21 Januari 2013

TEORI Emile Durkheim : BAGAIMANA AGAMA BERFUNGSI UNTUK MENGEKALKAN SOLIDARITI DALAM MASYARAKAT DI MALAYSIA YANG MENGAMALKAN KEBEBESAN BERAGAMA

Disediakan Oleh: Mimi Hamiza Ibrahim


1.0              PENGENALAN
Agama menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia bermaksud sistem yang mengatur keimanan, kepercayaan dan peribadatan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa serta kaedah yang berhubungkait di antara pergaulan manusia dengan manusia serta lingkungannya. Perkataan agama berasal dari bahasa Sankrit iaitu agama bererti “tradisi”. Dalam bahasa Arab, agama disebut “Din” yang bererti ketaatan, pahala atau sebagainya. Dalam istilah, “Din” bermaksud keyakinan kepada Sang Pencipta manusia dan alam semesta serta ajaran-ajaran amaliah yang sesuai dengan penganutnya (EO’Dea Thomas, 1995: 85).
            Ahli antropologi telah mengkaji agama sebagai sebuah institusi sosial yang bersifat sejagat. Kepelbagaian agama merangkumi agama-agama primitif seperti animisme sehingga agama-agama abstrak iaitu monotheisme dan polytheisme (Jamhari Ma’ruf, 2009)
Dalam khazanah ilmu-ilmu sosiologi, agama ternyata tidak dikaitkan dengan konflik, melainkan lebih kepada integriti. Emile Durkheim merupakan salah seorang sosiologi pada abad ke-19 telah menemukan hakikat bahawa, agama berfungsi sebagai sumber dan pembentukan solidariti dalam masyarakat. Beliau berpendapat,  agama adalah sesuatu yang diperlukan oleh kumpulan masyarakat untuk mengawal individu atau kelompok agar menjadi satu kesatuan atau terikat satu kesamaan melalui pembentukan sistem kepercayaan atau ritus (Doyle Paul Jhonson, 1990: 196). Solidariti membawa maksud kepada perpaduan, kerukunan, setiakawan, kesatuan, integrasi, kesepakatan bersama dan penyatuan yang dipamirkan oleh masyarakat atau kumpulan yang merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia termasuk dalam aspek agama (Ankerl Guy, 1980:115). Menurut teori Durkheim, agama bukanlah sesuatu yang di luar, tetapi ada di dalam masyarakat itu sendiri. Agama terbatas hanya pada kelompok atau masyarakat tertentu bagi tujuan menjaga kepentingan kelompok atau masyarakat tersebut (George Ritzer, 2010:1). Kajian Durkheim tentang agama diperkukuhkan lagi melalui hasil karyanya iaitu “The Elementary Forms of Religious Life” yang menumpukan kepada kajian mengenai sosiologi agama. Dalam buku tersebut, beliau menekankan peranan agama di dalam mempengaruhi dan meneguhkan integrity social dalam mengesahkan nilai dan norma di dalam masyarakat iaitu dengan memberi ganjaran untuk perlakuan yang dibenarkan serta membawa masyarakat bersama-sama untuk mengikuti ritual agama yang dapat menguatkan solidariti (Betty, 2004: 18). Menurut beliau, ritual agama memberi kesan emosi dan keutuhan yang mengukuhkan lagi hubungan di dalam masyarakat tersebut. Durkheim juga menyatakan, ritual mempunyai empat fungsi sosial iaitu bertindak sebagai fungsi disiplin dan persediaan, fungsi perpaduan, fungsi keperluan atau kepentingan hidup dan fungsi untuk meriangkan atau girang (Shomuddin, 2002:38). Di dalam buku tersebut juga, beliau telah mendefinisikan agama sebagai sistem kepercayaan dan amalan yang bersepadu yang berkaitan dengan benda yang kudus iaitu benda kudus yang dilihat mempunyai kuasa yang dapat menyatukan ahli masyarakat ke dalam satu komuniti moral atau gereja (Giddens Anthony, 1986: 12).
Ideologi dan kajian Durkheim mengenai agama yang dilihat berfungsi mengekalkan solidariti dalam masyarakat dapat dilihat dalam konteks perkembangan agama di Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama. Kebebasan beragama ialah prinsip yang menyokong kebebasan individu atau masyarakat untuk mengamalkan agama dan kepercayaan secara tertutup atau terbuka. Kebebasan beragama termasuk kebebasan untuk menukar agama dan tidak mengikut apa-apa agama. Dalam negara yang mengamalkan kebebasan beragama, agama-agama lain bebas diamalkan dan pemerintah tidak menghukum atau menindas pengikut kepercayaan lain selain daripada agama rasmi (Mohamad Azim Zahari, 2000). Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama di mana, di dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 11 menyatakan, “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam”.  Perlembagaan juga telah menetapkan bahawa Islam adalah agama negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dalam keadaan damai dan harmoni (Zufli Dahar, 2002). Menurut bancian pada tahun 2000, 60% daripada penduduk mengamalkan agama Islam, 19% agama Buddha, 9% agama Kristian, 6% agama Hindu dan 3% lain-lain (Mohd Azim Zahari, 2000).
2.0              BAGAIMANA AGAMA BERFUNGSI UNTUK MENGEKALKAN SOLIDARITI DALAM MASYARAKAT DI MALAYSIA YANG MENGAMALKAN KEBEBESAN BERAGAMA
2.1              Agama berfungsi mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama iaitu agama sebagai alat untuk mewujudkan dan mengeratkan kesepaduan sosial dalam masyarakat. Durkheim menyatakan agama memenuhi kehendak sosial lebih daripada kehendak psikologi. Masyarakat adalah sesuatu yang menjadi sasaran sebenar yang dipuja agama. Melalui agama, manusia akan mendapat tempat di dalam masyarakat. Ini kerana agama telah membangkitkan semangat komuniti dalam diri masyarakat atau individu sebagai ummah kepada satu kumpulan atau kelompok sosial yang mempunyai kepentingan bersama (Dadang Kahmad, 2002:6). Agama berperanan mencipta sesuatu ikatan bersama, sama ada di antara individu di dalam masyarakat tersebut atau dalam kewajipan sosial yang membantu mempersatukan masyarakat (Mohammad Zaki Osman, 2003). Keadaan ini membuktikan bahawa agama berperanan untuk mengeratkan dan mewujudkan social solidarity di antara masyarakat atau individu. Agama juga merupakakan satu faktor dalam pembentukan kelompok manusia. Ini kerana sistem agama menimbulkan keseragaman bukan sahaja kepercayaan yang sama, malah tingkah laku, pandangan dunia dan nilai yang sama. Durkheim melihat keadaan ini wujud kesan daripada penyertaan dalam ritus yang telah melestarikan sesuatu masyarakat. Ritus iaitu mencerminkan struktur sosial kerana melalui ritus, hubungan dan peranan sosial setiap individu di dalam masyarakat dapat dilihat dengan jelas. Ritus membayangkan hirarki dan susun lapis kuasa dalam suatu masyarakat. Contohnya, Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Najib Bin Tun Abdul Razak telah melancarkan gagasan 1 Malaysia di mana, semua kaum dan agama bersatu dan bersama tanpa mengira agama dan bangsa. Keistimewaan bukan sahaja kepada kaum Melayu atau penganut agama Islam, tetapi semua kaum mendapat hak dan keistimewaan. Antaranya kerajaan juga telah menetapkan hari Ahad adalah hari cuti rasmi bagi negeri-negeri di Malaysia kecuali Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hari Ahad merupakan hari cuti tradisional Kristian dan masyarakat yang menganuti agama lain menerima perkara ini bagi tujuan mengekalkan keharmonian negara. Selain itu, beberapa agama diiktiraf sebagai cuti rasmi termasuk Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bagi penganut Muslim, Hari Wesak dan Hari Thaipusam bagi penganut Buddha, Hari Deepavali bagi penganut Hindu dan Hari Krismas bagi penganut Kristian (Zulfi Dahar, 2002). Kesannya, tidak wujud perasaan tidak puas hati dikalangan masyarakat dan kesepaduan dapat dikekalkan.
2.2              Agama berfungsi untuk mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan beragama iaitu agama sebagai alat kawalan sosial. Menurut Durkheim, agama sering menekankan peraturan moral atau moral order yang mana mengawal tingkah laku  manusia (Dadang Kahmad, 2002:58). Peraturan moral ini berasaskan pertentangan di antara unsur-unsur baik dan jahat. Tiada agama di dunia ini yang menyuruh penganutnya melakukan kejahatan dan melarang untuk berbuat kebaikan. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan mengelakkan kekacauan atau perpecahan daripada berleluasa. Sesiapa yang melakukan kebaikan akan mendapat ganjaran atau pahala, manakala sesiapa yang melakukan kejahatan akan dihukum Tuhan dan dibalas dengan dosa. Dalam ajaran agama telah menggariskan kod-kod etika yang wajib dilakukan oleh penganutnya. Agama juga dilihat menyempurnakan akhlak manusia (Mohammad Zaki Bin Osman, 2003). Contohnya, dalam Islam terdapat konsep amar makruf nahi mungkar iaitu menyeru ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran. Contohnya, undang-undang di Malaysia telah mengenakan denda dan hukuman kepada  sesiapa yang melakukan kesalahan seperti berkelakuan tidak sopan dikhalayak ramai tanpa mengira agama yang dianuti. Denda dan tindakan yang dikenakan bergantung kepada undang-undang yang ada. Kesannya, dapat mengurangkan masalah sosial yang dihadapi. Dengan ini, agama dilihat dapat menguasai tingkah laku masyarakat yang mampu menyatukan masyarakat tersebut (Anggrae, 2011).
2.3              Agama berfungsi untuk mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan beragama iaitu agama sebagai alat untuk pendidikan. Menurut Durkheim, agama telah menyediakan indidvidu untuk melalui perubahan-perubahan dalam kehidupan mereka melalui ritus peralihan atau rites of passage seperti perubahan status, misalnya kelahiran, perkahwinan dan kematian. Ritus peralihan dilakukan untuk memberikan pengiktirafan kepada tahap peralihan dalam hidup manusia. Pada masa yang sama, ritus ini turut menurunkan ilmu yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan sesuatu kumpulan. Agama juga dilihat sebagai alat integrasi masyarakat dan amalan-amalan melalui ritual secara pembelajaran atau pendidikan dengan menekankan ketaatan manusia terhadap agama yang memainkan fungsi penguatan solidariti (Shomuddin, 2002:86). Selain itu juga, melalui pembelajaran, agama membentuk jiwa masyarakat melalui budi pekerti dengan adab yang sempurna baik dengan Tuhannya atau masyarakat (Doyle Paul Johnson, 1990: 196). Melalui pendidikan agama, masyarakat diajar bahawa ritual memberikan fungsi perpaduan iaitu menyatukan ahli-ahli masyarakat bersama-sama, menguatkan ikatan sesama mereka dan menekankan perpaduan. Dengan melakukan perkara bersama-sama dan berulang kali, masyarakat dapat menguatkan ikatan sesama mereka. Perkara yang utama inilah mereka berkumpul dan perasaan itu dirasai dan dizahirkan di dalam bentuk perlakuan. Contohnya, kerajaan telah mewujudkan bukan sahaja sekolah kebangsaan biasa, tetapi juga turut mewujudkan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC). Bagi sekolah kerajaan umumnya menawarkan Pendidikan Islam yang wajib bagi semua pelajar Muslim, manakala bagi pelajar bukan Muslim pula diwajibkan mengambil kelas moral dan etika. Sekolah swasta atau persendirian juga bebas untuk menawarkan kurikulum agama bukan Islam sebagai pilihan kepada orang bukan Islam dan tiada sekatan bagi pembelajaran di rumah. Selain itu, amalan ritual seperti upacara keagamaan atau upacara kepercayaa-kepercayaan tertentu di dalam agama atau masyarakat yang melibatkan semua masyarakat tidak mengira agama yang mereka anuti (Zufli Dahar, 2002). Melalui amalan ritual dapat melahirkan dan mengekalkan perpaduan dan keutuhan sosial.
2.4              Agama berfungsi untuk mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan beragama iaitu agama sebagai sumber kosmologi sesuatu masyarakat. Menurut Durkheim, agama dikatakan sumber kosmologi masyarakat kerana agama menyediakan model semesta yang menjelaskan kejadian manusia dan alam. Setiap budaya mempunyai kosmologinya yang tersendiri. Kosmologi menjelaskan siapa penghuni alam dan menjelaskan bagaimana alam ini dicipta dan diatur. Ini kerana agama dikatakan memberi pandangan dunia kepada manusia kerana ia sentiasa memberi penerangan mengenai dunia dan juga kedudukan manusia di dalam dunia. Penerangan bagi perkara ini sebenarnya sukar dicapai melalui inderia manusia, melainkan sedikit penerangan dareipada falsafah (Dadang Kahmad, 2002: 59). Contohnya, kosmologi menurut perspektif Islam di mana, alam ini dicipta oleh Allah s.w.t. Alam ini terdiri daripada alam nyata dan juga alam ghaib yang meliputi syurga dan neraka. Manusia dicipta oleh Allah s.w.t untuk mengenali Penciptanya dan alam ini dijadikan medan ujian untuk menentukan siapakah antara hamba-hambanya yang benar-benar menyembahnya. Masing-masing memainkan peranan menurut peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t (Hasnul Hadi Ahmad, 2010). Keadaan ini menunjukkan agama telah mempengaruhi dan mewujudkan solidariti dalam masyarakat kerana masyarat dapat mengetahui susur galur agama dan kehidupan dengan jelas tanpa samar-samar yang boleh memberi kesan kepada masyarakat.
2.5              Agama berfungsi untuk mengekalkan solidariti dalam masyarakat di Malaysia yang mengamalkan kebebesan beragama iaitu agama sebagai bertujuan menghuraikan ketidakpastian. Menurut Durkheim, alam ini penuh dengan perkara-perkara yang tidak pasti dan di luar kawalan kita. Keadaan yang tidak dijangka wujud akan mengganggu dan menimbulkan masalah pemikiran dan jiwa. Malapetaka dan kemalangan membimbangkan kita Namun, agama telah menyediakan jawapan kepada permasalahan kehidupan kita melalui ajaran-ajarannya yang terkandung dalam kitab-kitab suci. Manusia tidak boleh mengharungi kehidupan yang penuh ketidakpastian ini tanpa bimbingan dan bantuan agama. Contohnya soalan kehidupan selepas kematian, matlamat hidup, soal nasib dan sebagainya (Dadang Kahmad, 2002: 58). Contohnya, agama Islam menyatakan di dalam Al-Quran menceritakan mengenai syurga dan neraka. Syurga dan neraka adalah yang diciptakan oleh Allah s.w.t yang setia menanti para penghuninya. Syurga dinyatakan dalam Al-Quran sebagai “kediaman damai” yang merupakan ganjaran daripada Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Neraka pula dinyatakan sebagai tempat menakutkan yang tidak mampu digambarkan oleh khayalan manusia. Di dalam Al-Quran juga menerangkan mengenai gejala-gejala yang berlaku apabila tiba saat kematian. Dikhabarkan juga mengenai alam barzah dan alam kubur. Proses kematian digambarkan dalam Al-Quran sebagai proses yang berlaku secara beransur-ansur di seluruh jasad. Tidak ada seorang pun di kalangan manusia mampu meletakkan kembali jiwa agar bersatu semula dengan jasad apabila telah sampai ajal (Hasnul Hadi Ahmad, 2010). Semua ini tidak dapat difikirkan dengan akal fikiran manusia dan segala ketidakpastian akan terjawab melalui agama.
3.0              KESIMPULAN
Kesimpulannya, agama dilihat merupakan salah satu aspek yang berfungsi untuk mengekalkan solidariti dalam masyarakat yang memberi kesan positif kepada masyarakat dan negara. Pelbagai cara dan kaedah telah digunakan agar fungsi dan peranan agama boleh digunakan dengan sebaik mungkin. Fungsi agama ini banyak memberi kepentingan dan kelebihan kepada penganut-penganutnya dan kesannya dapat dilihat melalui perkembangan di dalam agama itu sendiri.
Fungsi agama di lihat amat penting dalam dasar pembangunan masyarakat yang aman damai dan harmoni. Negara Malaysia walaupun didiami majoriti penganut beragama Islam, namun nilai sejagat di ambil kira dalam membuat dasar negara ke arah masa depan yang maju. Ia juga tidak meminggirkan kepentingan agama lain yang wujud di negara ini. Hakikat ini akan terus didokongi dan dilaksanakan jika mahu melihat negara ini terus maju tanpa sebarang konflik perkauman dan agama.
            Dalam soal memelihara keharmonian agama, masyarakat Islam dan bukan Islam mempunyai peranan sama penting. Di pihak bukan Islam, tuntutan mereka perlu munasabah dan rasional untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionialisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua. Sekiranya mempunyai masalah, semua pihak perlu memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih cara dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti keganasan harus dielakkan bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara. Kegagalan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian menyebabkan konflik yang akan membawa kepada krisis kemanusiaan.
Oleh itu, golongan agama seperti ahli falsafah agama atau toloh-tokoh agama perlu banyak memainkan peranan dalam membentuk masyarakat untuk melahirkan solidariti dalam diri masyarakat itu sendiri. Golongan ini banyak mempengaruhi masyarakat dalam membentuk solidariti. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama dan peranan perlu di ambil bagi mengekalkan keharmonian negara melalui solidariti yang ada dalam diri masyarakat tersebut.
 

2 ulasan:

  1. mimi boleh masukkan sekali daftar pustaka? penting sangat

    BalasPadam
  2. nak daftar pusaka boleh ?? perlu sangat . urgent

    BalasPadam