21 Januari 2013

PERSEKITARAN MIKRO

Disediakan Oleh: Mimi Hamiza Ibrahim


1.0              PENGENALAN
Memahami persekitaran makro atau persekitaran luaran di dalam menguruskan sesuatu perniagaan atau organisasi adalah sangat penting dan ia akan menentukan kejayaan dan mempengaruhi keputusan dalam sesuatu perniagaan yang dijalankan. Persekitaran makro boleh mempengaruhi keputusan perniagaan yang dibuat untuk jangka masa yang panjang dan ia merupakan unsur atau elemen yang tidak boleh dikawal (Armstrong & Kotler, 2011). Persekitaran makro adalah persekitaran yang diluar kawalan syarikat tetapi syarikat perlu sentiasa mengawasinya kerana persekitaran ini memberikan peluang atau ancaman kepada syarikat atau organisasi (Kotha & Nair, 1995). Walaupun agak sukar dan tidak berkemampuan bagi usahawan untuk mengawal persekitaran yang ada, namun sudah mencukupi sekiranya semua usahawan memahami elemen-elemen persekitaran tersebut. Dunia perniagaan mempunyai empat elemen persekitaran makro yang terpaksa dan perlu dihadapi oleh semua peniagaan iaitu politik dan undang-undang, ekonomi, kebudayaan sosial dan teknologi (Mily, 2011).
Organisasi yang dipilih adalah Syarikat Boon Siew Sdn Bhd bagi melihat kesan persekitaran makro terhadap sesebuah organisasi atau syarikat. Syarikat Boon Siew Sdn Bhd sinonim dengan motosikal Honda yang diasaskan oleh Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew. Beliau seorang usahawan yang berjaya dan bijak mengambil peluang di dalam perniagaan pengedaran motosikal. Beliau menyedari kelebihan motosikal Honda adalah ringan dan kecil berbanding motosikal yang dikeluarkan oleh Eropah. Boon Siew Honda Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat Malaysia yang dilesenkan untuk memasang, mengedar dan menjual model-model motosikal Honda di Malaysia. Pada tahun 1958, Boon Siew melihat populariti motosikal Honda Cub Super yang mana, pada waktu tersebut hanya diperkenalkan di Jepun dan beliau percaya, pasaran ini boleh mendapat sambutan di Malaysia. Pameran Honda Malaysia yang pertama telah ditubuhkan di Pitt Street di Pulau Pinang. Di atas rasa kepercayaan oleh pihak Honda Jepun, Honda Motor Co Ltd telah melantik Boon Siew sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di Malaysia dan pada waktu tersebut, 50 unit motosikal Honda telah diimport ke Malaysia. Sebuah kilang telah dibina di Pulau Pinang untuk memasang Honda Cub dan motosikal Honda yang dipasang di Malaysia telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub menjadi motosikal yang paling laris di Malaysia dan Boon Siew telah diikhtiraf sebagai orang pertama yang membawa motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara (Mohammad Fikri, 2011). Boon Siew Honda Sdn Bhd adalah sebuah syarikat usahasama antara Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd yang mula beroperasi pada September 2008 dengan matlamat mengukuhkan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan cekap (Tan Leng Hock, 2010). Pengeluaran motosikal Honda iaitu syarikat Oriental Holdings Bhd telah memegang cawangan bagi memasang dan mengedar motosikal Honda sejak tahun 1957 lagi. Ia adalah hasil usahasama perniagaan yang dimeterai antara pengasas Oriental iaitu Tan Sri Loh Boon Siew bersama pengasas Honda iaitu Soichiro. Sekarang ini, anak syarikat Oriental, Kah Motor Co Sdn Bhd adalah bertindak sebagai memasang Honda, sementara Boon Siew Honda Sdn Bhd mengedarkannya. Boon Siew Honda Sdn Bhd merupakan pengedar tunggal bagi motosikal Honda di Malaysia (Cheng Soon, 2009). Ahli Lembaga Pengarah Boon Siew Honda Sdn Bhd adalah dipengerusikan oleh Dato’ Loh Cheng Yean. Sedekad yang lalu, Oriental Holdings Bhd dan Honda Motor Co Ltd telah menikmati perkongsian yang bermakna dan berhasil dengan satu sama lain untuk mengembangkan dan mempromosi jualan motosikal di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Produk yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd antaranya adalah motorsikal jenama Wave Dash, CRF 250L, CBR1000RR, EX5 Dream, Future, Gold Wing, Wave Dash SE, Wave 110, Wave 100, Icon dan CBR 250R (Tan Leng Hock, 2010).
2.0              ELEMEN-ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO
2.1              Eleman persekitaran makro ialah politik dan undang-undang. Persekitaran ini
merujuk kepada pelaksanaan dan penggubalan undang-undang oleh pihak kawalan syarikat yang memberi pengaruh atau had di dalam firma atau individu dalam masyarakat (Armstrong & Kotler, 2011). Syarikat tidak boleh melakukan sesuatu perkara bagi tujuan membaiki dan mengekalkan keadaan yang sedia ada (Azianlin, 2007). Undang-undang di dalam persekitaran makro meliputi peraturan-peraturan yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan seperti mereka bentuk produk dan menetapkan harga terhadap barang kawalan, pengiklanan, upah dan persekitaran tempat kerja seperti rangka undang-undang yang diwujudkan, yang memerlukan syarikat memenuhi atau mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Perniagaan juga dikawal oleh undang-undang yang sedia ada seperti Undang-Undang Kontrak, Undang-Undang Jualan Barang-Barang, Undang-unang Sewa Beli, Undang-Undang Perkongsian, Undang-Undang Syarikat dan sebagainya (Walshe, 2003). Contohnya Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menetapkan undang-undang syarikatnya iaitu melalui matlamatnya di mana bertujuan untuk mengukuhkan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan cekap semasa melakukan usahasama bersama Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd (Tan Leng Hock, 2010).
2.2              Elemen persekitaran makro yang lain ialah kebudayaan sosial. Persekitaran ini terdiri daripada institusi dan pengaruh lain yang mempengaruhi asas, persepsi, keutamaan serta gelagat sesebuah masyarakat. Individu yang dibesarkan dalam kelompok masyarakat membentuk nilai dan kepercayaan mereka berdasarkan norma masyarakat tersebut. Kebudayaan sosial terdiri daripada dua aspek iaitu aspek demografi dan aliran kebudayaan dalam masyarakat. Demografi berkait rapat dengan data populasi seperti saiz, kepadatan lokasi, umur, jantina, bangsa, pekerjaan, penghijrahan populasi dan statistik lain yang berkaitan dengan populasi (Mily, 2011). Kajian serta pengawasan terhadap syarikat dalam demografi penting kerana populasi membentuk pasaran. Faktor statistik demografi mudah diperolehi kerana ia adalah data pungutan kerajaan dan ia boleh digunakan sama ada secara langsung atau tidak langsung (Azianlin, 2007). Contohnya, dalam aspek demografi di mana Boon Siew Honda Sdn Bhd mula beroperasi pada tahun 1958 di Pitt Street, Pulau Pinang kerana pada waktu tersebut, bandar tersebut merupakan kawasan populasi penduduk tinggi dan tumpuan ekonomi terletak di bandar tersebut (Mohammad Fikri, 2011).
2.3              Elemen persekitaran makro ialah ekonomi. Persekitaran ekonomi dilihat melalui faktor-faktor yang mempengaruhi kuasa beli pengguna dan corak perbelanjaan (Kotleret al, 2011). Kuasa membeli pengguna bergantung kepada harga, pendapatan semasa, kredit dan tabungan. Pemasar harus mengawasi pola utama pendapatan dan perubahan pola perbelanjaan pengguna. Sebarang perubahan sama ada dalam bentuk positif dan negatif di dalam pembolehubah utama ekonomi seperti kadar faedah, pola pendapatan, kos hidup, simpanan dan pinjaman akan memberi kesan terhadap pasaran (Azianlin, 2007). Contohnya, syarikat Honda Jepun iaitu Honda Motor Co Ltd melihat Malaysia adalah sebuah negara yang akan berkembang dan mempunyai pasaran yang besar. Oleh itu, Honda telah melantik  Boon Siew Honda Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di Malaysia (Mohammad Fikri, 2011).
2.4              Elemen persekitaran makro yang lain ialah teknologi. Kadar perubahan teknologi adalah cepat dan pantas pada masa kini. Banyak teknologi baru telah dicipta bagi menggantikan teknologi lama. Melalui perubahan dan inovasi teknologi ini, lebih banyak peluang dan pasaran baru dapat diwujudkan (Azianlin, 2007). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mencipta pelbagai produk baru dan menambah produk yang sedia ada kepada yang lebih inovatif dan produktif kesan daripada perkembangan teknologi iaitu lebih banyak penggunaan alatan yang lebih canggih seperti mesin berbanding sebelumnya. Antaranya produk motosikal Honda model Wave yang dilihat telah diperbaharui daripada model Wave Dash kepada Wash Dash SE, Wave 110 dan Wave 100 (Tan Leng Hock, 2010). 
3.0              ELEMEN-ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO YANG MENJEJASKAN ORGANISASI
3.1              Antara elemen-elemen persekitaran makro yang menjejaskan organisasi adalah politik dan undang-undang. Politik dan undang-undang yang dibuat merupakan sebahagian daripada persekitaran makro, di mana setiap kumpulan yang berlainan akan bersaing dengan tujuan untuk memperolehi perhatian dan sumber. Keadaan ini berlaku ekoran daripada usahawan yang telah menggunakan kekuatan politik yang mereka ada. Selalunya usahawan terpaksa menerima unsur-unsur politik dan undang-undang yang dibuat atau telah di buat bagi tujuan pelaburan atau tugas baru yang akan dibuat. Para usahawan perlu mematuhi dan menerima polisi, undang-undang dan peraturan di mana perniagaan tersebut dijalankan. Contohnya, ia merujuk kepada berlakunya rasuah, ketidakstabilan dan keganasan di kawasan di mana perniagaan dilakukan. Di kawasan yang risiko politik adalah tinggi, adalah sukar dan mahal untuk usahawan membeli, melindungi dan mengatur sumber. Kesannya, akan menambahkan kos untuk pelaburan baru (Cheng Soon, 2009). Undang-undang penting yang dilihat menjejaskan perniagaan termasuk undang-undang dalam bidang kepenggunaan, hubungan pekerja, alam sekitar dan amalan yang kompetitif (Sharifuddin Bin Shariff, 2003). Persekitaran ini boleh mempengaruhi sesebuah organisasi khususnya mempengaruhi objektif organisasi, dasar, keputusan, sekatan undang-undang dan undang-undang berkaitan cukai (Sameer & Jasmine, 2003). Contohnya, melalui undang-undang halangan perdagangan dan tariff di mana ia dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan yang didagangkan dalam pasaran antarabangsa. Keadaan ini akan menghalang sumber aliran bebas dari negara lain selaku perlindungan kepada industri tempatan seperti sekatan perdagangan telah dikenakan ke atas industri automobil di Malaysia. Keadaan ini turut memberi kesan kepada syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd yang menjalankan eksport dan import barangan antarabangsa (Cheng Soon, 2009).
3.2              Elemen persekitaran makro yang boleh menjejaskan organisasi iaitu kebudayaan sosial sama ada melalui demografi atau budaya. Melalui kebudayaan, institusi dan kuasa-kuasa lain memberi kesan kepada nilai-nilai asas masyarakat, persepsi, keutamaan dan tingkah laku (Kotler et al, 2011). Elemen ini boleh memberi ancaman dan peluang kepada organisasi terutama dari segi kehendak dan keperluan pelanggan. Manakala, persekitaran demografi pula boleh mempengaruhi pemasar dalam strategi pemasaran meliputi jumlah kuantiti produk yang akan dikeluarkan, produk yang sesuai dikeluarkan dan sebagainya. Sekiranya strategi yang digunakan tidak sesuai, ini akan merugikan syarikat. Contohnya, awal penubuhan Boon Siew Honda Sdn Bhd tidak mendapat sokongan daripada ramai pihak kerana telah bekerjasama dengan syarikat Jepun yang pernah memerintah Tanah Melayu. Ini kerana, ekoran daripada budaya masyarakat pada waktu tersebut adalah prejudis kepada Jepun (Mohammad Fikri, 2011).  
3.3              Elemen persekitaran makro yang boleh menjejaskan organisasi iaitu ekonomi. Persekitaran ekonomi boleh mempengaruhi kuasa beli dan corak perbelanjaan pengguna. Antaranya perubahan di dalam pendapatan di mana apabila pendapatan meningkat, kuasa beli juga akan meningkat (Girijasankar & Bhar, 2011). Faktor-faktor ekonomi adalah kebimbangan kepada firma pemasaran kerana ia boleh mempengaruhi permintaan, kos, harga dan keuntungan (Geoff Lancaster, 2000). Contohnya, pada tahun 1997 semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi, industri automobil menghadapi kesukaran apabila unit jualan semakin menurun. Boon Siew Honda Sdn Bhd turut menghadapi krisis ini di mana penjualan daripada 78% unit menjunam kepada 25% unit sahaja bagi tahun tersebut (Mohammad Fikri, 2011).
3.4              Elemen persekitaran makro yang menjejaskan organisasi adalah teknologi. Teknologi merupakan tenaga yang paling dramatik yang kini membentuk nasib kita (Kotler at el, 2011). Peningkatan teknologi banyak mempengaruhi dunia pemasaran. Perubahan teknologi telah menyebabkan lebih banyak peluang dan ancaman kepada pemasar. Menukar teknologi boleh menjejaskan permintaan bagi produk dan perkhidmatan firma, proses pengeluaran dan bahan-bahan mentah serta turut menjejaskan proses dalam melaksanakan tugasan (Kotler et al, 2008). Ia juga mengancam survival produk, firma atau industri (Geoff Lancaster, 2000). Selain itu juga, menurut Yusof et al (2004) menyatakan, tindakan firma membawa masuk teknologi yang baru ke dalam firma yang mempunyai teknologi yang lebih rendah, akan memberi kesan kejutan kepada firma tersebut. Tindakan ini akan menyebabkan kesukaran kepada firma untuk saling menyesuaikan diri terutamanya jika perubahan bertentangan dengan polisi atau objektif sebenar firma tersebut. Perubahan ini mengakibatkan pembaziran dari segi masa, pengangguran, tenaga, wang dan juga sumber-sumber lain (Mily, 2011). Contohnya, menggunakan robot untuk  pengeluaran produk-produk Honda di dalam industri menyebabkan wujudnya pengangguran. Boon Siew Honda Sdn Bhd telah meningkatkan dan mengembangkan penggunaan mesin yang diimport dari negara Jepun bagi tujuan mengeluarkan produk yang lebih bermutu dan berinovatif. Namun, kesannnya menyebabkan berlaku pengurangan dalam tenaga kerja yang membawa kepada masalah krisis pengangguran di dalam negara (Mohammad Fikri, 2011)
4.0              CADANGAN UNTUK MEMBAIKI PENGURUSAN PERSEKITARAN MAKRO
4.1              Cadangan untuk memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu dalam aspek politik dan undang-undang. Syarikat atau organisasi perlu mengawasi dan menilai persekitaran politik sepenuhnya untuk mengenalpasti ancaman dan peluang yang ada serta agar tindakan yang dilakukan tidak mendatangkan sebarang masalah iaitu dengan membuat perancangan produk dan program pemasaran syarikat. Syarikat juga perlu mengawasi apa yang sedang dan yang dijangka akan berlaku kerana ia akan memberi kesan, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada syarikat (Azianlin, 2007). Keadaan ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat di dalam syarikat atau firma dan ia juga memberi peluang kepada usahawan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka (Geoff Lancaster, 2000). Menurut Hogan et al (1999), memperbaiki pengurusan persekitaran undang-undang iaitu dengan cara meningkatkan dan menetapkan peraturan, garis panduan dan dasar-dasar dalam sesebuah syarikat atau firma yang wajib dipatuhi. Ini bertujuan mewujudkan firma atau syarikat yang lebih berkembang dan maju (Hogan et al, 1999). Ini bertujuan mewujudkan atau mengenakan kawalan untuk menghadkan keuntungan yang berlebihan serta menggalakkan penggunaan oleh pelanggan. Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan pelanggan atau pembekal membayar kos penuh dan mengenakan kawalan untuk mencegah tingkah laku yang jahat. Ia juga bertujuan untuk memantau dan menguruskan prestasi dan kualiti bagi memastikan standard yang boleh diterima (Walshe, 2003). Contohnya, melalui elemen politik, syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengeluar tunggal Honda di Malaysia. Kesannya tidak wujud persaingan di dalam pasaran ekonomi tempatan. Keadaan ini baik untuk perkembangan ekonomi syarikat tersebut (Cheng Soon, 2009). 
4.2              Cadangan untuk memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu dalam aspek teknologi di mana, penggunaan teknologi baru yang lebih efisen dan konsisten (Kotler et al, 2008). Syarikat atau firma harus mengawal dan memantau sebarang perubahan teknologi serta mengesan penggunaan teknologi untuk membantu mengisi keperluan manusia, agar produk yang lebih inovatif dapat dicipta dan diterima dipasaran sasaran. Ia boleh mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti dalam pengeluaran produk dan membawa kepada inovasi (Aini Hayati, 2008). Melalui ini, penciptaan teknologi baru selalunya mempunyai nilai ekonomi dan tiada saingan pada peringkat awal serta selalunya dimonopoli oleh individu tersebut. Syarikat perlu membuat perubahan kecil terhadap reka bentuk, produk formulasi dan pengeluaran serta bahan dan pengedaran (Aini Hayati, 2008). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mengeluarkan produk yang lebih baik dan bermutu mengikut peredaran masa dan permintaan berbanding pada awal pengeluaran produknya. Ini ekoran daripada kesan perkembangan teknologi yang banyak membantu dalam menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti. Pada awal penubuhan, Boon Siew Honda Sdn Bhd hanya menghasilkan satu produk sahaja iaitu Honda Cub. Namun, setelah dikaji dan wujudnya teknologi-tenologi yang moden serta kecanggihan peralatan mesin yang ada, pelbagai model motosikal dapat dihasilkan (Cheng Soon, 2009).
4.3              Cadangan untuk memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu dalam aspek ekonomi. Syarikat atau organisasi perlu membuat kajian dan menganalisa persekitaran ekonomi, dasar ekonomi dan sistem ekonomi pada tahap global, nasional dan tempatan di mana operasi dan perkhidmatan mereka dijalankan. Ini kerana persekitaran ekonomi memainkan peranan penting di dalam kejayaan dan kegagalan sesuatu syarikat atau organisasi. Persekitaran ekonomi merangkumi semua produk dan penghasilan dalam perkhidmatan, pengedaran, penjualan dan penggunaan. Syarikat atau organisasi perlu saling berhubungkait antara satu sama lain (Cheng Soon, 2009). Syarikat juga perlu mengenalpasti tahap mana yang memberikan lebih kesan kepadanya serta harus meninjau, memantau, meramal dan mentafsir persekitaran ekonomi dan keadaan ekonomi yang akan beri kesan kepada syarikat tersebut sama ada diperingkat domestik atau dunia (Geoff Lancaster, 2000). Usahawan bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran semasa memulakan perniagaan tetapi juga semasa perniagaan atau perniagaan sedang berkembang (Azianlin, 2007). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mengembangkan perniagaannya di pasaran antarabangsa seperti di Brunei dan Singapura kerana melihat faktor ekonomi negara-negara tersebut yang berkembang dan maju. Ini memberi kesan ke atas peningkatan di dalam permintaan dan boleh mengembangkan ekonomi syarikat (Mohammad Fikri, 2011).
4.4              Cadangan untuk memperbaiki pengurusan persekitaran makro iaitu kebudayaan sosial seperti aspek budaya dan demografi. Organisasi atau usahawan perlu menilai perubahan demografi untuk mengenalpasti peluang perniagaan yang ada. Usahawan perlu melihat faktor-faktor demografi terlebih dahulu sebelum membuka atau memulakan operasi atau perniagaan mereka. Sesebuah syarikat perlu membuat pemantauan dan penyelidikan sama ada dalam aspek lokasi, bilangan penduduk, kelas sosial, kepadatan, saiz dan statistik lain berhubung populasi penduduk dalam sesebuah negara atau kawasan. Ini kerana ia mempengaruhi perkembangan sesebuah syarikat atau organisasi sama ada jumlah kuantiti produk yang dikeluarkan atau produk yang sesuai dikeluarkan kerana populasi membentuk pasaran. Ini dapat dilihat melalui populasi penduduk di mana meningkatnya populasi akan menyebabkan kuasa beli akan menjadi semakin besar. Selain itu, ke semua unsur ini menjadi faktor sumbangan kepada kehendak pengguna, kuasa membeli dan kapasiti syarikat (Cheng Soon, 2009). Dalam kebudayaan pula, usahawan perlu menilai dan memantau pertukaran cara hidup masyarakat bagi tujuan untuk mengenalpasti peluang perniagaan. Usahawan boleh menggunakan informasi data yang ada dari sumber umum dan sendiri untuk menilai perubahan ini. Usahawan juga perlu meramal dan menilai perubahan yang berlaku untuk memperolehi kejayaan dan keuntungan (Cheng Soon, 2009). Contohnya, pada awal penubuhan syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd, syarikat ini telah mengeluarkan produk seperti Honda Cub apabila melihat boleh membawa banyak muatan. Ini kerana, pada waktu tersebut, syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd melihat kenderaan ini akan dijadikan kenderaan untuk mengangkut muatan kepada masyarakat terutama golongan petani serta ia juga murah berbanding motosikal lain. Syarikat telah membuat pemantauan dan kajian terlebih dahulu tentang permintaan dan kehendak masyarakat. Manakala, maintenance dan spare part juga murah dan senang untuk ditunggangi (Cheng Soon, 2009).
5.0              KESIMPULAN
Apabila sesebuah organisasi mula beroperasi, ia tidak berada dalam satu keadaan yang strategik atau tidak berubah. Organisasi berada dalam satu persekitaran yang lebih luas. Dalam persekitaran ini, wujud kuasa-kuasa yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal yang akan memberikan peluang serta ancaman kepada keupayaan syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi. Persekitaran merujuk kepada faktor yang memberi kesan positif atau negatif kepada keupayaan syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi dan berkembang, di samping mengekalkan arusniaganya dengan pembeli dan pengguna sasaran. Perubahan sentiasa berlaku dalam persekitaran dan ia boleh berlaku secara perlahan atau mendadak serta tidak menentu. Ini mampu memberikan kesan yang mendalam dan mengejut kepada syarikat atau organisasi. Apa yang dapat dilihat, persekitaran makro terdiri daripada kuasa-kuasa yang berada di luar syarikat atau organisasi dan secara amnya tidak boleh diubah oleh tindakan syarikat atau organisasi. Dalam erti kata lain, syarikat atau organisasi boleh dipengaruhi oleh persekitaran ini, tetapi syarikat atau organisasi pula tidak boleh mempengaruhi persekitaran ini. Sesebuah syarikat atau organisasi perlu mengetahui strategi perancangan yang perlu diselaraskan agar syarikat atau organisasi boleh mendapatkan dan mengekalkan syarikat atau organisasi tersebut terutama dalam berdaya saing. Persekitaran ini dilihat berhubung secara tidak langsung dengan syarikat atau organisasi.
Jelaslah di sini, untuk membuat perancangan yang baik, syarikat atau organisasi perlu memahami persekitaran makro. Ini kerana, syarikat atau organisasi bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran semasa memulakan operasi syarikat atau organisasi, tetapi syarikat atau organisasi perlu juga mengkaji semasa operasi syarikat atau organisasi sedang berkembang. Hill dan Jones (1998) juga telah menyatakan bahawa untuk berjaya, sesebuah syarikat atau organisasi perlu mematuhi strategi persekitaran syarikat atau organisasi atau di mana ia beroperasi atau dapat membentuk semula syarikat atau organisasi tersebut dengan lebih baik melalui pilihan strategi yang berkesan (Hill & Jones, 1998). Oleh itu, syarikat atau organisasi dilihat gagal apabila strategi organisasi tidak sesuai dengan persekitaran di mana syarikat atau organisasi beroperasi.
Melalui kajian ini, apa yang dapat dilihat, persekitaran makro dilihat banyak mempengaruhi strategi perkhidmatan di dalam sesebuah syarikat atau firma dengan harapan usaha ini akan meningkatkan hubungan antara firma, pengurus dan pelanggan dengan memberi manfaat dan kebaikan kepada semua pihak. Menurut McLaughlin dan Kaluzny (1999), persekitaran makro boleh mempengaruhi syarikat atau firma di dalam perkhidmatan yang dilakukan (McLaughlin & Kaluzny, 1999).
Kesimpulannya, apa yang dilihat, setelah mengawasi serta mengetahui peranan dan pengaruh persekitaran makro kepada syarikat, firma atau organisasi, terdapat kesan secara langsung dan tidak langsung yang boleh memberikan peluang dan ancaman untuk jangka waktu pendek atau panjang dan menjadikan syarikat atau organisasi semakin kukuh atau sebaliknya bergantung kepada tindakan dan pendekatan yang di ambil oleh organisasi. Oleh itu, syarikat atau organisasi perlu mengawasi sebarang perubahan yang berlaku dalam elemen-elemen tersebut.

4 ulasan:

  1. adakah anda menerangkan persekitaran makro ataupun mikro...pohon semak/lihat semula penulisan anda. tkasih

    BalasPadam
  2. saya pun pelik... sebab tajuk menghurai persekitaran mikro tapi penjelasan plak lain

    BalasPadam
  3. saya pun pelik... sebab tajuk menghurai persekitaran mikro tapi penjelasan plak lain

    BalasPadam
  4. KENAPA TAJUK PASAL MIKRO TP PENJELASAN PULA PASAL MAKRO?
    MIKRO DAN MAKRO ADALAH BERBEZA. SILA SEMAK AGAR T.KASIH.

    BalasPadam