi tentera dan sebagainya (Muhammad Khayr Haikal,
1996).
Menurut
Mazhab Hanafi, jihad adalah mendakwahi orang kafir kepada agama yang benar dan
memerangi mereka jika tidak menerimanya. Menurut Mazhab Maliki pula, setiap
manusia yang berpayah-payah kerana Allah s.w.t bererti telah berjihad di jalan
Allah s.w.t. Mazhab Syafi’i dan Mazhab Hambali pula berpendapat jihad adalah
berperang di jalan Allah s.w.t dengan mengerahkan tenaga dalam memerangi orang
kafir untuk memenangkan Islam dan meninggikan kalimat Allah s.w.t. (Abdulloh
Ahmad Al-Qodiri, 1994).
2.2
Tiga
Ciri Pelaksanaan Jihad
i.
Dalam konteks diri peribadi atau
individu di mana berusaha membersihkan fikiran daripada pengaruh ajaran selain ajaran
Allah s.w.t dengan perjuangan spiritual di dalam diri, mengerjakan perintah dan
menjauhi larangan Allah s.w.t. Kesannya akan mewujudkan moral dan akhlak yang
baik di dalam diri serta meningkatkan perhubungan sesama manusia. Contoh
pelaksanaan jihad dalam diri seperti berdaya tahan dari segi mental dan
fizikal, berdaya saing serta kreatif (Alfathfadullah, 2009).
ii.
Dalam konteks community atau masyarakat iaitu berusaha agar Ad-Din kepada
masyarakat dan keluarga. Ini bertujuan agar tetap utuh dengan dakwah dan membersihkan
mereka dari kekufuran, bersatu padu dan berjaya keluar daripada kejahilan atau
kemiskinan. Juga fokus kepada perubahan kehidupan masyarakat yang lebih baik
disamping bekerjasama mempertahankan negara (Alfathfadullah, 2009). Contohnya, memberi
pendedahan dan pendidikan agama yang sempurna kepada keluarga dan masyarakat agar
mereka menjadi insan yang berguna.
iii.
Dalam konteks kedaulatan negara di mana
berusaha menjaga kedaulatan negara dari serangan luar mahupun pengkhianatan
dari dalam negara sendiri agar keamanan dan ketenangan terjaga termasuk
pelaksanaan amar makruf nahi mungkar. Jihad ini hanya berlaku kepada negara
yang menggunakan Din Islam secara menyeluruh atau kaffah (Alfathfadullah,
2009). Contohnya, mencurahkan segala daya dan tenaga untuk negara supaya
pembangunan dapat dijalankan dengan sempurna dan menunjukkan sikap tolak ansur
antara etnik atau kaum.
3.0
Tiga
Kepentingan dan Kelebihan Pelaksanaan Jihad Berdasarkan Dalil Naqli
3.1
Dalil Naqli adalah dalil-dalil yang antaranya
bersumberkan dari Al-Quran, hadis, ijmak serta qiyas (Lailizah Darman, 2003). Pelaksanaan
jihad dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan kaedah iaitu jihad dengan hati,
jihad dengan lisan, jihad pendidikan (Ta’limi), jihad dengan tangan dan diri,
jihad politik dan jihad harta.
3.2
Kepentingan
Dan Kelebihan Pelaksanaan Jihad Berdasarkan Dalil Naqli
i.
Mempertahankan Islam dan ajarannya iaitu
usaha umat Islam untuk membenteras sebarang aktiviti atau gerakan yang dilihat
mampu menggugat dan mencemarkan nama baik Islam. Masyarakat Islam perlu peka
akan propaganda musuh terutamanya dari Barat yang cuba untuk melemahkan dan
merosakkan akidah umat Islam melalui pelbagai cara samada melalui bidang
penulisan, serangan pemikiran, cara hidup yang moden dan ekonomi. Adalah
menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengembalikan kegemilangan dan keutuhan
Islam sebagai agama yang benar dan mentauhidkan Allah s.w.t. Ia merupakan satu
prinsip yang agung di dalam Islam kerana ia merupakan salah satu cara memelihara
kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan Islam (Wahbah al-Zuhayli, 1996).
Kepentingan dan
kelebihan ini dapat dilihat melalui beberapa ayat Al-Quran iaitu surah
Al-Taubah ayat 123, “ hai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang
kafir yang disekitar kamu itu, dan hendaklah mereka menemui kekerasan
daripadamu, dan ketahuilah, bahawasanya Allah s.w.t beserta orang-orang yang
bertakwa” (Iman Santoso, 2008).
ii.
Meluaskan syiar Islam di mana jihad
merupakan satu mekanisme bagi
mengembangkan dakwah Islam dan menegakkan hukum Allah s.w.t. Tetapi bukan
bertujuan memaksa mereka memeluk Islam di mana tidak membenarkan sebarang
paksaan atau kekerasan dalam berdakwah. Sebelum melancarkan jihad, dakwah Islam
terlebih dahulu perlu disampaikan dan dijalankan terhadap pihak musuh yang
ingin diperangi (Wahbah al- Zuhayli, 1997). Tujuannya supaya mereka patuh dan
tunduk kepada kerajaan dan kepimpinan Islam, menerima kaum Muslimin dan memberi
laluan kepada dakwah Islam untuk berkembang. Namun, mereka yang tidak memerangi
Islam serta tidak menghalang dakwah Islam, tidak akan diperangi selagi mana
mereka mengiktiraf kerajaan Islam, patuh kepadanya dan membenarkan dakwah Islam
dijalankan secara bebas dan aman. Contohnya, Rasulullah s.a.w memerangi
musyrikin Makkah kerana penganiayaan, penghinaan dan kezaliman yang telah
mereka lakukan terhadap kaum Muslimin (Ergun Kapan et.al, 2004). Kepentingan
dan kelebihan jihad dapat dilihat melalui sumber ijmak iaitu menurut pendapat
ulama Iman Hanafi, “ jihad adalah mendakwahi orang kafir kepada agama yang
benar dan memerangi mereka kalau tidak mau menerima” (Al-Muwahhidin, 2009).
iii.
Menghapuskan kezaliman iaitu membela
diri dan nasib umat Islam daripada kezaliman dan penganiayaan pihak musuh. Ia
termasuk jihad mengusir para penceroboh dan penjajah yang merampas negara dan kawasan
kediaman kaum Muslimin secara tidak adil dan wajib ke atas Muslim tersebut
mempertahankannya, walaupun dengan mengangkat senjata. Kezaliman terhadap kaum
Muslimin juga boleh terjadi melalui penafian hak-hak kemanusiaan serta
pencabulan hak asasi manusia serta penindasan dari pelbagai aspek (Muhammad
Khayr Haikal, 1996). Contohnya, jihad penentangan serta kebangkitan rakyat
Palestin yang mempertahankan tanah air daripada pencerobohan dan penaklukan
Israel serta keganasan yang dilakukan oleh kaum Yahudi tersebut (Ergun Kapan
et.al, 2004). Namun, apa yang perlu dipastikan ialah pelaksanaannya haruslah
menepati dengan adab dan hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Kepentingan
dan kelebihan jihad dapat dilihat melalui sumber Qiyas seperti yang dinyatakan
oleh Miqdad (2010), iaitu pencabulan hak asasi manusia samada terhadap
masyarakat Islam atau bukan Islam adalah satu jenayah yang berat dan tindakan
akan di ambil sekiranya didapati bersalah seperti melalui Mahkamah Domestik
(dalam negara tersebut) atau Mahkamah International (Mahkamah Antarabangsa)
(Miqdad, 2010).
iv.
Mencapai dan mendapat rahmat yang agung
dari Allah s.w.t. iaitu ganjaran yang dijanjikan untuk mereka yang berjihad
samada dengan nyawa atau harta benda termasuklah pahala yang besar, maghfirah
iaitu keampunan dari segala dosa daripada Allah s.w.t, kemuliaan di sisi Allah
s.w.t di dunia dan di akhirat, selamat dari azab kubur dan seksaan api neraka
serta jaminan tempat yang baik di akhirat dan di syurga. Allah s.w.t
menjanjikan ganjaran yang banyak dan istimewa kepada para mujahidin terutamanya
yang mati syahid (Sheikh Abdullah, 1995). Kepentingan dan kelebihan ini dapat dilihat di
dalam hadis Rasulullah s.a.w, menurut Iman Bukhari dan Muslim, Anas r.a meriwayatkan
bahawa Rasulullah s.a.w berkata, “tiada siapa yang telah memasuki syurga akan
mahu pulang ke dunia, walupun jika ianya diberi segala apa yang dikandungi
dunia, kecuali yang syahid, dia akan asyik mengharapkan dapat pulang ke dunia
dan disyahidkan 10 kali lagi ‘fi sabilillah’ disebabkan penghormatan yang
diberi sebagai balasan syahidnya” (Iman Santoso, 2008).
4.0
Empat
Bentuk Jihad Dalam Islam
4.1
Jihad melawan hawa nafsu iaitu merupakan asas semua jihad
kerana sebelum seseorang mampu berjihad melawan musuh, ia terlebih dahulu harus
menundukkan hawa nafsunya (Muhammad Khayr Haikal, 1996). Jihad
melawan hawa nafsu dengan cara bersabar dan ikhlas dalam mempelajari,
mengamalkan dan mengajar ilmu agama atau berdakwah kerana pasti akan menghadapi
tentangan daripada musuh (Muhammad Khayr Haikal, 1996). Ia perlu melawan dan
mengawal agar tidak mendorong kepada kejahatan. Ini boleh dilakukan dengan
melakukan proses pembersihan diri dari sifat yang keji dan memupuk sifat yang
terpuji melalui ibadah yang dianjurkan oleh agama Islam. Contohnya, membaca
Al-Quran, berzikir, berpuasa, bersedekah dan mengamalkan adab yang mulia dan
tingkah laku sosial yang baik (Muhammad Hanif Hassan & Mohamed Ali, 2007)
4.2
Jihad melawan syaitan iaitu berjihad
menolak syubhat dan keraguan di dalam keimanan serta menolak bisikan syaitan.
Jihad ini akan melahirkan keyakinan dan menghasilkan kesabaran. Syaitan
merupakan musuh yang harus ditundukkan terlebih dahulu sebelum melawan musuh
sesama manusia. Memerangi
syaitan dalam espek ini dilakukan dengan cara iman, berzikir, istighfar dan
membaca ayat-ayat Al-Quran, khususnya surah Al-Ikhlas dan surah mu’awwizatain
disertai dengan memperbanyakkan membaca“A’udzu billahi
minasy-syaithanirrajim”. Selain itu, memerangi syaitan dengan cara meninggalkan
perilaku yang menyimpang dari ajaran, perintah dan larangan Allah s.w.t dan bersabar
untuk tetap taat kepada Allah, bersabar dari berbagai kemaksiatan, dan bersabar
terhadap musibah yang menimpa di dunia dan dengan cara berpuasa dan zuhud
(Syeikh Abul Hasan, 2008).
4.3
Jihad melawan orang kafir dan munafik
iaitu mereka yang tidak beragama Islam dan mereka yang mengaku beragama Islam
tetapi hidupnya tidak didasarkan dengan ajaran Islam. Jihad ini dengan cara
jihad dengan hati, lisan, harta dan jiwa raga. Berjihad melawan orang kafir
lebih dikhususkan dengan tangan seperti peperangan dan berjihad melawan orang
munafik dengan lisan iaitu dengan cara nasihat. Secara asalnya, hukum jihad ini
adalah fardu kifayyah. Namun, dalam keadaan tertentu ia akan menjadi fardu ain.
Contohnya, apabila pasukan kaum Muslimin berhadapan dengan kaum kafir, maka
diharamkan untuk mundur atau lari, malah wajib ke atas penduduk tersebut
menghadapinya dan membela diri. (Darman, 2010).
4.4
Jihad melawan orang-orang yang zalim, ahli
bid’ah dan pembuat kemungkaran iaitu meliputi tiga tahap samada memerangi atau
mencegah mereka dengan tangan bila mampu (kekuatan dan kekuasaan), jika tidak
maka berpindah dengan lisan (nasihat) atau tulisan dan akhirnya sekiranya tidak
mampu juga, maka memerangi mereka dengan hati. Ini bertujuan untuk mencegah dan
membimbing golongan ini dari terus melakukan kezaliman dan kemungkaran.
Contohnya, melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang dan menasihati
golongan ini agar kembali ke jalan yang benar (Muhammad Hanif Hassan &
Mohamed Ali, 2007). Jihad
seperti ini adalah wajib menurut syara’ tetapi berbeza samada fardu ain atau
fardu kifayah. Jihad ini hukumnya fardu ain bagi orang yang melihat kezaliman
atau kemungkaran dan tidak ada yang tahu kecuali dia, maka dalam keadaan
tersebut wajib baginya mencegah kezaliman dan kemungkaran yang berlaku. Begitu
juga ketika tiada orang yang mampu mencegah kezaliman kecuali dia sendiri
disebabkan kekuatan dan kekuasaan yang dia miliki atau ketika dia melihatnya
ada juga orang lain tetapi tiada seorang pun yang berani menentang kezaliman
dan kemungkaran tersebut, maka wajib baginya mencegah sesuai dengan kemampuan
yang ada. Jihad jenis ini akan menjadi fardu kifayah apabila sebahagian kaum
muslimin telah melakukan pencegahan manakala sebahagian yang lain berdiam diri
(Ulysses Ronquillo, 2009).
5.0
Empat
Kaedah Mengaplikasi Jihad Dalam Masyarakat Pada Hari Ini
5.1
Dalam aspek ekonomi iaitu jihad dalam
pembangunan ekonomi umat Islam (Muhammad Haniff Hassan & Mohamed Ali,
2007). Keseimbangan ekonomi
merupakan faktor yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Walaubagaimanpun,
banyak negara yang mengamalkan sistem ekonomi Barat tanpa mengkaji keberkesanannya
seperti sistem kapitalis, sosialis, dan komunis. Akibatnya berlaku kemelesetan dan
kemerosotan ekonomi yang akan memberi kesan kepada sosial dan politik negara seperti
berlakunya rusuhan pekerja ekoran kegagalan untuk membayar gaji pekerja dan kegagalan
kerajaan dalam memberikan perkhidmatan serta kebajikan kepada masyarakat
sehingga masyarakat hilang kepercayaan terhadap pemerintah (Herman Samsudeen,
2009).
Keadaan ini adalah berbeza dengan
ekonomi yang dianjurkan dalam Islam yang berteraskan wahyu Allah s.w.t. Sistem yang
dianjurkan dalam Islam menjauhkan manusia daripada sebarang kemudaratan dan menjamin
kebahagian kehidupan di dunia dan akhirat (Chapra Umer M, 2005). Contohnya, Islam mengharamkan jual
beli beberapa bentuk harta kekayaan seperti mengharamkan pemanfaatan dan
penyewaan tenaga manusia seperti penari dan pelacuran, mengharamkan jual beli minuman
keras kerana sebagai seorang muslim percaya bahawa barang tersebut bukanlah
barang ekonomi, mengharamkan riba baik kepada muslim mahupun bukan muslim dan
mewujudkan baitulmal bagi memastikan kebajikan umat terjamin melalui pengenaan
zakat kepada umat Islam, jizyah dan kharaj kepada bukan Islam (Heffernan,
2005).
Maka jihad yang ingin diutarakan
disini ialah jihad umat Islam dalam mengembalikan sistem ekonomi Islam dalam
menggantikan sistem ekonomi Barat yang dianggap mempunyai banyak kelemahan.
Dengan mengamalkan sistem ekonomi Islam, maka segala gerak kerja dalam
melaksanakan jihad yang lain menjadi mudah dan diberkati kerana sumbernya yang
halal. Kita juga melihat kesannya iaitu umat Islam berada dalam keadaan yang teguh
ekonominya dan kadar kemiskinan yang menimpa umat Islam semakin menurun dan
sifar dengan keizinan Allah.
5.2
Dalam aspek pendidikan iaitu jihad dalam
pembangunan pendidikan Islam (Muhammad Haniff Hassan & Mohamed Ali, 2007). Penekanan terhadap pendidikan Islam seperti
hidup dengan nilai-nilai kebaikan, spiritual, dan moral semakin dilupai oleh
umat Islam pada masa kini. Keadaan ini menyebabkan umat Islam tidak menguasai
dan memahami ajaran Islam yang sebenarnya. Kebanyakan institusi pendidikan pada
masa kini hanya berusaha untuk melahirkan individu pragmatis yang bekerja untuk
meraih kejayaan material dan profesion
sosial yang akan memakmurkan diri, masyarakat dan negara tanpa berhubung
rapat dengan kehidupan selepas mati. Memang tidak dinafikan, institusi pendidikan
sebegini sememangnya berjaya melahirkan individu yang dapat memberi
produktiviti kepada negara dari segi material, namun kebanyakannya tidak
mempunyai adab yang tinggi terhadap penciptanya dan makluk lain. Keadaan ini
disebabkan pendidikan pada waktu kini telah dipengaruhi oleh sistem pendidikan
sekular yang hanya menekan pendidikan duniawi semata-mata, manakala pendidikan
ukhrawi (pendidikan agama) diabaikan. Sebenarnya, agama Islam memiliki tujuan
yang lebih komprehensif jika dibandingkan dengan sistem pendidikan sekular
(Naser, 2011). Sepatutnya, ilmu-ilmu lain perlu dimasukkan unsur Islam dalam
setiap bidang ilmu pengetahuan yang dipelajari dan perlu dikaitkan dengan
kebesaran Allah, menjadi bukti kebenaran agama Islam seterusnya meningkatkan
keimanan dan keyakinan umat islam terhadap ajaran agama. Contohnya penerapan
pendidikan Sains berlandaskan wahyu Allah s.w.t iaitu Al-Quran dan Al- Sunnah
termasuk ilmu geografi,matematik,ekonomi dan lain-lain (Naser, 2011).
Maka inilah jihad dalam pendidikan
yang dituntut dalam Islam pada waktu ini iaitu dengan melakukan perubahan dalam
kurikulum di setiap negara yang mengunakan pendidikan secular liberal yang menyaksikan kepada
kita ketidakberkesanan sistem pendidikan tersebut. Dengan perubahan kurikulum,
lingkungan pembelajaran bagi memantapkan misi, visi dan tujuan pendidikan dalam
Islam, maka institusi pendidikan islam dapat membentuk individu yang
benar-benar memahami dan menghayati prisip-prinsip dalam Islam dalam
kehidupan mereka.
5.3
Dalam
aspek sosial iaitu jihad dalam konteks pembangunan sosial ummah (Muhammad
Haniff Hassan & Mohamed Ali, 2007). Umat Islam pada waktu ini telah dilekakan dengan budaya hedonisme yang mementingkan
keseronokan dan kesenangan hidup. Mereka lupa tujuan mereka hidup di dunia
dan tanggungjawab mereka terhadap agama. Jika diteliti hedonism merupakan salah satu cabang
fahaman sekular yang menimpa umat pada waktu ini. Hal ini sedikit sebanyak
bertepatan dengan matlamat sekular yang ingin membebaskan manusia daripada
unsur ketuhanan. Konsep ini adalah salah dan bercanggah dengan ajaran agama
Islam serta bertentangan dengan akidah umat Islam yang menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah
sebagai paksi pemikiran. Islam tidak menghalang umatnya berseronok dan berhibur
selagi ia tidak melalaikan daripada melaksanakan kewajipan sebagai individu Muslim
dan tidak melampau sehingga melanggar batas yang telah ditetapkan oleh syarak.
Contohnya, nyanyian yang mengagungkan makhluk daripada tuhan, hiburan yang
menggambarkan imej yang mendedahkan aurat dan hiburan seperti cerita yang
menghina Islam (Norhidayu Hamzah et.al, 2011). Hiburan tersebut bukan sahaja
memberi kesan yang buruk kepada fizikal dan perlakuan individu malah memberi
kesan kepada iktiqad atau akidah mereka.
Maka menjadi tanggungjawab bagi umat
Islam di semua peringkat untuk bangkit berjihad untuk membersihkan pemikiran
umat Islam pada masa kini dan menerangkan konsep hiburan yang digariskan dalam
Islam. Contohnya, agensi kerajaan berperanan mengadakan program keagamaan
dengan menjadikan hiburan Islam sebagai altenatif menarik minat mereka
mendekati Islam dan memahaminya serta mengenakan hukuman yang berat kepada
golongan yang menjalankan aktiviti hiburan yang melanggar batas syara’. Masyarakat
sekitar juga berperanan dalam mencegah segala aktiviti yang melalaikan
kehidupan umat Islam dan golongan yang berpendidikan agama berani tampil di
masjid dan surau untuk mengadakan majlis ilmu (Norhidayu Hamzah et.al, 2011).
Daripada usaha jihad yang dilakukan,
maka kita dapat menyaksikan keunggulan Islam dalam segala aspek seperti cara
bermuamalat antara lelaki dan perempuan, gejala sosial seperti penzinaan dan
pembuangan bayi tidak lagi berlaku, umat Islam menguasai pelbagai disiplin ilmu
seperti ilmu sains, sosial, politik dan sebagainya kerana mereka tidak
dilalaikan dengan keseronokan hidup di dunia.
5.4
Dalam
aspek politik iaitu jihad dalam konteks pembangunan politik umat Islam (Muhammad
Haniff Hassan & Mohamed Ali, 2007). Terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini melihat politik
merupakan sesuatu yang kotor dan buruk. Ini disebabkan oleh kejahilan dalam memahami politik
dan propaganda yang dilemparkan oleh sebahagian masyarakat serta hasil
pemerhatian mereka terhadap suasana politik yang berlaku disekitar mereka.
Suasana yang berlaku pada hari ini memperlihatkan betapa ghairahnya golongan
tertentu untuk memperolehi kedudukan dan kuasa. Keadaan ini juga menjadi
semakin teruk apabila digunakan istilah demokrasi yang diperkenalkan oleh
Barat yang kononnya lebih ideal (Abu Bakar Al-Muqry, 2008).
Terdapat juga sebahagian golongan
yang terlibat dengan politik mempergunakan agama untuk meraih kedudukan dalam
masyarakat dan memperjuangkan ideologi sekular sama ada mereka menyedarinya
ataupun tidak. Golongan yang ta’sub dan fanatik dengan kumpulan politik
masing-masing menyebabkan mereka berusaha mempertahankan pendapat mereka
walaupun bercanggah dengan ajaran agama. Keadaan ini bertambah buruk apabila
mereka yang terdiri daripada golongan umat Islam sanggup menghukum seseorang
yang berlainan parti dengan mereka sebagai seorang kafir lantaran
mempertahankan ideologi masing-masing (Muslimdaie, 2011). Perpecahan yang
berlaku dalam komuniti umat Islam disebabkan pertelingkahan yang berlaku antara
parti-parti politik akhirnya menuntut mereka mencari satu titik persefahaman
dalam menentukan jalan mana yang harus mereka ikuti agar mencapai kebahagiaan
hidup mereka samaada di dunia mahupun di akhirat (Muslimdaie, 2011). Maka, jalan
penyelesaiannya adalah kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenar seperti yang
termaktub dalam Al-Quran dan hadis. Maka, wajib umat Islam pada hari ini mengikut
politik yang ditunjukkan oleh Islam bagi merialisasikan impian mendirikan
kerajaan Islam yang diperintah oleh pemeritah yang adil dan sanggup
melaksanakan syariat Allah s.w.t agar masyarakat mencapai kebahagian dalam
hidup mereka (Muslimdaie, 2011). Kebahagiaan dan terbelanya keadilan dalam
masyarakat ini telah terbukti sejak daripada pemerintahan yang dilaksanakan
oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat baginda dan khalifah-khalifah selepasnya
sehingga jatuh kerajaan Turki Uthmaniah.
Maka inilah jihad yang dituntut oleh Islam
dalam jihad politik iaitu berusaha mengebalikan khalifah Islamiah yang
memerintah dunia dengan adil dan menurut syariat Allah s.w.t. Perlu juga dijelaskan
bahawa matlamat khalifah bukan sahaja untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t
sepertimana yang diperjelaskan oleh ulama tetapi juga bertujuan untuk
memelihara agama Allah s..w.t.
6.0
Kesimpulan
Kesimpulannya,
jihad bukanlah merupakan satu konsep yang kabur dan mengelirukan. Walaupun terdapat
pelbagai pandangan dan takrifan terhadap jihad, namun maksudnya adalah sama
iaitu perjuangan ke jalan Allah s.w.t dengan niat yang ikhlas dan jujur. Malah,
apa yang dilihat, jihad bukan hanya melalui peperangan sahaja seperti yang
difahami oleh masyarakat Barat, tetapi dengan pelbagai cara dan tindakan. Umat
Islam perlu melihat ajaran Islam daripada dalam, bukan dari perspektif luar,
terutamanya dari pandangan dan kaca mata Barat supaya tidak mudah terpengaruh
dengan cara berfikir Barat yang sudah membudaya, hasil daripada proses
globalisasi. Ini kerana, bimbang sekiranya wujud kekeliruan dan kehilangan identiti
keislaman mereka. Adalah wajar masyarakat Barat salah faham tentang konsep
jihad kerana kerangka pemikiran mereka jauh berbeza dengan umat Islam.
Keengganan sesetengah orientalis Barat untuk melihat sisi positif Islam adalah
kerana adanya unsur-unsur permusuhan dan kebencian dalam diri mereka.
Pelaksanaan
jihad yang mengikut landasan dan konsep seperti yang disyariatkan oleh agama
Islam akan memperolehi kejayaan dan akan memberi kebaikan serta kelebihan
kepada individu itu sendiri, masyarakat disekeliling, agama, bangsa dan negara.
Ia juga perlu diserapkan bersama-sama dengan unsur kesungguhan, perjuangan,
keikhlasan dan pengorban. Hasil daripada kejayaan ini akan dapat dilihat kesan
ke atas pembangunan negara samada dalam konteks ekonomi, politik, sosial dan
lain-lain. Keadaan ini juga akan memartabatkan agama Islam di mata dunia dan
akan menangkis tanggapan-tanggapan negatif yang sering diberikan oleh masyarat
Barat terhadap Islam.
Islam
memperjuangkan kebenaran, keadilan serta persamaan dan hanya manusia yang
angkuh dan jahil yang tidak dapat menghargai Islam. Penjelasan dan dakwah Islam
secara menyeluruh kepada setiap individu dan masyarakat perlu menjadi fokus
utama perjuangan umat Islam.
Namun
begitu, perlu difahami bahawa untuk melaksanakan jihad perlu mengikut
syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti Islam, baligh, tidak cacat, niat
yang betul dan mengikut hukum syarak. Keadaan ini menjelaskan bahawa jihad
masih releven untuk diguna pakai pada zaman kini walaupun dalam era globalisasi
atau dunia tanpa sempadan. Ini kerana ia masih sesuai diguna pakai tanpa
mengira tempoh masa dan waktu.
info yg bagus minta izin guna sbg bahan nak buat assigment
BalasPadamtq.. silakan..
BalasPadamOK..SILAKAN
BalasPadamMintak izin nak guna untuk ceramah/Tazkirah
BalasPadamminta izin utk bt assignment ye
BalasPadamminta izin nk guna buat assignment.
BalasPadamminta izin nk guna buat assignment.
BalasPadam