1.0
PENGENALAN
Memahami persekitaran makro atau persekitaran luaran
di dalam menguruskan sesuatu perniagaan atau organisasi adalah sangat penting
dan ia akan menentukan kejayaan dan mempengaruhi keputusan dalam sesuatu
perniagaan yang dijalankan. Persekitaran makro boleh mempengaruhi keputusan
perniagaan yang dibuat untuk jangka masa yang panjang dan ia merupakan unsur
atau elemen yang tidak boleh dikawal (Armstrong & Kotler, 2011). Persekitaran
makro adalah persekitaran yang diluar kawalan syarikat tetapi syarikat perlu
sentiasa mengawasinya kerana persekitaran ini memberikan peluang atau ancaman
kepada syarikat atau organisasi (Kotha & Nair, 1995). Walaupun agak sukar
dan tidak berkemampuan bagi usahawan untuk mengawal persekitaran yang ada,
namun sudah mencukupi sekiranya semua usahawan memahami elemen-elemen
persekitaran tersebut. Dunia perniagaan mempunyai empat elemen persekitaran
makro yang terpaksa dan perlu dihadapi oleh semua peniagaan iaitu politik dan
undang-undang, ekonomi, kebudayaan sosial dan teknologi (Mily, 2011).
Organisasi yang dipilih adalah Syarikat Boon Siew
Sdn Bhd bagi melihat kesan persekitaran makro terhadap sesebuah organisasi atau
syarikat. Syarikat Boon Siew Sdn Bhd sinonim dengan motosikal Honda yang
diasaskan oleh Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew. Beliau seorang usahawan
yang berjaya dan bijak mengambil peluang di dalam perniagaan pengedaran
motosikal. Beliau menyedari kelebihan motosikal Honda adalah ringan dan kecil
berbanding motosikal yang dikeluarkan oleh Eropah. Boon Siew Honda Sdn Bhd merupakan
sebuah syarikat Malaysia yang dilesenkan untuk memasang, mengedar dan menjual
model-model motosikal Honda di Malaysia. Pada tahun 1958, Boon Siew melihat populariti
motosikal Honda Cub Super yang mana, pada waktu tersebut hanya diperkenalkan di
Jepun dan beliau percaya, pasaran ini boleh mendapat sambutan di Malaysia. Pameran
Honda Malaysia yang pertama telah ditubuhkan di Pitt Street di Pulau Pinang. Di
atas rasa kepercayaan oleh pihak Honda Jepun, Honda Motor Co Ltd telah melantik
Boon Siew sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di Malaysia dan pada waktu
tersebut, 50 unit motosikal Honda telah diimport ke Malaysia. Sebuah kilang
telah dibina di Pulau Pinang untuk memasang Honda Cub dan motosikal Honda yang
dipasang di Malaysia telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub
menjadi motosikal yang paling laris di Malaysia dan Boon Siew telah diikhtiraf
sebagai orang pertama yang membawa motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara
(Mohammad Fikri, 2011). Boon Siew Honda Sdn Bhd adalah sebuah syarikat
usahasama antara Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd yang mula beroperasi
pada September 2008 dengan matlamat mengukuhkan pengeluaran motosikal dan
jualan di Malaysia serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi
dan cekap (Tan Leng Hock, 2010). Pengeluaran motosikal Honda iaitu syarikat
Oriental Holdings Bhd telah memegang cawangan bagi memasang dan mengedar
motosikal Honda sejak tahun 1957 lagi. Ia adalah hasil usahasama perniagaan
yang dimeterai antara pengasas Oriental iaitu Tan Sri Loh Boon Siew bersama
pengasas Honda iaitu Soichiro. Sekarang ini, anak syarikat Oriental, Kah Motor
Co Sdn Bhd adalah bertindak sebagai memasang Honda, sementara Boon Siew Honda
Sdn Bhd mengedarkannya. Boon Siew Honda Sdn Bhd merupakan pengedar tunggal bagi
motosikal Honda di Malaysia (Cheng Soon, 2009). Ahli Lembaga Pengarah Boon Siew
Honda Sdn Bhd adalah dipengerusikan oleh Dato’ Loh Cheng Yean. Sedekad yang
lalu, Oriental Holdings Bhd dan Honda Motor Co Ltd telah menikmati perkongsian
yang bermakna dan berhasil dengan satu sama lain untuk mengembangkan dan
mempromosi jualan motosikal di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Produk
yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd antaranya adalah motorsikal
jenama Wave Dash, CRF 250L, CBR1000RR, EX5 Dream, Future, Gold Wing, Wave Dash
SE, Wave 110, Wave 100, Icon dan CBR 250R (Tan Leng Hock, 2010).
2.0
ELEMEN-ELEMEN
PERSEKITARAN MAKRO
2.1
Eleman persekitaran
makro ialah politik dan undang-undang. Persekitaran ini
merujuk kepada
pelaksanaan dan penggubalan undang-undang oleh pihak kawalan syarikat yang
memberi pengaruh atau had di dalam firma atau individu dalam masyarakat
(Armstrong & Kotler, 2011). Syarikat tidak boleh melakukan sesuatu perkara
bagi tujuan membaiki dan mengekalkan keadaan yang sedia ada (Azianlin, 2007). Undang-undang
di dalam persekitaran makro meliputi peraturan-peraturan yang diperuntukkan
oleh pihak kerajaan seperti mereka bentuk produk dan menetapkan harga terhadap
barang kawalan, pengiklanan, upah dan persekitaran tempat kerja seperti rangka
undang-undang yang diwujudkan, yang memerlukan syarikat memenuhi atau mematuhi
undang-undang yang ditetapkan. Perniagaan juga dikawal oleh undang-undang yang
sedia ada seperti Undang-Undang Kontrak, Undang-Undang Jualan Barang-Barang,
Undang-unang Sewa Beli, Undang-Undang Perkongsian, Undang-Undang Syarikat dan
sebagainya (Walshe, 2003). Contohnya Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menetapkan
undang-undang syarikatnya iaitu melalui matlamatnya di mana bertujuan untuk
mengukuhkan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia serta untuk mencapai
kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan cekap semasa melakukan usahasama
bersama Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd (Tan Leng Hock, 2010).
2.2
Elemen persekitaran
makro yang lain ialah kebudayaan sosial. Persekitaran ini terdiri daripada
institusi dan pengaruh lain yang mempengaruhi asas, persepsi, keutamaan serta
gelagat sesebuah masyarakat. Individu yang dibesarkan dalam kelompok masyarakat
membentuk nilai dan kepercayaan mereka berdasarkan norma masyarakat tersebut.
Kebudayaan sosial terdiri daripada dua aspek iaitu aspek demografi dan aliran
kebudayaan dalam masyarakat. Demografi berkait rapat dengan data populasi
seperti saiz, kepadatan lokasi, umur, jantina, bangsa, pekerjaan, penghijrahan
populasi dan statistik lain yang berkaitan dengan populasi (Mily, 2011). Kajian
serta pengawasan terhadap syarikat dalam demografi penting kerana populasi
membentuk pasaran. Faktor statistik demografi mudah diperolehi kerana ia adalah
data pungutan kerajaan dan ia boleh digunakan sama ada secara langsung atau
tidak langsung (Azianlin, 2007). Contohnya, dalam aspek demografi di mana Boon
Siew Honda Sdn Bhd mula beroperasi pada tahun 1958 di Pitt Street, Pulau Pinang
kerana pada waktu tersebut, bandar tersebut merupakan kawasan populasi penduduk
tinggi dan tumpuan ekonomi terletak di bandar tersebut (Mohammad Fikri, 2011).
2.3
Elemen persekitaran
makro ialah ekonomi. Persekitaran ekonomi dilihat melalui faktor-faktor yang
mempengaruhi kuasa beli pengguna dan corak perbelanjaan (Kotleret al, 2011). Kuasa
membeli pengguna bergantung kepada harga, pendapatan semasa, kredit dan
tabungan. Pemasar harus mengawasi pola utama pendapatan dan perubahan pola
perbelanjaan pengguna. Sebarang perubahan sama ada dalam bentuk positif dan
negatif di dalam pembolehubah utama ekonomi seperti kadar faedah, pola
pendapatan, kos hidup, simpanan dan pinjaman akan memberi kesan terhadap
pasaran (Azianlin, 2007). Contohnya, syarikat Honda Jepun iaitu Honda Motor Co
Ltd melihat Malaysia adalah sebuah negara yang akan berkembang dan mempunyai pasaran
yang besar. Oleh itu, Honda telah melantik Boon Siew Honda Sdn Bhd sebagai pengedar
tunggal motosikal Honda di Malaysia (Mohammad Fikri, 2011).
2.4
Elemen persekitaran
makro yang lain ialah teknologi. Kadar perubahan teknologi adalah cepat dan
pantas pada masa kini. Banyak teknologi baru telah dicipta bagi menggantikan
teknologi lama. Melalui perubahan dan inovasi teknologi ini, lebih banyak
peluang dan pasaran baru dapat diwujudkan (Azianlin, 2007). Contohnya, Boon
Siew Honda Sdn Bhd telah mencipta pelbagai produk baru dan menambah produk yang
sedia ada kepada yang lebih inovatif dan produktif kesan daripada perkembangan
teknologi iaitu lebih banyak penggunaan alatan yang lebih canggih seperti mesin
berbanding sebelumnya. Antaranya produk motosikal Honda model Wave yang dilihat
telah diperbaharui daripada model Wave Dash kepada Wash Dash SE, Wave 110 dan
Wave 100 (Tan Leng Hock, 2010).
3.0
ELEMEN-ELEMEN
PERSEKITARAN MAKRO YANG MENJEJASKAN ORGANISASI
3.1
Antara elemen-elemen
persekitaran makro yang menjejaskan organisasi adalah politik dan
undang-undang. Politik dan undang-undang yang dibuat merupakan sebahagian
daripada persekitaran makro, di mana setiap kumpulan yang berlainan akan
bersaing dengan tujuan untuk memperolehi perhatian dan sumber. Keadaan ini
berlaku ekoran daripada usahawan yang telah menggunakan kekuatan politik yang
mereka ada. Selalunya usahawan terpaksa menerima unsur-unsur politik dan
undang-undang yang dibuat atau telah di buat bagi tujuan pelaburan atau tugas
baru yang akan dibuat. Para usahawan perlu mematuhi dan menerima polisi, undang-undang
dan peraturan di mana perniagaan tersebut dijalankan. Contohnya, ia merujuk
kepada berlakunya rasuah, ketidakstabilan dan keganasan di kawasan di mana
perniagaan dilakukan. Di kawasan yang risiko politik adalah tinggi, adalah
sukar dan mahal untuk usahawan membeli, melindungi dan mengatur sumber.
Kesannya, akan menambahkan kos untuk pelaburan baru (Cheng Soon, 2009). Undang-undang
penting yang dilihat menjejaskan perniagaan termasuk undang-undang dalam bidang
kepenggunaan, hubungan pekerja, alam sekitar dan amalan yang kompetitif (Sharifuddin
Bin Shariff, 2003). Persekitaran ini boleh mempengaruhi sesebuah organisasi
khususnya mempengaruhi objektif organisasi, dasar, keputusan, sekatan
undang-undang dan undang-undang berkaitan cukai (Sameer & Jasmine, 2003). Contohnya,
melalui undang-undang halangan perdagangan dan tariff di mana ia dikenakan
terhadap barangan dan perkhidmatan yang didagangkan dalam pasaran antarabangsa.
Keadaan ini akan menghalang sumber aliran bebas dari negara lain selaku
perlindungan kepada industri tempatan seperti sekatan perdagangan telah
dikenakan ke atas industri automobil di Malaysia. Keadaan ini turut memberi
kesan kepada syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd yang menjalankan eksport dan
import barangan antarabangsa (Cheng Soon, 2009).
3.2
Elemen persekitaran
makro yang boleh menjejaskan organisasi iaitu kebudayaan sosial sama ada
melalui demografi atau budaya. Melalui kebudayaan, institusi dan kuasa-kuasa
lain memberi kesan kepada nilai-nilai asas masyarakat, persepsi, keutamaan dan
tingkah laku (Kotler et al, 2011). Elemen ini boleh memberi ancaman dan peluang
kepada organisasi terutama dari segi kehendak dan keperluan pelanggan. Manakala,
persekitaran demografi pula boleh mempengaruhi pemasar dalam strategi pemasaran
meliputi jumlah kuantiti produk yang akan dikeluarkan, produk yang sesuai
dikeluarkan dan sebagainya. Sekiranya strategi yang digunakan tidak sesuai, ini
akan merugikan syarikat. Contohnya, awal penubuhan Boon Siew Honda Sdn Bhd tidak
mendapat sokongan daripada ramai pihak kerana telah bekerjasama dengan syarikat
Jepun yang pernah memerintah Tanah Melayu. Ini kerana, ekoran daripada budaya
masyarakat pada waktu tersebut adalah prejudis kepada Jepun (Mohammad Fikri,
2011).
3.3
Elemen persekitaran
makro yang boleh menjejaskan organisasi iaitu ekonomi. Persekitaran ekonomi
boleh mempengaruhi kuasa beli dan corak perbelanjaan pengguna. Antaranya
perubahan di dalam pendapatan di mana apabila pendapatan meningkat, kuasa beli
juga akan meningkat (Girijasankar & Bhar, 2011). Faktor-faktor ekonomi adalah
kebimbangan kepada firma pemasaran kerana ia boleh mempengaruhi permintaan,
kos, harga dan keuntungan (Geoff Lancaster, 2000). Contohnya, pada tahun 1997
semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi, industri automobil menghadapi
kesukaran apabila unit jualan semakin menurun. Boon Siew Honda Sdn Bhd turut
menghadapi krisis ini di mana penjualan daripada 78% unit menjunam kepada 25% unit
sahaja bagi tahun tersebut (Mohammad Fikri, 2011).
3.4
Elemen persekitaran
makro yang menjejaskan organisasi adalah teknologi. Teknologi merupakan tenaga
yang paling dramatik yang kini membentuk nasib kita (Kotler at el, 2011). Peningkatan
teknologi banyak mempengaruhi dunia pemasaran. Perubahan teknologi telah
menyebabkan lebih banyak peluang dan ancaman kepada pemasar. Menukar teknologi
boleh menjejaskan permintaan bagi produk dan perkhidmatan firma, proses pengeluaran
dan bahan-bahan mentah serta turut menjejaskan proses dalam melaksanakan
tugasan (Kotler et al, 2008). Ia juga mengancam survival produk, firma atau
industri (Geoff Lancaster, 2000). Selain itu juga, menurut Yusof et al (2004)
menyatakan, tindakan firma membawa masuk teknologi yang baru ke dalam firma
yang mempunyai teknologi yang lebih rendah, akan memberi kesan kejutan kepada firma
tersebut. Tindakan ini akan menyebabkan kesukaran kepada firma untuk saling
menyesuaikan diri terutamanya jika perubahan bertentangan dengan polisi atau
objektif sebenar firma tersebut. Perubahan ini mengakibatkan pembaziran dari
segi masa, pengangguran, tenaga, wang dan juga sumber-sumber lain (Mily, 2011).
Contohnya, menggunakan robot untuk pengeluaran produk-produk Honda di dalam
industri menyebabkan wujudnya pengangguran. Boon Siew Honda Sdn Bhd telah
meningkatkan dan mengembangkan penggunaan mesin yang diimport dari negara Jepun
bagi tujuan mengeluarkan produk yang lebih bermutu dan berinovatif. Namun,
kesannnya menyebabkan berlaku pengurangan dalam tenaga kerja yang membawa
kepada masalah krisis pengangguran di dalam negara (Mohammad Fikri, 2011)
4.0
CADANGAN
UNTUK MEMBAIKI PENGURUSAN PERSEKITARAN MAKRO
4.1
Cadangan untuk
memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu dalam aspek politik dan undang-undang.
Syarikat atau organisasi perlu mengawasi dan menilai persekitaran politik
sepenuhnya untuk mengenalpasti ancaman dan peluang yang ada serta agar tindakan
yang dilakukan tidak mendatangkan sebarang masalah iaitu dengan membuat
perancangan produk dan program pemasaran syarikat. Syarikat juga perlu
mengawasi apa yang sedang dan yang dijangka akan berlaku kerana ia akan memberi
kesan, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada syarikat (Azianlin,
2007). Keadaan ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat di dalam syarikat
atau firma dan ia juga memberi peluang kepada usahawan untuk memulakan dan
mengembangkan perniagaan mereka (Geoff Lancaster, 2000). Menurut Hogan et al
(1999), memperbaiki pengurusan persekitaran undang-undang iaitu dengan cara
meningkatkan dan menetapkan peraturan, garis panduan dan dasar-dasar dalam
sesebuah syarikat atau firma yang wajib dipatuhi. Ini bertujuan mewujudkan firma
atau syarikat yang lebih berkembang dan maju (Hogan et al, 1999). Ini bertujuan
mewujudkan atau mengenakan kawalan untuk menghadkan keuntungan yang berlebihan
serta menggalakkan penggunaan oleh pelanggan. Selain itu, ia bertujuan untuk
menggalakkan pelanggan atau pembekal membayar kos penuh dan mengenakan kawalan
untuk mencegah tingkah laku yang jahat. Ia juga bertujuan untuk memantau dan
menguruskan prestasi dan kualiti bagi memastikan standard yang boleh diterima (Walshe, 2003). Contohnya, melalui
elemen politik, syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd telah dilantik sebagai
pengeluar tunggal Honda di Malaysia. Kesannya tidak wujud persaingan di dalam
pasaran ekonomi tempatan. Keadaan ini baik untuk perkembangan ekonomi syarikat
tersebut (Cheng Soon, 2009).
4.2
Cadangan untuk
memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu dalam aspek teknologi di mana,
penggunaan teknologi baru yang lebih efisen dan konsisten (Kotler et al, 2008).
Syarikat atau firma harus mengawal dan memantau sebarang perubahan teknologi
serta mengesan penggunaan teknologi untuk membantu mengisi keperluan manusia,
agar produk yang lebih inovatif dapat dicipta dan diterima dipasaran sasaran.
Ia boleh mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti dalam pengeluaran produk dan
membawa kepada inovasi (Aini Hayati, 2008). Melalui ini, penciptaan teknologi baru
selalunya mempunyai nilai ekonomi dan tiada saingan pada peringkat awal serta
selalunya dimonopoli oleh individu tersebut. Syarikat perlu membuat perubahan
kecil terhadap reka bentuk, produk formulasi dan pengeluaran serta bahan dan
pengedaran (Aini Hayati, 2008). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah
mengeluarkan produk yang lebih baik dan bermutu mengikut peredaran masa dan
permintaan berbanding pada awal pengeluaran produknya. Ini ekoran daripada
kesan perkembangan teknologi yang banyak membantu dalam menghasilkan
produk-produk yang lebih berkualiti. Pada awal penubuhan, Boon Siew Honda Sdn
Bhd hanya menghasilkan satu produk sahaja iaitu Honda Cub. Namun, setelah
dikaji dan wujudnya teknologi-tenologi yang moden serta kecanggihan peralatan
mesin yang ada, pelbagai model motosikal dapat dihasilkan (Cheng Soon, 2009).
4.3
Cadangan untuk
memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu dalam aspek ekonomi. Syarikat
atau organisasi perlu membuat kajian dan menganalisa persekitaran ekonomi,
dasar ekonomi dan sistem ekonomi pada tahap global, nasional dan tempatan di
mana operasi dan perkhidmatan mereka dijalankan. Ini kerana persekitaran
ekonomi memainkan peranan penting di dalam kejayaan dan kegagalan sesuatu syarikat
atau organisasi. Persekitaran ekonomi merangkumi semua produk dan penghasilan
dalam perkhidmatan, pengedaran, penjualan dan penggunaan. Syarikat atau organisasi
perlu saling berhubungkait antara satu sama lain (Cheng Soon, 2009). Syarikat
juga perlu mengenalpasti tahap mana yang memberikan lebih kesan kepadanya serta
harus meninjau, memantau, meramal dan mentafsir persekitaran ekonomi dan
keadaan ekonomi yang akan beri kesan kepada syarikat tersebut sama ada
diperingkat domestik atau dunia (Geoff Lancaster, 2000). Usahawan bukan sahaja
perlu mengkaji suasana persekitaran semasa memulakan perniagaan tetapi juga
semasa perniagaan atau perniagaan sedang berkembang (Azianlin, 2007).
Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mengembangkan perniagaannya di pasaran
antarabangsa seperti di Brunei dan Singapura kerana melihat faktor ekonomi negara-negara
tersebut yang berkembang dan maju. Ini memberi kesan ke atas peningkatan di
dalam permintaan dan boleh mengembangkan ekonomi syarikat (Mohammad Fikri,
2011).
4.4
Cadangan untuk
memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu kebudayaan sosial seperti aspek
budaya dan demografi. Organisasi atau usahawan perlu menilai perubahan demografi
untuk mengenalpasti peluang perniagaan yang ada. Usahawan perlu melihat
faktor-faktor demografi terlebih dahulu sebelum membuka atau memulakan operasi atau
perniagaan mereka. Sesebuah syarikat perlu membuat pemantauan dan penyelidikan
sama ada dalam aspek lokasi, bilangan penduduk, kelas sosial, kepadatan, saiz
dan statistik lain berhubung populasi penduduk dalam sesebuah negara atau
kawasan. Ini kerana ia mempengaruhi perkembangan sesebuah syarikat atau
organisasi sama ada jumlah kuantiti produk yang dikeluarkan atau produk yang
sesuai dikeluarkan kerana populasi membentuk pasaran. Ini dapat dilihat melalui
populasi penduduk di mana meningkatnya populasi akan menyebabkan kuasa beli
akan menjadi semakin besar. Selain itu, ke semua unsur ini menjadi faktor
sumbangan kepada kehendak pengguna, kuasa membeli dan kapasiti syarikat (Cheng
Soon, 2009). Dalam kebudayaan pula, usahawan perlu menilai dan memantau
pertukaran cara hidup masyarakat bagi tujuan untuk mengenalpasti peluang
perniagaan. Usahawan boleh menggunakan informasi data yang ada dari sumber umum
dan sendiri untuk menilai perubahan ini. Usahawan juga perlu meramal dan
menilai perubahan yang berlaku untuk memperolehi kejayaan dan keuntungan (Cheng
Soon, 2009). Contohnya, pada awal penubuhan syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd,
syarikat ini telah mengeluarkan produk seperti Honda Cub apabila melihat boleh
membawa banyak muatan. Ini kerana, pada waktu tersebut, syarikat Boon Siew
Honda Sdn Bhd melihat kenderaan ini akan dijadikan kenderaan untuk mengangkut
muatan kepada masyarakat terutama golongan petani serta ia juga murah
berbanding motosikal lain. Syarikat telah membuat pemantauan dan kajian
terlebih dahulu tentang permintaan dan kehendak masyarakat. Manakala, maintenance dan spare part juga murah dan senang untuk ditunggangi (Cheng Soon,
2009).
5.0
KESIMPULAN
Apabila
sesebuah organisasi mula beroperasi, ia tidak berada dalam satu keadaan yang
strategik atau tidak berubah. Organisasi berada dalam satu persekitaran yang
lebih luas. Dalam persekitaran ini, wujud kuasa-kuasa yang boleh dikawal dan
tidak boleh dikawal yang akan memberikan peluang serta ancaman kepada keupayaan
syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi. Persekitaran merujuk kepada
faktor yang memberi kesan positif atau negatif kepada keupayaan syarikat atau organisasi
untuk terus beroperasi dan berkembang, di samping mengekalkan arusniaganya
dengan pembeli dan pengguna sasaran. Perubahan sentiasa berlaku dalam
persekitaran dan ia boleh berlaku secara perlahan atau mendadak serta tidak
menentu. Ini mampu memberikan kesan yang mendalam dan mengejut kepada syarikat
atau organisasi. Apa yang dapat dilihat, persekitaran makro terdiri daripada
kuasa-kuasa yang berada di luar syarikat atau organisasi dan secara amnya tidak
boleh diubah oleh tindakan syarikat atau organisasi. Dalam erti kata lain, syarikat
atau organisasi boleh dipengaruhi oleh persekitaran ini, tetapi syarikat atau
organisasi pula tidak boleh mempengaruhi persekitaran ini. Sesebuah syarikat atau
organisasi perlu mengetahui strategi perancangan yang perlu diselaraskan agar syarikat
atau organisasi boleh mendapatkan dan mengekalkan syarikat atau organisasi
tersebut terutama dalam berdaya saing. Persekitaran ini dilihat berhubung
secara tidak langsung dengan syarikat atau organisasi.
Jelaslah di sini, untuk membuat perancangan yang
baik, syarikat atau organisasi perlu memahami persekitaran makro. Ini kerana,
syarikat atau organisasi bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran
semasa memulakan operasi syarikat atau organisasi, tetapi syarikat atau
organisasi perlu juga mengkaji semasa operasi syarikat atau organisasi sedang
berkembang. Hill dan Jones (1998) juga telah menyatakan bahawa untuk berjaya,
sesebuah syarikat atau organisasi perlu mematuhi strategi persekitaran syarikat
atau organisasi atau di mana ia beroperasi atau dapat membentuk semula syarikat
atau organisasi tersebut dengan lebih baik melalui pilihan strategi yang
berkesan (Hill & Jones, 1998). Oleh itu, syarikat atau organisasi dilihat
gagal apabila strategi organisasi tidak sesuai dengan persekitaran di mana
syarikat atau organisasi beroperasi.
Melalui kajian ini, apa yang dapat dilihat,
persekitaran makro dilihat banyak mempengaruhi strategi perkhidmatan di dalam
sesebuah syarikat atau firma dengan harapan usaha ini akan meningkatkan
hubungan antara firma, pengurus dan pelanggan dengan memberi manfaat dan
kebaikan kepada semua pihak. Menurut McLaughlin dan Kaluzny (1999),
persekitaran makro boleh mempengaruhi syarikat atau firma di dalam perkhidmatan
yang dilakukan (McLaughlin & Kaluzny, 1999).
Kesimpulannya, apa yang dilihat, setelah mengawasi
serta mengetahui peranan dan pengaruh persekitaran makro kepada syarikat, firma
atau organisasi, terdapat kesan secara langsung dan tidak langsung yang boleh
memberikan peluang dan ancaman untuk jangka waktu pendek atau panjang dan
menjadikan syarikat atau organisasi semakin kukuh atau sebaliknya bergantung
kepada tindakan dan pendekatan yang di ambil oleh organisasi. Oleh itu,
syarikat atau organisasi perlu mengawasi sebarang perubahan yang berlaku dalam
elemen-elemen tersebut.
adakah anda menerangkan persekitaran makro ataupun mikro...pohon semak/lihat semula penulisan anda. tkasih
BalasPadamsaya pun pelik... sebab tajuk menghurai persekitaran mikro tapi penjelasan plak lain
BalasPadamsaya pun pelik... sebab tajuk menghurai persekitaran mikro tapi penjelasan plak lain
BalasPadamKENAPA TAJUK PASAL MIKRO TP PENJELASAN PULA PASAL MAKRO?
BalasPadamMIKRO DAN MAKRO ADALAH BERBEZA. SILA SEMAK AGAR T.KASIH.