21 Januari 2013

TEORI KARL MARX: MENYATAKAN AGAMA ADALAH DADAH ATAU CANDU MASYARAKAT

Disediakan Oleh: Mimi Hamiza Ibrahim


1.0              PENGENALAN
Perbahasan dalam mendefinisikan agama telah berlaku dikalangan ahli-ahli agama sejak berkurun lamanya. Para peneliti agama merumuskan definisi agama berdasarkan hasil penemuan dan kajian yang dijalankan yang dijadikan sebagai pendekatan dalam penelitian dan kajian mereka. Terdapat beberapa pandangan yang mendefinisikan agama tidak lebih daripada konsep moraliti atau akhlak dan agama sesuatu yang menyentuh hal-hal rohaniah atau spiritual sahaja serta ada pula yang mendefinisikan agama dengan ritual atau upacara penyembahan (Basendra Samsul, 2011). Oleh kerana itu, definisi agama membawa maksud yang berbeza-beza bukan sahaja dikalangan ahli agama, bahkan dikalangan para psikologi, sosiologi, antropologi, ekonomi, politik dan sebagainya.
Dalam bahasa Arab, agama diertikan sebagai “Din” yang membawa maksud sebuah sistem peraturan yang bersikap batiniah dan lahiriah yang harus ditaati dan dipatuhi. Agama juga menyatakan akan mendapat balasan yang baik sekiranya melakukan dan patuh kepada ajaran serta akan mendapat balasan yang buruk sekiranya melanggar ajaran (EO’Dea Thomas, 1995:85).
Menurut ahli antropologi iaitu Anthony F.C (1845) beliau telah mendefinisikan agama sebagai sesuatu upacara yang diberi rasionalisasi mitos dan yang menggerakkan kekuatan-kekuatan supernature dengan maksud untuk mencapai atau untuk menghindarkan sesuatu perubahan keadaan pada manusia atau alam. Ini bermaksud, sekiranya tidak dapat mengatasi masalah serius yang menimbulkan kegelisahan mereka, manusia berusaha mengatasinya dengan memanipulasi makhluk dan kekuatan supernature. Dalam kehidupan seharian, masyarakat melakukan upacara keagamaan agar keluar daripada kesempitan hidup. Hal ini dipandang sebagai gejala keagamaan yang utama. Jadi agama dipandang sebagai kepercayaan perilaku dan pola perilaku yang digunakan oleh manusia untuk mengendalikan aspek alam semesta (Basendra Samsul, 2011). Menurut Radcliffe Brown (1846) pula iaitu seorang ahli antropologi mendefinisikan agama sebagai ekspresi suatu bentuk ketergantungan pada kekuatuan spiritual atau moral di luar diri manusia (Jamhari Ma’ruf, 2009).
Melalui pendekatan psikologi, Robert W. Crapps (1845) telah mendefinisikan agama sebagai kesedaran kebergantungan mutlak kepada Tuhan. Manakala, pengertian agama dalam konsep sosiologi adalah kepercayaan terhadap hal-hal yang spiritual seperti kepercayaan dan amalan spiritual yang dianggap sebagai tujuan tersendiri dan ideologi mengenai hal-hal yang bersifat supernature. Dalam konseps ini, agama memiliki peranan yang paling penting dalam kehidupan manusia. Dalam kehidupan sosial, kewujudan ahli agama sangat mempengaruhi perilaku manusia. Ini kerana melalui agama, manusia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk (Basendra Samsul, 2011).
            Namun, definisi agama berbeza menurut Karl Marx (1843) yang telah menemukan hakikat bahawa agama ialah “dadah masyarakat”. Marx menyatakan dalam karyanya Toward the Critique of Hegel's Philosophy of Right yang ditulisnya pada tahun 1844 bahawa, "agama itu adalah candu rakyat". Beliau mentafsirkan agama sebagai “dadah masyarakat” kerana kesukaran agama-agama dan pada saat yang sama merupakan ekspresi dari kesukaran yang sebenarnya serta protes melawan kesukaran yang sedia ada dan yang sebenarnya (Jonathan, 1981:165). Beliau berpendapat begitu sekiranya agama dimanipulasi oleh golongan tertentu untuk kepentingan dan melekakan rakyat untuk terus mematuhinya (Magnis-Suseno, 2006:72-73).
Dadah adalah satu bahan yang disifatkan sebagai boleh jadi baik dan boleh jadi buruk. Baik jika digunakan atas tujuan dan sebab munasabah, tidak melanggar aturannya dan digunakan dengan cara yang betul. Buruk apabila digunakan dengan cara yang sebaliknya (David McLellan, 1973:34). Marx menganggap agama seperti “dadah masyarakat” kerana menurut sejarah tamadun masyarakat, dadah asalnya adalah bahan yang digunakan untuk menyelamatkan ramai orang. Dadah digunakan sebagai ubat berhadapan dengan kesakitan terutama sekali di waktu peperangan dahulu kala. Namun, dadah jugalah akhirnya telah menyebabkan peperangan dan pepecahan yang menghancurkan institusi masyarakat itu sendiri. Begitu juga agama, di mana, agama pada asalnya adalah pengubat kemelesetan moral, kesesatan masyarakat dan menjadi penyelamat kepada umat manusia. Namun, agama jugalah yang akhirnya menghancurkan manusia itu kembali apabila kuasa atau autonomi agama itu jatuh ke tangan orang yang salah (Adam Adli, 2012).
2.0              MARX MENGATAKAN BAHAWA AGAMA IALAH DADAH MASYARAKAT. BINCANGKAN IDEA INI
2.1       Marx menganggap agama ialah “dadah masyarakat” kerana beliau menganggap agama menjadi tempat pelarian dan keterasingan manusia dari dunia nyata dan hidup sosialnya (Bebeck, 2011). Dalam pemikiran Marx, masyarakat yangt beragama memiliki rasa takut dan cemas yang mendalam akan suatu jawapan yang belum atau bahkan tidak pasti hakikatnya sebagai manusia (Harun Hadiwijono, 1980:120). Beliau menyatakan manusia mengasingkan diri dalam agama. Keterasingan bermaksud masyarakat dengan peradaban buatannya mengasingkan manusia dari hakikat yang alamiah. Mengakhiri keterasingan merupakan proses emansipasi di mana manusia membebaskan diri dari masyarakat dan pemerintahan yang tidak adil. Agama juga dianggap sebagai provoksi khayalan manusia tentang dirinya sendiri. Dalam agama, manusia mengasingkan hakikatnya sendiri. Marx menganggap agama sebagai keterasingan sekunder. Beliau juga menyatakan manusia mencari suatu realiti khayalan dalam agama kerana keadaan masyarakat tidak mengizinkan sesuatu khayalan tersebut menjadi kenyataan (Hardiman, 2004:235). Marx juga menyatakan agama adalah dunia khayalan di mana manusia mencari dirinya sendiri dan ia berlaku kerana dunia nyata penuh dengan penindasan dan kepura-puraan (Magnis-Suseno, 2006:73). Marx menganggap bahawa agama hanya menjadi salah satu tempat pelarian ketika rasionalis manusia tidak mampu lagi untuk mentafsir dunia (Masuloh, 2012). Contohnya, Marx mengkritik tentang ajaran Kristian yang mengatakan mengenai kehidupan yang kekal di mana, agama Kristian menyatakan kehidupan abadi merupakan sesuatu yang indah yang penganutnya perlu menjaga imannya dengan penuh takwa dan taat. Kesannya, penganutnya akan merasa takut dan berusaha untuk menjadi seorang yang bertakwa dan taat yang menyebabkan penganutnya terasing dari kehidupan sosialnya untuk mencapai tahap ketakwaan dan ketaatan yang diperlukan bagi memperolehi balasan syurga (Karl Marx, 1842).
2.2       Marx menganggap agama ialah “dadah masyarakat” kerana Marx menganggap agama itu menyesatkan dan menipu rakyat. Ini kerana masyarakat telah didedahkan dengan khayalan dan penipuan mengenai agama (Magnis-Susno, 2006:72). Marx mengatakan terdapat beberapa para penguasa atau ahli politik yang bertindak menukarkan agama dengan tujuan sebagai senjata untuk mengukuhkan kekuasaan sendiri adalah merupakan cara yang hina dan jijik. Menjadikan agama sebagai dadah untuk melekakan rakyat serta rakyat ketagih dan terpaksa terus menyembah kaki mereka. Taktik pertama adalah menipu rakyat dengan membuatkan semua orang percaya bahawa agama telah dipelihara dengan cantik oleh penguasa, kemudian menggunakan kembali agama ini untuk menentang rakyat dan musuh politik masing-masing, apa lagi jika yang tidak seagama dengan mereka. Agama juga digunakan untuk kepentingan dan pengaruh masing-masing. Memegang kuasa agama seolah-olah memberi peluang kepada mereka untuk memperniagakan agama seperti memperniagakan dadah (Adam Adli, 2012). Marx manyatakan agama hanya menawarkan kebahagiaan sementara di mana agama hanya menawarkan kesenangan sesaat tanpa menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakatnya di zaman tersebut. Agama telah memberikan janji-janji syurga dan hanya berperanan sebagai dadah yang memberikan kebahagiaan sesaat. Namun, agama dilihat oleh Marx tidak pernah berjaya untuk menyelesaikan masalah. Beliau menyatakan agama hanya menjadikan menjanjikan kebahagiaan sesudah kehidupan yang belum pasti (Martin Milligan, 2003:48). Contohnya, Marx menyatakan tujuan agama adalah menciptakan fantasi ilusi bagi masyarakat miskin di mana, agama mengatakan bahawa ini adalah dugaan kerana mereka akan menemukan kebahagiaan sejati di lain kehidupan. Marx menganggap, agama telah menipu golongan miskin yang dalam kesulitan dan agama memberikan hiburan, sama seperti orang-orang yang terluka semasa peperangan dan diberikan dadah untuk menghilangkan kesakitan (Yanipathur, 2012)
2.3       Marx menganggap agama ialah “dadah masyarakat” kerana Marx menganggap agama membuatkan rakyat miskin dan tertindas. Ini kerana, masyarakat hanya menerima sahaja nasib daripada memberontak atau menentang (Hardiman, 2004:232). Agama dianggap dadah masyarakat kerana agama dengan licik diciptakan oleh golongan kelas-kelas atasan untuk menenangkan rakyat yang tertindas. Agama telah melumpuhkan semangat lawan masyarakat yang tertindas dan menguntungkan golongan atasan (Magnis-Suseno, 2006:73). Marx menyatakan bahawa, kalangan gereja pada abad pertengahan dijadikan sebagai alat legitimasi penindasan oleh para penguasa (Yuni Zaharani, 2012). Contohnya, agama dilihat menghukum penganutnya adalah agama ciptaan kaum kapitalis yang bertujuan untuk menindas golongan bawahan dengan doktrin-doktrin kesalahan. Marx melihat bahawa perkara tersebut hanya merupakan ciptaan masyarakat, ciptaan penguasa, untuk memperkuatkan status-quo dan mengembangkan kekuasaannya terhadap masyarakat bawahan yang dipimpinnya (Syukur Dister,1982:98).

2.4       Karl Marx menganggap agama ialah “dadah masyarakat” kerana Marx menganggap agama sebagai sumber konflik iaitu menyalahgunakan agama untuk memusuhi orang lain (George Ritzer dan Douglas, 2004:74). Menyemai rasa benci dan takbur dalam diri orang-orang yang mencari syurga adalah perbuatan yang hina. Marx mengatakan, kewujudan konflik di antara kaum dengan penganut agama telah berlaku dan yang menjadi dalang penghasut adalah ahli politik yang hanya mahu meraih sokongan dari kalangan masyarakat yang tertipu. Golongan ini dengan sewenang-wenangnya menggunakan alasan keagamaan untuk menghalalkan tindakan tidak adil ke atas orang lain terutama yang tidak sealiran dan tidak sependapat serta tidak seagama dengan mereka. Lebih menyesatkan masyarakat apabila ada yang mula menggunakan perkataan jihad ke atas sesuatu pihak, walaupun ironinya tidak memahami maksud jihad yang sebenar (Adam Adli, 2012). Contohnya, kenyataan Marx ini diperkukuhkan lagi semasa reformasi gereja di Eropah di mana berlaku konflik di antara Gereja Kristen dengan Gereja Katolik. Ini kerana munculnya dan berkembangnya Kristen Prostestan di beberapa wilayah Eropah memberikan ancaman terhadap Gereja Katolik yang telah wujud sejad abad ke-4. Pertikaian tidak dapat dielakkan dan telah berlakunya perang atas nama agama. Usaha pendamaian sukar dicapai (Adam Adli, 2012).
3.0              KESIMPULAN
Setiap manusia yang hidup pasti akan mengetahui apa itu agama. Agama perlu difahami dan diamalkan dengan cara yang sebenar kerana agama adalah sebagai pegangan hidup agar masyarakat tidak menyimpang ke jalan yang salah. Namun begitu, bagi golongan yang beraliran komunis, mungkin agama hanya merupakan candu yang tidak membawa apa-apa dalam kemajuan atau kehidupan yang sempurna. Aliran ini memang lebih mengutamakan material daripada segi agama. Memang agama memiliki aturan-aturan yang sudah ditetapkan oleh penyebar agama dengan dasar wahyu dari Tuhan. Tuntutan hidup yang harus dilakukan harus sejalan dengan hukum-hukum wahyu Tuhan. Akibatnya masyarakat agama hanya mengikuti dan menunggu akan takdir Tuhan.
Kesimpulannya, apa yang dilihat, melalui pandangan Marx, beliau dilihat tidak melihat agama secara keseluruhan di mana, beliau hanya  melihat agama yang berkembang di Eropah pada zaman tersebut iaitu agama Kristian sahaja. Marx juga hanya memikirkan pengaruh situasai sosial pada agama, tetapi bukan pengaruh agama pada situasi sosial. Oleh itu, pandangan Marx tentang agama adalah releven digunapakai pada zaman atau era tersebut dan apa yang diungkapkan oleh Marx ada kebenarannya pada zaman tersebut. Ini kerana, Marx bercakap semasa revolusinya iaitu kehidupan masyarakat pada waktu tersebut adalah sebegitu. Pendapat yang demikian dipercayai lahir dari pengalaman Marx yang melihat pemimpin dan institusi agama Kristian di Eropah sebagai sebahagian daripada oligarki yang menindas rakyat. Pemimpin agama pada zaman tersebut bukan sahaja merupakan penyokong kepada para penguasa, tetapi juga menguasai pemikiran rakyat supaya pasrah terhadap keadaan mereka yang tertindas dan mempercayai bahawa mereka akan memperoleh kemakmuran selepas kematian berasaskan janji bahawa kebahagiaan itu ada di syurga. Dalam keadaan demikian, rakyat menjadi pasif dan tidak mahu mengubah keadaan mereka yang buruk itu dengan berjuang untuk menciptakan nasib yang baik dengan kekuatan mereka sendiri. Itulah sebabnya, Marx menganggap agama sebagai dadah masyarakat.
Pandangan Marx tentang agama telah beralih dari ruang falsafah ke ruang sosial dalam karyanya iaitu German Ideology yang telah dihasilkan pada tahun 1846, apabila ia menyatakan bahawa agama adalah satu ideologi yang dibentuk oleh pengeluaran material dan mempunyai kaitan yang rapat dengan hubungan sosial yang ada dalam masyarakat (Adam Adli, 2012).
Walaubagaimana pun, pada dunia sekarang, agama dilihat banyak memberi kebaikan dan meningkatkan ukhuwah di dalam masyarakat. Ini kerana, agama dilihat penting kepada masyarakat atau kehidupan manusia kerana agama merupakan sumber moral, petunjuk kebenaran, sumber informasi tentang sesuatu masalah metafisikal dan memberi bimbingan kerohanian bagi manusia sama ada semasa gembira atau sedih (Maylani Lestari, 2011). Agama juga dijadikan panduan kepada masyarakat dan garis panduan untuk masyarakat mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan yang ada. Ini kerana tanpa agama hidup dan jiwa masyarakat akan kosong tanpa pengisian agama di dalam diri. Tanpa agama juga, masyarakat akan bertindak hanya mengikut gerak hati tanpa memikirkan balasan yang akan diterima kelak. Namun begitu, masih wujud golongan ekstrme agama yang terlalu taksud terhadap agama yang menimbulkan konflik seperti peperangan, penindasan dan penipuan yang menyebabkan kesengsaraan kepada masyarakat atau penganutnya. Oleh itu, untuk menjadikan agama sebagai satu alat mengekalkan dan mewujudkan keamanan, penganut agama perlu mengamalkan ajaran agama mengikut garis panduan yang betul dan mengikut landasan yang telah ditetapkan dalam ajaran agama.

2 ulasan:

  1. alhamdulillah ternyata nama saya juga jadi referensi mahasiswa di malaysia yaaa.... ^_^

    BalasPadam
    Balasan
    1. alhamdulillah.. thanks because berkongsi ilmu dengan sesama manusia.. semoga sentiasa mendapat rahmat dari ALLAH swt.. amin..

      Padam